Alkitab Versi Borneo |
Penglihatan Daniel tentang empat binatang dari laut 1Pada tahun yang pertama dalam zaman pemerintahan Belsyazar, raja Babel, Daniel mendapat mimpi dan penglihatan ketika dia berbaring di tempat tidurnya. Lalu dicatatkannya mimpi itu dan inilah garis besarnya. 2Demikianlah kata Daniel, "Tampaklah dalam penglihatanku pada malam hari keempat-empat angin dari langit menggelorakan laut yang besar. 3AEmpat ekor binatang besar naik dari dalam laut, rupa yang satu berbeza daripada rupa yang lain. 4BRupa yang pertama seperti singa, tetapi mempunyai sayap burung rajawali. Aku memperhatikan terus sampai sayap-sayapnya tercabut dan ia terangkat dari tanah dan ditegakkan atas kedua-dua belah kakinya seperti manusia lalu kepadanya diberikan akal manusia.
5Kemudian tampak pula seekor binatang lain, iaitu yang kedua. Wajahnya seperti beruang dan ia ditegakkan pada sisi badannya yang sebelah. Di dalam mulutnya, di antara gigi-giginya, ada tiga batang tulang rusuk dan kepadanya dikatakan demikian, 'Ayuh, bangunlah dan makanlah daging banyak-banyak!' 6Setelah itu, aku terus memperhatikan dan tampaklah seekor binatang lain yang rupanya seperti harimau bintang. Pada belakangnya ada empat sayap burung. Binatang itu berkepala empat dan kepadanya diberikan kekuasaan. 7CSetelah itu, aku terus memperhatikan dalam penglihatan pada malam hari itu. Tampaklah binatang keempat yang menakutkan, dahsyat, dan amat kuat. Ada dua baris giginya yang besar dan daripada besi. Dia melahap dan meremukkan mangsa, lalu sisanya diinjak-injaknya dengan kaki. Dia berbeza daripada semua binatang yang terdahulu dan dia ada sepuluh batang tanduk. 8DKetika aku berfikir tentang tanduk-tanduk itu, tampaklah sebatang tanduk lain yang kecil muncul di antara semuanya itu. Lalu tiga batang tanduk yang terdahulu tercabut di hadapannya. Tampaklah pada tanduk itu ada mata seperti mata manusia dan mulut yang bercakap besar. 9FSambil aku melihat gambaran itu, ditempatkan pula takhta-takhta lantas bersemayamlah Yang Abadi. Pakaian-Nya putih seperti salji dan rambut di kepala-Nya bersih seperti bulu domba. Arasy-Nya merupakan api yang bernyala-nyala, dengan roda-rodanya daripada api yang berkobar. 10HSungai api mengalir, memancar dari hadapan-Nya. Beribu-ribu orang mengabdikan diri kepada-Nya dan berpuluh-puluh ribu orang siap sedia berkhidmat kepada-Nya. Bersidanglah medan pengadilan dan dibukalah kitab-kitab. 11Aku terus memperhatikan pada waktu itu kerana bunyi cakap besar yang diucapkan oleh tanduk itu. Aku terus memperhatikannya sehingga binatang itu dibunuh dan bangkainya dibinasakan lalu diserahkan kepada api yang menyala-nyala. 12Binatang-binatang yang lain pun dicabut kekuasaannya, tetapi dibenarkan hidup lama sedikit sampai waktu dan masa tertentu. 13IAku terus memperhatikan dalam penglihatan pada malam hari itu. Tampaklah seorang seperti Anak Manusia datang dengan awan-awan langit. Dia sampai kepada Yang Abadi dan dibawa ke hadirat-Nya. 14JLalu dikurniakan kepada-Nya kekuasaan, kemuliaan, dan kedaulatan, sehingga semua orang daripada segala suku, bangsa, dan bahasa beribadat kepada-Nya. Kekuasaan-Nya ialah kekuasaan kekal yang tidak akan lenyap dan kerajaan-Nya tidak akan binasa. Malaikat mentafsirkan penglihatan Daniel 15Adapun aku, Daniel, jiwaku risau dan cemas manakala penglihatan dalam fikiranku itu meresahkan aku. 16Aku mendekati seorang daripada mereka yang berdiri di situ dan bertanya kepadanya tentang erti sebenarnya daripada semua hal itu. Dia menjawab aku dan memberitahukan kepadaku tafsiran hal-hal itu. 17Empat ekor binatang besar itu ialah empat orang raja yang akan muncul di bumi. 18KNamun demikian, orang suci milik Yang Maha Tinggi akan mengambil alih kerajaan itu dan memegang kerajaan itu buat selama-lamanya, ya, sampai kekal selama-lamanya. 19Kemudian aku ingin tahu tentang erti sebenarnya tentang binatang keempat yang berbeza daripada semua binatang yang lain itu. Ia amat menakutkan, giginya daripada besi, dan kukunya daripada gangsa. Dia melahap dan meremukkan mangsa, lalu sisanya diinjak-injaknya dengan kaki. 20Aku juga ingin tahu tentang sepuluh tanduk yang ada di kepalanya dan tentang tanduk lain yang tumbuh kemudian sehingga tiga tanduk jatuh di hadapannya. Tanduk ini mempunyai mata dan mempunyai mulut yang bercakap besar. Rupanya lebih besar daripada tanduk-tanduk yang lain itu. 21LDalam aku terus memperhatikannya itu, tanduk ini bertempur melawan orang suci dan mengalahkan mereka 22Msehingga datang Yang Abadi lantas memberikan keadilan kepada orang suci milik Yang Maha Tinggi. Maka tibalah waktunya bagi orang suci untuk memegang kerajaan itu. 23Maka berkatalah dia demikian, "Binatang yang keempat itu ialah kerajaan keempat yang akan ada di bumi. Kerajaan itu berbeza daripada segala kerajaan dan akan melahap seluruh bumi, menginjak-injaknya, dan meremukkannya. 24NSepuluh tanduk itu ialah sepuluh orang raja yang muncul daripada kerajaan itu. Setelah mereka akan muncul seorang raja lagi yang berbeza daripada yang terdahulu. Dia akan mengaibkan tiga orang raja itu. 25ODia akan berucap menentang Yang Maha Tinggi dan menganiaya orang suci serta berusaha untuk mengubah waktu dan hukum. Orang suci itu akan diserahkan ke dalam tangannya untuk satu masa, dua masa, dan separuh masa. 26Tetapi dewan pengadilan akan bersidang dan kuasa pemerintahannya akan dicabut lantas punah dan binasa sampai selamanya. 27QMaka pemerintahan, kekuasaan, dan keagungan segala kerajaan di bawah seluruh kolong langit akan diserahkan kepada umat suci milik Yang Maha Tinggi. Kerajaan-Nya ialah kerajaan yang kekal. Segala penguasaan akan beribadat dan taat kepada-Nya. 28Sampailah di sini kata-kataku tentang hal itu. Aku, Daniel, menjadi sangat resah dengan fikiranku dan pucatlah wajahku. Namun demikian, hal itu kusimpan dalam hatiku."