Alkitab Versi Borneo |
Penglihatan Daniel di tepi Sungai Tigris 1Pada tahun ketiga dalam zaman pemerintahan Kores, raja Parsi, suatu hal dinyatakan kepada Daniel yang diberi nama Beltsazar. Hal itu benar dan mengenai suatu peperangan yang besar. Dia memahami hal itu dan mendapat pengertiannya melalui penglihatan. 2Pada waktu itu, aku, Daniel, sedang berkabung selama tiga minggu penuh. 3Makanan yang sedap tidak kumakan, daging dan air anggur tidak masuk ke dalam mulutku, dan aku tidak memakai minyak wangi sama sekali sampai genap tiga minggu penuh. 4Pada hari yang kedua puluh empat dalam bulan yang pertama, aku berada di tepi sungai besar, iaitu Sungai Tigris. 5AKetika aku mengangkat mukaku, aku terlihat seorang yang berpakaian kain linen dan berikat pinggang emas dari Ufas. 6Tubuhnya seperti permata topaz, mukanya serupa kilat, matanya seperti obor menyala, lengan dan kakinya serupa gangsa yang digosok, dan bunyi kata-katanya seperti bunyi keramaian orang. 7Hanya aku, Daniel, yang melihat penglihatan itu. Orang yang ada bersamaku tidak melihat penglihatan itu, tetapi kegentaran yang besar melanda mereka sehingga mereka lari menyembunyikan diri. 8Aku tertinggal seorang diri dan melihat penglihatan yang besar itu. Tidak ada lagi kekuatan tersisa padaku. Air mukaku berubah menjadi sangat pucat. Tidak ada lagi kekuatan padaku. 9Lalu aku mendengar bunyi kata-katanya. Ketika aku mendengar bunyi kata-katanya itu, aku jatuh pengsan dengan muka tertelungkup ke tanah. 10Tetapi ada suatu tangan menyentuh aku dan membuat aku gementar pada lutut dan telapak tanganku. 11Katanya kepadaku, "Hai Daniel, orang yang sangat dikasihi, perhatikanlah kata-kata yang kusampaikan kepadamu dan berdirilah tegak, kerana sekarang aku diutus kepadamu." Setelah ia menyampaikan kata-kata itu kepadaku, berdirilah aku dengan gementar. 12Katanya lagi kepadaku, "Jangan takut, Daniel, kerana sejak hari pertama engkau menetapkan hati untuk mendapat pengertian dan merendahkan diri di hadapan Allahmu, permintaanmu telah didengar. Aku ini datang kerana permintaanmu itu. 13BPenguasa kerajaan Parsi muncul menentang aku selama dua puluh satu hari. Tetapi Mikhail, salah seorang malaikat penjaga yang terutama, datang menolong aku, kerana aku tertahan di sana dengan raja-raja Parsi. 14Aku datang untuk menjelaskan kepadamu apa yang akan kelak terjadi kepada bangsamu, kerana penglihatan ini berkenaan hari-hari pada masa depan." 15Setelah dia menyampaikan hal-hal itu kepadaku, aku menundukkan muka memandang tanah dan menjadi kelu. 16Tiba-tiba sesuatu yang serupa anak-anak manusia menyentuh bibirku. Aku membuka mulut dan mulai berbicara. Kataku kepada orang yang berdiri di hadapanku itu, "Ya tuanku, kerana penglihatan itu rasa perih menimpaku dan tidak ada lagi kekuatan padaku. 17Bagaimana hamba tuanku ini dapat berbicara dengan tuanku? Sekarang ini tidak ada lagi kekuatan padaku dan nafas pun tidak tersisa padaku!" 18Sekali lagi dia yang serupa manusia itu menyentuh aku dan menguatkan aku. 19Katanya, "Jangan takut, wahai orang yang sangat dikasihi! Sejahteralah engkau! Jadilah kuat, ya, jadilah kuat!" Ketika dia berbicara denganku, aku menjadi kuat. Lalu kataku, "Berbicaralah, tuanku, kerana tuan telah menguatkan hamba." 20Katanya, "Tahukah engkau mengapa aku datang kepadamu? Sebentar lagi aku akan kembali berperang melawan malaikat penjaga Parsi. Setelah aku pergi, ketahuilah, malaikat penjaga Yunani akan datang. 21Tetapi aku akan memberitahukan apa yang tersurat dalam Kitab Kebenaran. Tidak ada sesiapa pun yang membantu aku melawan mereka, selain Mikhail, malaikat penjagamu.