Alkitab Versi Borneo |
Perayaan Paskah dan Perayaan Roti Tidak Beragi
1AIngatlah bulan Abib dan rayakanlah Paskah bagi Tuhan, Allahmu, kerana pada bulan Abib itulah Tuhan, Allahmu, membawa kamu keluar dari Mesir pada malam hari. 2Hendaklah kamu menyembelih korban Paskah daripada kawanan domba atau kawanan lembu untuk dipersembahkan kepada Tuhan, Allahmu, di tempat yang akan dipilih Tuhan sebagai tempat untuk menegakkan nama-Nya. 3Jangan makan korban itu dengan roti yang beragi. Selama tujuh hari hendaklah kamu memakannya dengan roti yang tidak beragi, iaitu roti penderitaan, kerana dengan terburu-buru kamu keluar dari Tanah Mesir. Dengan demikian, engkau akan mengingat hari engkau keluar dari Tanah Mesir itu seumur hidupmu. 4Tujuh hari lamanya tidak boleh terlihat ada ragi di seluruh daerahmu. Selain itu, daripada daging yang kamu sembelih pada petang hari pada hari pertama janganlah berbaki pada pagi harinya. 5Engkau tidak boleh mempersembahkan korban Paskah di salah satu kotamu yang dikurniakan Tuhan, Allahmu, kepadamu, 6tetapi hendaklah dipersembahkan di tempat yang akan dipilih Tuhan, Allahmu, sebagai tempat untuk menegakkan nama-Nya. Di sanalah engkau harus mempersembahkan korban Paskah pada waktu senja, ketika matahari terbenam, bertepatan dengan waktu ketika engkau keluar dari Mesir. 7Masaklah korban itu dan makanlah di tempat yang akan dipilih Tuhan, Allahmu. Kemudian esok paginya kembalilah ke khemahmu. 8Selama enam hari, makanlah roti yang tidak beragi dan pada hari ketujuh adakanlah perhimpunan penuh takzim bagi Tuhan, Allahmu. Jangan lakukan apa-apa pekerjaan pun pada hari itu. Perayaan Tujuh Minggu 9BHendaklah kamu menghitung tujuh minggu yang dimulai sejak kali pertama sekali sabit menuai gandum yang belum dipotong. 10Kemudian rayakanlah Perayaan Tujuh Minggu bagi Tuhan, Allahmu, dengan mempersembahkan korban sukarela yang harus kauberikan selaras dengan berkat yang dikurniakan kepadamu oleh Tuhan, Allahmu. 11Bersuka rialah di hadapan Tuhan, Allahmu, di tempat yang akan dipilih Tuhan, Allahmu, sebagai tempat untuk menegakkan nama-Nya, baik engkau, anak lelakimu, anak perempuanmu, hambamu yang lelaki, hambamu yang perempuan, bani Lewi yang ada di kotamu, pendatang, anak yatim, mahupun balu yang ada dalam kalangan kamu. 12Ingatlah bahawa engkau pun dahulu hamba di Mesir. Taatilah teguh dan laksanakanlah kanun-kanun ini. Perayaan Pondok Daun
13CHendaklah kamu merayakan Perayaan Pondok Daun selama tujuh hari setelah engkau mengumpulkan hasil tempat pembantingan kamu dan tempat pemerasan anggurmu. 14Pada hari rayamu itu bersuka rialah engkau, anak lelakimu, anak perempuanmu, hambamu yang lelaki, hambamu yang perempuan, orang Lewi, pendatang, anak yatim, serta balu yang ada di kotamu. 15Hendaklah selama tujuh hari kamu mengadakan perayaan bagi Tuhan, Allahmu, di tempat yang akan dipilih Tuhan, kerana Tuhan, Allahmu, akan memberkati segala hasil tanahmu dan segala pekerjaan tanganmu. Jadi, hendaklah engkau bersuka ria dengan bersungguh-sungguh. 16Tiga kali setahun, iaitu pada Perayaan Roti Tidak Beragi, Perayaan Tujuh Minggu, dan Perayaan Pondok Daun, hendaklah setiap lelaki dalam kalangan kamu menghadap hadirat Tuhan, Allahmu, di tempat yang akan dipilih-Nya. Jangan seorang pun menghadap hadirat Tuhan dengan tangan kosong. 17Hendaklah masing-masing membawa persembahan menurut kemampuannya, selaras dengan berkat yang dikurniakan Tuhan, Allahmu, kepadamu. Cara pengadilan 18Hendaklah kamu melantik hakim dan petugas menurut suku-sukumu di kesemua kota yang dikurniakan Tuhan, Allahmu, kepadamu. Hendaklah mereka menghakimi bangsa itu dengan hukum yang adil. 19DJangan putarbalikkan keadilan, jangan berat sebelah, dan jangan terima rasuah, kerana rasuah membutakan mata orang bijak serta memutarbalikkan perkara orang benar. 20Kejarlah keadilan semata-mata, supaya engkau dapat hidup dan mewarisi negeri yang dikurniakan Tuhan, Allahmu, kepadamu. Bentuk-bentuk penyembahan yang terlarang 21EApabila engkau membuat mazbah untuk Tuhan, Allahmu, jangan pacakkan di sisinya sesuatu kayu sebagai lambang Asyera. 22FJangan dirikan sesuatu tiang berhala bagimu, iaitu hal yang dibenci oleh Tuhan, Allahmu.