Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Ulangan 2

A A A
Alkitab Versi Borneo

Bertahun-tahun di kawasan gurun

1AKemudian kita berbalik dan berangkat ke gurun, ke arah Laut Merah, seperti yang difirmankan TUHAN kepadaku. Sudah beberapa lamanya kita menelusur mengelilingi pergunungan Seir.

2Lalu TUHAN berfirman kepadaku, 3'Sudah cukup lama kamu mengelilingi pergunungan ini. Sekarang, tujulah ke utara 4Bdan berikanlah perintah kepada bangsa itu demikian, "Sekarang kamu akan melalui daerah saudaramu, iaitu bani Esau, yang tinggal di Seir. Mereka akan berasa takut kepadamu, tetapi ingat baik-baik, 5jangan kamu bertempur dengan mereka. Aku tidak akan memberikan negeri mereka kepadamu walau setapak kaki pun, kerana Seir telah Kukurniakan kepada Esau menjadi miliknya. 6Hendaklah kamu membeli makanan daripada mereka dengan wang supaya kamu dapat makan dan hendaklah kamu membeli air daripada mereka dengan wang supaya kamu dapat minum." '

7TUHAN, Allahmu, telah memberkatimu dalam segala yang dikerjakan oleh tanganmu dan Dia memerhatikan perjalananmu di gurun yang luas ini. Selama empat puluh tahun ini TUHAN, Allahmu, menyertai engkau dan engkau tidak kekurangan satu apa-apa pun.

8Maka berjalanlah kita meninggalkan saudara kita, iaitu bani Esau yang tinggal di Seir, lalu kita tinggalkan jalan dari Araba, iaitu dari Elat dan dari Ezion-Geber. Kemudian kita mengubah arah melalui jalan ke Gurun Moab. 9CTUHAN pun berfirman kepadaku, 'Jangan ganggu orang Moab dan jangan cabar mereka untuk berperang kerana Aku tidak akan memberikan negeri mereka kepadamu untuk menjadi milikmu, kerana Ar telah Kukurniakan kepada bani Lut menjadi miliknya.

10(Dahulunya bani Emim tinggal di sana. Mereka bangsa yang besar, ramai jumlah mereka, dan tinggi-tinggi seperti bani Enak. 11Mereka juga tergolong dalam bani Refaim seperti bani Enak, tetapi bani Moab menyebut mereka bani Emim. 12Dahulunya bani Hori juga tinggal di Seir, tetapi bani Esau mengusir mereka. Bani Esau menghapuskan mereka dari hadapan mereka lalu tinggal di sana menggantikan mereka, seperti yang dilakukan orang Israel di negeri yang dikurniakan TUHAN kepada mereka menjadi milik mereka.)

13Sekarang, segeralah seberangi Sungai Zered.' Maka kita pun menyeberangi Sungai Zered. 14DSelama tiga puluh lapan tahun kita berjalan dari Kadesh-Barnea ke seberang Sungai Zered, hingga seluruh angkatan pejuang musnah dari perkhemahan, seperti yang telah disumpahkan TUHAN kepada mereka. 15Tangan TUHAN sendiri menentang mereka, mengacau mereka sehingga semua mereka dihapuskan daripada perkhemahan.

16Setelah mati kesemua pejuang daripada kalangan bangsa itu, 17TUHAN berfirman kepadaku, 18'Pada hari ini kamu akan melalui perbatasan Moab, iaitu Ar. 19EKetika engkau berada dekat dengan bani Amon, jangan usik mereka dan jangan cabar mereka. Aku tidak akan memberikan negeri bani Amon kepadamu untuk menjadi milikmu, kerana Aku telah mengurniakannya kepada bani Lut sebagai miliknya.

20(Negeri ini juga termasuk negeri bani Refaim yang dahulunya tinggal di sana, tetapi bani Amon menyebut mereka orang Zamzumim. 21Mereka bangsa yang besar, ramai jumlah mereka, dan tinggi-tinggi seperti bani Enak. Akan tetapi, TUHAN memusnahkan mereka dari hadapan bani Amon. Bani Amon mengusir mereka, lalu tinggal di sana menggantikan mereka. 22Begitu pulalah yang dilakukan TUHAN bagi bani Esau yang tinggal di Seir, ketika Dia memusnahkan bani Hori dari hadapan mereka. Mereka mengusir bani Hori dan tinggal di sana menggantikan kalangan itu sampai hari ini. 23Demikian pula halnya dengan bani Awi yang tinggal di desa-desa sampai ke Gaza. Bani Kaftor, yang datang dari Kaftor, memusnahkan mereka dan tinggal di sana menggantikan mereka.)

24Segeralah berangkat dan seberangilah Sungai Arnon. Ketahuilah, Aku menyerahkan Sihon, raja Hesbon, bani Amori itu, berserta negerinya ke dalam tanganmu. Hendaklah engkau mulai merebutnya. Tentanglah mereka untuk berperang. 25Hari ini juga, atas bangsa-bangsa di seluruh kolong langit, Aku mulai mendatangkan rasa gentar dan takut terhadap kamu. Ketika mereka mendengar khabar tentang kamu, mereka akan gementar dan ketakutan kerana kamu.'

Tertewasnya Raja Sihon

26Kemudian aku menghantar beberapa orang utusan dari Gurun Kedemot kepada Sihon, raja Hesbon, untuk menyampaikan pesan damai yang berbunyi demikian, 27'Izinkanlah kami melalui negerimu. Kami hendak berjalan di jalan raya sahaja dan tidak akan menyimpang ke kanan ataupun ke kiri. 28Juallah makanan kepada kami dengan bayaran wang supaya kami dapat makan, dan berilah kami air dengan bayaran wang supaya kami dapat minum. Hanya, izinkanlah kami lalu dengan berjalan kaki 29sampai kami menyeberangi Sungai Yordan untuk memasuki negeri yang dikurniakan TUHAN, Allah kami, kepada kami. Begitulah bani Esau, yang tinggal di Seir, juga orang Moab, yang tinggal di Ar, memperlakukan kami.'

30Tetapi Sihon, raja Hesbon, tidak mahu mengizinkan kita melalui negerinya kerana TUHAN, Allahmu, telah mengeraskan hatinya dan menjadikan hatinya degil supaya dia diserahkan ke dalam tanganmu, seperti yang terjadi pada hari ini.

31TUHAN berfirman kepadaku, 'Ketahuilah, Aku mulai menyerahkan Sihon dan negerinya kepadamu. Kamu harus mulai menduduki negerinya supaya kamu dapat memilikinya.' 32Lalu keluarlah Sihon menghadapi kita berserta seluruh pasukannya untuk berperang di Yahas. 33Tetapi TUHAN, Allah kita, menyerahkan dia kepada kita, sehingga kita mengalahkan dia, anak-anaknya, dan seluruh pasukannya. 34Pada waktu itu kita merebut semua kotanya dan menumpaskan semua penduduknya, baik lelaki, perempuan, mahupun anak-anak. Tiada seorang pun kita biarkan selamat. 35Hanya ternakan yang kita rampas bagi kita berserta jarahan daripada kota-kota yang kita rebut. 36Mulai Aroer yang terletak di Lembah Arnon dan juga kota di lembah itu sampai ke Gilead, tidak ada kota yang terlalu kuat bagi kita. TUHAN, Allah kita, menyerahkan semuanya kepada kita. 37Hanya negeri bani Amon yang tidak kamu dekati, iaitu seluruh tempat di tepi Sungai Yabok, kota-kota di pergunungan, dan semua tempat yang dilarang oleh TUHAN, Allah kita.