Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Kisah Para Rasul 6

A A A
Alkitab Versi Borneo

Tujuh orang dipilih untuk berkhidmat

1Tidak berapa lama selepas itu, ketika murid Yesus kian meningkat bilangannya, timbullah aduan daripada orang Yahudi peranakan Yunani terhadap orang Yahudi Ibrani. Orang Yahudi peranakan Yunani berkata bahawa balu dalam kalangan mereka diabaikan dalam pengagihan bantuan harian. 2Dengan demikian, dua belas rasul itu menghimpunkan semua murid lalu berkata, "Kami ini tidaklah wajar mengetepikan kewajipan menyampaikan firman Allah untuk melayan di meja makan. 3Oleh itu, pilihlah tujuh orang dalam kalangan saudara yang mempunyai nama baik dan dipenuhi Roh Kudus serta kebijaksanaan, supaya kami tugaskan mereka mengendalikan hal itu. 4Kami akan memenuhi masa kami dengan berdoa dan menyampaikan perkhabaran firman."

5Semua bersetuju dengan cadangan para rasul. Mereka memilih Stefanus, seorang yang sangat teguh imannya serta dikuasai oleh Roh Kudus. Di samping itu, mereka memilih Filipus, Prokhorus, Nikanor, Timon, Parmenas, dan Nikolaus dari Antiokhia, seorang penganut agama Yahudi. 6Tujuh orang itu dibawa ke hadapan para rasul. Para rasul pun berdoa dan meletakkan tangan ke atas mereka.

7Dengan demikian firman Allah semakin tersebar dan bilangan murid Yesus di Yerusalem kian meningkat, dan ramai imam menjadi orang beriman.

Stefanus ditangkap

8Stefanus, yang dipenuhi kasih kurnia dan kuasa rohani, banyak melakukan keajaiban dan tanda dalam kalangan orang ramai. 9Tetapi ada beberapa orang yang bangkit menentangnya, iaitu anggota saumaahi yang disebut Saumaah Orang Yang Dibebaskan (terdiri daripada orang Yahudi dari Kirene, Aleksandria,ii Kilikia dan Asia). Mereka mulai berbahas dengan Stefanus. 10Namun demikian, mereka tidak dapat menewaskan kebijaksanaan dan Roh Kudus yang mengilhamkan kata-katanya. 11Setelah itu, mereka senyap-senyap mendorong beberapa orang berkata, "Kami telah mendengar dia melafazkan kata-kata kufur terhadap Musa dan Allah." 12Mereka menghasut orang ramai, tua-tua dan ahli-ahli Taurat sehingga Stefanus ditangkap dan dihadapkan ke Majlis Agama. 13Mereka membawa saksi-saksi palsu yang berkata tentang Stefanus, "Orang ini tidak putus-putus meluahkan kata-kata kufur tentang tempat suci ini dan hukum agama kita. 14Kami mendengar dia berkata bahawa Yesus orang Nazaret itu akan membinasakan tempat ini dan mengubah segala adat yang telah disampaikan kepada kita oleh Musa." 15Ketika itu semua orang yang duduk di Majlis Agama merenung Stefanus dan melihat mukanya seperti wajah malaikat.