Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Ulangan 21

A A A
Alkitab Versi Borneo

Pembunuh yang tidak diketahui

1Jika seseorang didapati terbunuh di tanah yang dikurniakan Tuhan, Allahmu, kepadamu untuk diduduki, dan mayatnya terbaring di padang tanpa diketahui siapa yang membunuhnya, 2maka hendaklah para tua-tuamu dan para hakimmu pergi mengukur jarak dari tempat orang yang terbunuh itu ke kota-kota yang ada di sekelilingnya. 3Setelah didapati kota yang terdekat dengan orang yang terbunuh itu, maka hendaklah para tua-tua kota itu mengambil seekor lembu betina muda yang belum pernah dijadikan haiwan tenaga dan belum pernah dipasangkan kuk. 4Kemudian hendaklah para tua-tua kota itu membawa lembu muda itu turun ke lembah berair yang belum pernah dibajak dan belum pernah disemai dan di lembah itu, hendaklah mereka mematahkan batang leher lembu betina muda itu. 5Setelah itu, hendaklah para imam bani Lewi tampil ke hadapan kerana merekalah yang dipilih Tuhan, Allahmu, untuk menyelenggarakan ibadat bagi-Nya dan untuk menyampaikan berkat atas nama Tuhan. Berdasarkan keputusan merekalah segala persengketaan dan segala perkelahian harus diselesaikan. 6Kemudian hendaklah kesemua tua-tua dari kota yang terdekat dengan tempat orang yang terbunuh itu membasuh tangan mereka di atas lembu betina muda yang batang lehernya dipatahkan di lembah itu. 7Hendaklah mereka berkata, 'Bukan tangan kami yang menumpahkan darah ini dan mata kami pun tidak melihatnya. 8Adakanlah pendamaian bagi umat-Mu, Israel, yang telah Kaubebaskan, ya Tuhan, dan janganlah tanggungkan darah orang yang tidak bersalah ke tengah-tengah umat-Mu, Israel.' Maka mereka akan diampuni kerana darah itu. 9Demikianlah harus kamu hapuskan darah orang yang tidak bersalah itu daripada kalanganmu, sebab dengan demikian kamu melakukan apa yang benar di mata Tuhan.

Tawanan perempuan yang diambil menjadi isteri

10Apabila kamu pergi berperang melawan musuh-musuhmu dan Tuhan, Allahmu, menyerahkan mereka ke dalam tanganmu sehingga kamu membawa mereka sebagai tawanan, 11kemudian antara para tawanan itu kamu melihat seorang perempuan yang cantik parasnya sehingga kamu terpaut kepadanya dan hendak memperisterinya, 12maka hendaklah kamu membawanya masuk ke rumahmu lalu hendaklah dia mencukur rambut kepalanya, memotong kukunya, 13menanggalkan pakaian yang dipakainya sewaktu ditawan, dan tinggal di rumahmu untuk meratapi ibu bapanya selama sebulan penuh. Setelah itu, barulah kamu boleh berkahwin dengannya – kamu menjadi suaminya dan dia menjadi isterimu. 14Pada kemudian hari, jika kamu tidak menyukainya lagi, biarkanlah dia pergi sesuka hatinya. Jangan sekali-kali menjualnya demi wang, dan jangan layan dia seperti hamba, kerana kamu telah pun mengaibkannya.

Hak pewarisan anak sulung

15Seandainya seorang lelaki mempunyai dua orang isteri, yang seorang dicintainya dan yang seorang lagi tidak dicintainya. Kedua-duanya, baik yang dicintai mahupun yang tidak dicintai itu, melahirkan anak lelaki baginya dan anak lelaki yang sulung adalah daripada isteri yang tidak dicintai. 16Kelak, pada waktu dia membahagikan harta miliknya sebagai pusaka kepada anak-anaknya, anak daripada isteri yang dicintainya tidak boleh dijadikannya sebagai anak sulung menggantikan anak sulung sebenar yang daripada isteri yang tidak dicintainya. 17Hendaklah dia mengakui anak sulung itu, iaitu anak daripada isteri yang tidak dicintainya, dengan memberikan kepadanya dua bahagian daripada segala yang ada padanya. Kerana anak itu ialah permulaan keperkasaannya, maka dialah yang mempunyai hak pewarisan anak sulung.

Anak yang suka melawan

18Jika seseorang mempunyai anak lelaki yang degil lagi suka melawan yang tidak mahu mendengar kata ayahnya atau ibunya, bahkan tidak mahu taat kepada mereka meskipun setelah dihukum, 19maka hendaklah ayah dan ibunya membawanya untuk menghadap para tua-tua kota di pintu gerbang kota tempat tinggalnya. 20Hendaklah mereka berkata kepada para tua-tua kota, 'Anak kami ini degil lagi suka melawan dan dia tidak mahu mendengar kata-kata kami, apatah lagi dia rakus dan pemabuk.' 21Kemudian hendaklah seluruh penduduk kota itu merejamnya dengan batu sampai mati. Demikianlah harus kamu singkirkan yang jahat itu daripada antaramu. Maka semua orang Israel akan mendengar hal itu dan menjadi takut.

Pengebumian orang yang dihukum mati

22Jika seseorang berbuat dosa dan patut dikenakan hukuman mati, kemudian dia dijatuhi hukuman mati dan kamu menggantungnya pada sebatang tiang, 23Amaka jangan biarkan mayatnya tergantung semalam-malaman pada tiang itu, tetapi kuburkanlah dia pada hari itu juga, kerana orang yang tergantung ialah orang yang dikutuk Allah. Jangan kaunajiskan tanah yang dikurniakan Tuhan, Allahmu, kepadamu sebagai harta pusaka.