Alkitab Versi Borneo |
Akhir zaman 1B"Pada waktu itu akan muncul Mikhail, malaikat penjaga yang besar, yang bertugas mengawasi anak-anak bangsamu. Akan ada masa kesesakan yang belum pernah terjadi sejak permulaan bangsa itu sehingga waktu itu. Tetapi pada waktu itu bangsamu sendiri, yakni semua orang yang namanya tercatat dalam kitab itu akan terselamat. 2CRamai daripada kalangan yang tidur dalam tanah yang berdebu akan bangun, sebahagiannya untuk mendapat hidup kekal, manakala sebahagian lagi untuk mendapat celaan dan kehinaan yang kekal. 3Akan bersinarlah orang yang bijaksana, seperti cahaya cakerawala, dan mereka yang memimpin ramai orang kepada perbenarani akan bersinar seperti bintang untuk seterusnya dan selama-lamanya. 4DTetapi engkau, Daniel, rahsiakanlah kata-kata ini dan materaikanlah kitab itu sampai akhir zaman. Ramai orang akan pergi ke sana ke mari dan pengetahuan akan bertambah." 5Ketika aku, Daniel, mengamat-amati, tampaklah dua orang lain berdiri, seorang di tepi sungai seberang sini, seorang di tepi sungai seberang sana. 6Yang seorang bertanya kepada orang yang berpakaian kain linen, yang ada di sebelah atas air sungai itu, "Berapa lama lagikah maka hal-hal ajaib ini akan berakhir?" 7FLalu aku mendengar orang yang berpakaian kain linen, yang ada di sebelah atas air sungai itu, bersumpah demi Dia yang hidup selama-lamanya sambil mengangkat tangan kanan dan tangan kirinya ke langit, "Untuk satu masa, dua masa, dan setengah masa. Begitu berakhir penghancuran kuasa umat suci, barulah hal-hal ini akan digenapi." 8Aku mendengar hal itu, tetapi tidak memahaminya. Maka aku bertanya, "Ya tuanku, apakah kesudahan daripada hal-hal ini?" 9Jawabnya, "Pergilah, Daniel, kerana kata-kata ini akan dirahsiakan dan dimateraikan sehingga akhir zaman. 10GRamai orang akan disucikan, dibersihkan, dan dimurnikan, tetapi orang fasiq akan terus berbuat kefasiqan. Orang fasiq mana pun tidak akan memahaminya, tetapi para bijaksana akan memahaminya. 11HSejak waktu korban sehari-hari dihapuskan dan kekejian yang mendatangkan kebinasaan itu ditegakkan, akan ada seribu dua ratus sembilan puluh hari. 12Berbahagialah orang yang menanti sehingga mencapai seribu tiga ratus tiga puluh lima hari. 13Tetapi engkau, pergilah sampai tiba ajalmu. Engkau akan beristirahat dan akan bangkit untuk mendapat bahagianmu pada akhir zaman."