Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Ulangan 12

A A A
Alkitab Versi Borneo

Satu-satunya tempat ibadat

1Inilah segala kanun dan peraturan yang harus kamu lakukan dengan setia di negeri yang dikurniakan Tuhan, Allah nenek moyangmu, kepadamu untuk kamu miliki selama kamu hidup di bumi. 2Musnahkanlah sama sekali semua tempat yang digunakan oleh bangsa-bangsa yang kamu halau itu untuk beribadat kepada tuhan mereka, iaitu tempat-tempat di atas gunung-gunung tinggi, di atas bukit-bukit, dan di bawah setiap pokok yang rimbun. 3ARobohkanlah mazbah-mazbah mereka, hancurkanlah tiang-tiang berhala mereka, dan bakarlah habis patung-patung Asyera mereka. Tebanglah patung-patung ukiran mereka, iaitu tuhan mereka, dan lenyapkanlah nama-nama mereka dari tempat itu.

4Janganlah kamu beribadat seperti mereka itu apabila kamu menyembah Tuhan, Allahmu. 5Sebaliknya, carilah tempat yang akan dipilih Tuhan, Allahmu, daripada kalangan semua sukumu sebagai tempat untuk menegakkan nama-Nya, dan pergilah ke sana. 6Bawalah ke sana korban bakaranmu, korban sembelihanmu, persembahan sepersepuluh kamu, persembahan khususmu, korban nazarmu, korban sukarela kamu, dan anak-anak sulung daripada kawanan lembu dan kawanan dombamu. 7Hendaklah kamu dan keluargamu makan di hadapan Tuhan, Allahmu itu, dan bersuka ria atas segala usahamu, kerana Tuhan, Allahmu, telah memberkatimu.

8Jangan lakukan seperti yang kita lakukan sekarang di sini, dengan masing-masing melakukan apa sahaja yang betul menurut pandangannya. 9Memang sampai sekarang kamu belum masuk ke tujuan akhir, iaitu harta pusaka yang dikurniakan kepadamu oleh Tuhan, Allahmu, 10tetapi nanti kamu akan menyeberangi Sungai Yordan dan tinggal di negeri yang diberikan Tuhan, Allahmu, menjadi harta pusakamu. Setelah Dia mengurniakan kepadamu ketenteraman daripada semua musuh di sekelilingmu dan kamu tinggal dengan aman, 11bawalah semua yang kuperintahkan kepadamu, iaitu korban bakaranmu, korban sembelihanmu, persembahan sepersepuluh kamu, persembahan khususmu, dan segala korban nazarmu yang terpilih, yang kamu nazarkan kepada Tuhan, ke tempat yang akan dipilih Tuhan, Allahmu, sebagai tempat untuk menegakkan nama-Nya. 12Bersuka rialah di hadapan Tuhan, Allahmu, bersama-sama anak-anakmu dan hamba-hambamu, baik lelaki mahupun perempuan, serta bani Lewi yang ada di kotamu – kerana tidak seperti kamu, bani Lewi tidak mendapat bahagian atau harta pusaka. 13Berhati-hatilah jangan sampai kamu persembahkan segala korban bakaranmu di sembarangan tempat yang kaulihat. 14Persembahkanlah korban bakaranmu hanya di tempat yang akan dipilih Tuhan di daerah satu daripada sukumu, dan hendaklah di sana kamu melakukan segala sesuatu yang kuperintahkan kepadamu.

15Meskipun begitu, engkau boleh menyembelih haiwan dan memakan dagingnya sesuka hatimu di kota mana pun kamu tinggal, selaras dengan berkat yang dikurniakan Tuhan, Allahmu, kepadamu. Baik orang yang bernajis mahupun orang suci boleh memakannya seperti memakan daging kijang atau daging rusa. 16BHanya, darahnya jangan kamu makan. Tumpahkanlah darah itu ke tanah seperti air. 17Persembahan sepersepuluh daripada gandummu, anggurmu, minyakmu, anak-anak sulung daripada kawanan lembu dan kawanan dombamu, segala korban nazar yang kamu nazarkan, korban sukarela kamu, atau persembahan khususmu tidak boleh kamu makan di kota-kotamu. 18Baik engkau, anak lelakimu, anak perempuanmu, hambamu yang lelaki, hambamu yang perempuan, mahupun bani Lewi yang ada di kotamu, harus memakannya di hadapan Tuhan, Allahmu, iaitu di tempat yang akan dipilih Tuhan, Allahmu. Bersuka rialah di hadapan Tuhan, Allahmu, atas segala usaha kamu. 19Ingat, jangan sampai kauabaikan bani Lewi selama engkau tinggal di tanahmu.

20Apabila Tuhan, Allahmu, telah meluaskan daerahmu seperti yang dijanjikan-Nya kepadamu dan kamu berkata, 'Aku hendak makan daging,' kerana engkau ingin makan daging, maka engkau boleh makan daging sesuka hatimu. 21Jika tempat yang akan dipilih Tuhan, Allahmu, untuk menegakkan nama-Nya itu terlalu jauh dari tempatmu, maka engkau boleh menyembelih haiwan dari kawanan lembu dan kawanan domba yang dikurniakan Tuhan kepadamu, seperti kuperintahkan kepadamu, dan memakannya di kota-kotamu sesuka hatimu. 22Makanlah seperti kamu memakan daging kijang atau daging rusa; orang yang bernajis ataupun yang suci sama-sama boleh memakannya. 23CHanya, ingatlah baik-baik, jangan kamu makan darahnya kerana darah ialah nyawa. Kamu tidak boleh memakan nyawa bersama-sama daging. 24Jangan makannya, tetapi tumpahkanlah ke tanah seperti air. 25Jangan makannya supaya keadaanmu dan keadaan anak-anakmu kelak akan baik, kerana engkau melakukan apa yang benar di mata Tuhan. 26Akan tetapi, barang-barang suci yang ada padamu dan korban-korban nazarmu harus kauangkut serta kaubawa ke tempat yang akan dipilih Tuhan. 27Persembahkanlah korban bakaranmu, iaitu daging dan darahnya, di atas mazbah Tuhan, Allahmu. Darah korban sembelihanmu itu harus dicurahkan pada mazbah Tuhan, Allahmu, sedangkan dagingnya boleh kaumakan. 28Taatilah semua kata yang kuperintahkan kepadamu ini. Dengan demikian keadaanmu dan keadaan anak-anakmu kelak akan baik untuk selama-lamanya, kerana engkau melakukan apa yang baik dan benar di mata Tuhan, Allahmu.

Amaran terhadap penyembahan berhala

29Apabila Tuhan, Allahmu, melenyapkan bangsa-bangsa daripadamu dan daerah mereka kamu masuki serta duduki, dan apabila kamu telah mengusir mereka serta tinggal di negeri mereka, 30berhati-hatilah supaya jangan sampai engkau terjerat sehingga engkau mengikuti perilaku mereka sesudah mereka dipunahkan daripada hadapanmu. Jangan sampai engkau bertanya-tanya tentang tuhan mereka seperti ini, 'Bagaimana bangsa-bangsa ini menyembah tuhan mereka? Aku juga mahu berbuat sebegitu.' 31Jangan berbuat seperti itu terhadap Tuhan, Allahmu. Sesungguhnya, kalangan itu telah melakukan segala hal keji yang dibenci Tuhan itu demi tuhan mereka. Bahkan mereka membakar anak-anak mereka sendiri, baik lelaki mahupun perempuan, sebagai korban bagi tuhan mereka.

32DHendaklah kamu taat melakukan segala hal yang kuperintahkan kepadamu. Janganlah kamu tambah apa-apa kepadanya dan jangan juga kurangkan satu apa pun daripadanya.