Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Ulangan 1

A A A
Alkitab Versi Borneo

Perintah untuk meninggalkan Horeb

1Inilah kata-kata peringatan yang disampaikan Musa kepada seluruh orang Israel di kawasan gurun di seberang Sungai Yordan, iaitu di Araba. Araba terletak di seberang Suf, di antara Paran dengan Tofel, Laban, Hazerot, serta Dizahab. 2Jauhnya jarak dari Horeb hingga ke Kadesh-Barnea melalui jalan Pergunungan Seir ialah sebelas hari perjalanan. 3Pada hari pertama dalam bulan kesebelas pada tahun keempat puluh, Musa mengatakan kepada orang Israel semua yang diperintahkan TUHAN untuk disampaikannya kepada mereka. 4AKetika itu dia baru sahaja mengalahkan Sihon, raja bani Amori, yang tinggal di Hesbon, dan Og, raja Basan, yang tinggal di Astarot dekat Edrei. 5Di seberang Sungai Yordan, di Tanah Moab, Musa mulai menjelaskan hukum Taurat ini.

Katanya, 6"TUHAN, Allah kita, berfirman kepada kita di Horeb, demikian, 'Sudah cukup lama kamu tinggal di gunung ini. 7Bangkitlah dan berangkatlah. Pergilah ke pergunungan bani Amori dan kepada semua bangsa tetangga mereka di Araba, daerah pergunungan, daerah dataran rendah, Tanah Negeb, daerah tepi laut negeri bani Kanaan dan Lebanon, sampai sungai besar, iaitu Sungai Efrat. 8Ketahuilah, Aku telah menyerahkan negeri itu kepadamu. Masukilah dan dudukilah negeri yang telah TUHAN sumpah untuk memberi nenek moyangmu, iaitu Abraham, Ishak, dan Yakub, dan keturunan mereka.'

Pelantikan pemimpin

9Pada waktu itu aku berkata kepadamu, 'Aku seorang diri tidak sanggup memikul tanggungjawab ke atas kamu. 10TUHAN, Allahmu, telah melipatgandakan jumlah bilanganmu menjadi tersangat ramai, dan sesungguhnya ketika ini ramainya kamu sudah seperti bintang-bintang di langit. 11Semoga TUHAN, Allah nenek moyangmu, menambah jumlahmu seribu kali lipat dan memberkati kamu seperti yang dijanjikan-Nya kepadamu. 12Akan tetapi, bagaimana mungkin aku seorang diri dapat memikul tanggungjawab ke atas kesusahanmu, bebanmu, dan perselisihanmu? 13Pilihlah daripada kalangan suku kaum kamu beberapa orang yang bijak, arif, dan berpengalaman. Aku akan melantik mereka menjadi ketua yang memimpin kamu.' 14Lalu kamu menjawab aku, 'Usul yang kamu kemukakan itu baik untuk dilaksanakan.' 15Oleh sebab itu, aku mengambil para ketua sukumu, orang yang bijak dan berpengalaman lalu menetapkan mereka menjadi pemimpin kepadamu, iaitu pemimpin pasukan seribu, pemimpin pasukan seratus, pemimpin pasukan lima puluh, pemimpin pasukan sepuluh, juga sebagai pengatur pasukan bagi suku-sukumu.

16Kepada para hakimmu pada waktu itu aku memberikan perintah, 'Dengarlah perkara-perkara yang ada antara saudaramu dan putuskanlah hukum secara adil antara seseorang dengan saudaranya atau dengan pendatang yang tinggal bersama-samanya. 17Dalam hal penghakiman jangan pandang muka. Hendaklah kamu dengar perkaranya baik dia orang kecil mahupun orang besar. Jangan takut kepada manusia, kerana penghakiman milik Allah. Jika ada perkara yang terlalu berat untukmu, bawalah kepadaku supaya kudengar.' 18Demikianlah pada waktu itu aku mengarahkan kamu tentang segala hal yang harus kamu lakukan.

Keengganan orang Israel memasuki negeri itu

19Kemudian kita berangkat dari Horeb dan berjalan melalui gurun yang luas dan menakutkan seperti yang telah kamu lihat, ke arah pergunungan bani Amori, selaras dengan perintah TUHAN, Allah kita. Lalu sampailah kita di Kadesh-Barnea. 20Kataku kepadamu, 'Kamu telah sampai di pergunungan bani Amori yang telah dikurniakan TUHAN, Allah kita, kepada kita. 21Ketahuilah bahawa TUHAN, Allahmu, telah menyerahkan negeri itu kepadamu. Majulah dan dudukilah tanah itu, seperti yang difirmankan TUHAN, Allah nenek moyangmu, kepadamu. Jangan takut dan jangan berasa kecewa.'

22Kemudian kamu semua datang mendekatiku dan berkata, 'Mari kita utus beberapa orang mendahului kita untuk menjelajah negeri itu bagi kita dan membawa khabar kepada kita mengenai jalan yang harus kita tempuh serta kota-kota yang akan kita datangi.'

23Usul itu kupandang baik. Lalu aku memilih dua belas orang daripada kalangan kamu, seorang daripada setiap suku. 24Mereka pergi, naik ke pergunungan, lalu sampai di Lembah Eskol dan mulai menyelidiki negeri itu. 25Mereka mengambil buah-buahan hasil negeri itu dan membawanya kepada kita. Mereka juga membawa khabar demikian, 'Negeri yang dikurniakan TUHAN, Allah kita, kepada kita itu baik.'

26BNamun demikian, kamu tidak mahu pergi ke sana. Kamu menderhaka terhadap firman TUHAN, Allahmu. 27Di dalam khemahmu kamu bersungut-sungut dan berkata, 'Kerana TUHAN membenci kita, maka Dia membawa kita keluar dari Mesir dan menyerahkan kita ke dalam tangan bani Amori supaya kita dibinasakan. 28Ke manakah kita akan pergi? Saudara-saudara kita telah membuat hati kita tawar dengan berkata, "Orang di sana lebih besar dan lebih tinggi daripada kita! Kota-kota mereka besar dan kubu-kubu mereka mencapai langit! Kami pun melihat bani Enak di sana." '

29Lalu aku berkata kepadamu, 'Jangan gentar dan jangan takut kepada mereka. 30TUHAN, Allahmu, yang memimpin kamu, Dialah yang akan berperang untukmu seperti yang telah dilakukan-Nya bagimu di Mesir, di hadapan matamu sendiri. 31CBegitu juga di gurun. Di sana kamu telah melihat bagaimana TUHAN, Allahmu, mendukungmu di sepanjang jalan yang kamu tempuh seperti seseorang mendukung anaknya, sampai kamu tiba di tempat ini. 32DMeskipun begitu, kamu tidak percaya kepada TUHAN, Allahmu, 33yang memimpin kamu dalam perjalanan dan mencari tempat bagimu untuk berkhemah walhal Dia hadir di dalam api pada malam hari dan di dalam awan pada siang hari untuk menunjukkan kepadamu jalan yang harus kamu tempuh.

Hukuman ke atas pemberontakan orang Israel

34EApabila TUHAN mendengar kata-katamu, murkalah Dia lalu bersumpah demikian, 35'Tiada seorang pun daripada angkatan yang jahat ini akan melihat negeri yang baik, yang telah Kusumpah untuk memberikan kepada nenek moyangmu. 36Hanya Kaleb anak Yefune yang akan melihatnya. Kepadanya dan kepada anak-anaknya akan Kukurniakan negeri yang telah dipijaknya itu, kerana dia mengikuti TUHAN dengan sepenuh hati.' 37Malahan TUHAN juga murka kepadaku kerana kamu. Firman-Nya, 'Engkau pun tidak akan masuk ke sana, 38melainkan Yosua anak Nun, pelayanmu, yang akan masuk ke sana. Kuatkanlah hatinya kerana dialah yang akan memimpin orang Israel mewarisi negeri itu.

39Dan anak-anak kecilmu yang kamu katakan akan menjadi tawanan, iaitu anak-anakmu yang sekarang ini belum tahu tentang yang baik dan yang jahat, merekalah yang akan masuk ke sana. Kepada merekalah akan Kukurniakan negeri itu dan mereka akan memilikinya. 40Tetapi kamu ini, berbaliklah dan berangkatlah ke gurun, ke arah Laut Merah.'

Kegagalan menakluki Tanah Kanaan

41Kemudian jawabmu kepadaku, 'Kami telah berdosa terhadap TUHAN. Kami sendirilah yang akan maju berperang selaras dengan semua yang diperintahkan TUHAN, Allah kami, kepada kami.' Lalu kamu menyandang senjata perang masing-masing, kerana kamu fikir mudah untuk naik ke pergunungan itu.

42Tetapi TUHAN berfirman kepadaku, 'Katakanlah kepada mereka, "Jangan maju dan jangan berperang, kerana Aku tidak hadir antara kamu, nanti kamu tumpas di hadapan musuh-musuhmu." ' 43Maka aku mengatakan hal itu kepadamu, tetapi kamu tidak mahu mendengar. Kamu menderhaka terhadap firman TUHAN dan dengan sombongnya naik ke pergunungan itu. 44Lalu keluarlah bani Amori yang tinggal di pergunungan itu menghadapi kamu. Mereka mengejar kamu seperti kawanan lebah dan menghentam kamu dari Seir sampai ke Horma. 45Maka kembalilah kamu dan menangis di hadapan TUHAN, tetapi TUHAN tidak mendengar tangisanmu dan tidak memperhatikan kamu. 46Setelah itu, cukup lama kamu tinggal di Kadesh.