Alkitab Versi Borneo |
Hukum tentang kota-kota perlindungan 1AApabila Tuhan, Allahmu telah melenyapkan bangsa-bangsa dan negeri mereka dikurniakan Tuhan, Allahmu kepadamu, dan engkau telah mengusir mereka serta tinggal di kota-kota mereka dan juga di rumah-rumah mereka, 2maka khususkanlah tiga buah kota di negeri yang dikurniakan Tuhan, Allahmu, kepadamu untuk diduduki itu. 3Sediakanlah jalan-jalan dan bahagikan negeri yang diberikan Tuhan, Allahmu, sebagai harta pusakamu itu menjadi tiga bahagian wilayah, supaya setiap pembunuh dapat melarikan diri ke sana. 4Inilah peruntukan bagi pembunuh yang melarikan diri ke sana untuk menyelamatkan nyawanya. Seandainya dia membunuh sesama manusia tanpa sengaja dan tanpa membenci orang itu sebelumnya – 5misalnya dia pergi ke hutan dengan kawannya untuk membelah kayu, dan ketika tangannya mengayunkan kapak untuk menebang pokok, mata kapak itu terlepas daripada gagangnya lalu mengenai kawannya hingga mati – maka dia boleh melarikan diri ke salah sebuah kota itu supaya dia dapat terus hidup. 6Maksudnya supaya jangan dalam amarah orang yang menuntut bela atas hutang darah itu mengejar pembunuh itu dan dapat menyusul dia kerana jauhnya perjalanan menuju kota itu lalu menghukumnya mati, padahal orang itu tidak patut dihukum mati kerana sebelumnya dia tidak membenci kawannya. 7Oleh sebab itu aku memerintahkan kepadamu demikian, 'Khususkanlah bagimu tiga buah kota.' 8Jika Tuhan, Allahmu, telah meluaskan daerahmu seperti yang disumpah-Nya kepada nenek moyangmu dan memberikan kepadamu seluruh negeri yang dijanjikan-Nya kepada nenek moyangmu 9(asalkan engkau melakukan dengan setia segala perintah yang kusampaikan kepadamu pada hari ini, dengan mengasihi Tuhan, Allahmu, dan sentiasa hidup menurut jalan-Nya), maka tambahkanlah tiga buah kota selain daripada yang tiga buah itu. 10Dengan demikian, darah orang yang tidak bersalah tidak akan tertumpah di negeri yang dikurniakan Tuhan, Allahmu, kepadamu sebagai harta pusaka sehingga darah itu ditanggungkan kepadamu. 11Akan tetapi, jika seseorang membenci sesamanya lalu mengadangnya lalu menyerangnya, dan memukul orang itu hingga mati, kemudian melarikan diri ke salah sebuah kota itu, 12maka hendaklah para tua-tua kotanya menyuruh orang untuk mengambil dia dari sana dan menyerahkan dia ke dalam tangan orang yang menuntut balasan darah, supaya dia dihukum mati. 13Jangan berasa hiba kepadanya, melainkan hapuskanlah dari Israel darah orang yang tidak bersalah supaya sejahteralah kamu. Hal tentang batu sempadan 14BJangan pindahkan batas harta tanah sesamamu yang sudah ditetapkan kalangan terdahulu dalam harta pusaka yang akan kaudapatkan di negeri yang dikurniakan Tuhan, Allahmu, kepadamu untuk diduduki. Hukum tentang saksi 15CSeorang saksi sahaja tidak cukup untuk mendakwa seseorang atas kesalahan atau dosa apa pun yang dilakukannya. Berdasarkan keterangan dua atau tiga orang saksi, sesuatu dakwaan akan diteguhkan. 16Jika seorang saksi yang tidak benar mendakwa seseorang mengenai suatu pelanggaran, 17maka hendaklah kedua-dua orang yang bersengketa itu berdiri di hadapan Tuhan, di depan para imam dan para hakim yang ada pada waktu itu. 18Para hakim harus memeriksa baik-baik. Jika ternyata saksi itu seorang saksi dusta yang memberi kesaksian palsu atas saudaranya, 19maka lakukanlah atasnya selaras dengan niatnya memperlakukan saudaranya. Demikianlah harus kamu singkirkan yang jahat itu daripada kalanganmu. 20Dengan demikian kalangan yang ada akan mendengar hal itu dan menjadi takut, sehingga mereka tidak lagi melakukan perkara jahat semacam itu antaramu. 21DJangan berasa hiba terhadapnya, kerana dalam hal itu berlaku: nyawa diganti nyawa, mata diganti mata, gigi diganti gigi, tangan diganti tangan, kaki diganti kaki.