Alkitab Versi Borneo |
Ananias dan Safira 1Seorang yang bernama Ananias, serta isterinya Safira, telah menjual sebidang tanah milik mereka. 2Dia menyimpan sebahagian wang jualan itu dengan pengetahuan isterinya dan membawa sebahagian lagi untuk diletakkan di kaki para rasul. 3Petrus berkata, "Ananias, mengapakah Iblis memenuhi hatimu sehingga kau berdusta kepada Roh Kudus dengan menyimpan sebahagian wang jualan tanah itu untuk dirimu? 4Ketika tanah itu masih ada, bukankah tanah itu milikmu? Setelah dijual, bukankah wangnya dalam kawalanmu juga? Mengapakah kamu membentuk niat ini dalam hatimu? Kamu bukan berdusta kepada manusia tetapi kepada Allah." 5Apabila Ananias mendengar kata-kata itu, dia pun rebah lalu meninggal dunia. Oleh yang demikian semua orang yang mendengar hal itu amat ketakutan. 6Orang muda-muda bangun lalu mengafankannya, mengangkatnya keluar dan menguburkannya. 7Kira-kira tiga jam kemudian, isterinya masuk tanpa mengetahui apa yang telah terjadi. 8Petrus berkata kepadanya, "Katakanlah kepadaku, adakah kamu menjual tanah itu dengan harga sekian?" Perempuan itu menjawab, "Ya, dengan harga sekian." 9Petrus berkata kepadanya, "Bagaimana pula kamu berdua telah bermuafakat untuk mencubai Roh Tuhan? Lihatlah, kaki orang yang telah menguburkan suamimu ada di muka pintu, dan mereka akan mengangkatmu pula keluar." 10Perempuan itu serta-merta rebah di kakinya lalu meninggal dunia. Orang muda-muda itu masuk dan mendapati perempuan itu sudah mati lalu mengangkatnya keluar dan menguburkannya di sisi suaminya. 11Oleh yang demikian, seluruh jemaah amat ketakutan, begitu juga semua yang mendengar hal itu. Tanda-tanda ajaib dan mukjizat 12Melalui rasul-rasul itu banyak tanda ajaib dan mukjizat dilakukan dalam kalangan masyarakat itu. Semuanya berhimpun dengan sehati di Serambi Salomo. 13Walaupun orang lain tidak berani menyertai mereka, namun orang ramai sangat menghormati mereka. 14Semakin lama semakinlah bertambah bilangan orang yang mempercayai Tuhan, baik lelaki mahupun perempuan. 15Orang membawa orang sakit keluar ke tengah jalan, membaringkan mereka di atas katil dan tikar, dengan harapan sekurang-kurangnya bayang-bayang Petrus akan menyentuh sesetengahnya apabila dia lalu kelak. 16Ramai pula orang dari kota-kota sekeliling Yerusalem datang berhimpun, membawa orang yang sakit dan yang dirasuk roh-roh jahat, lalu semuanya disembuhkan. Para rasul dianiaya 17Imam besar dan semua yang bersamanya (iaitu daripada mazhab orang Saduki) amat iri hati 18lalu menangkap rasul-rasul itu dan memasukkan mereka ke penjara umum. 19Tetapi pada malam itu malaikat Tuhan membuka pintu penjara lalu membawa rasul-rasul itu keluar sambil berkata, 20"Pergilah berdiri di Bait Suci dan nyatakan segala yang dikatakan tentang hidup baru ini kepada orang ramai." 21Setelah mendengar kata-kata itu, ketika fajar menyingsing, mereka pergi ke Bait Suci dan mula mengajar. Kemudian tibalah imam besar dan pengikut-pengikutnya. Mereka memanggil para tua-tua orang Israel berkumpul untuk mengadakan mesyuarat Majlis Agama, lalu memerintahkan rasul-rasul itu dibawa dari penjara untuk dihadapkan kepada mereka. 22Apabila pegawai-pegawai itu sampai di penjara dan mendapati rasul-rasul itu tidak ada di situ, mereka pun pulang melaporkan hal itu, 23"Kami dapati pintu penjara tetap berkunci dan pengawal-pengawal berjaga di situ, tetapi apabila kami membuka pintu, kami dapati tiada seorang pun di dalam penjara itu." 24Apabila ketua Bait Suci dan ketua-ketua imam mendengar laporan itu, mereka kebingungan tentang apa yang mungkin terjadi kelak. 25Kemudian seorang lelaki masuk dan berkata kepada mereka, "Orang yang tuan-tuan penjarakan itu sedang mengajar orang ramai di dalam Bait Suci!" 26Dengan demikian, ketua Bait Suci pergi diiringi pegawai-pegawai lalu membawa rasul-rasul itu beredar dari situ tanpa menggunakan kekerasan, kerana takut direjam oleh orang ramai. 27Mereka membawa para rasul ke hadapan Majlis Agama. Imam besar berkata, 28A"Bukankah kami telah melarang keras kamu mengajar atas nama itu? Tetapi lihatlah, kamu telah menyebarkan ajaran itu ke serata Yerusalem dan berniat mempertanggungjawabkan kami atas kematian-Nya!" 29Petrus dan rasul yang lain menjawab, "Kami harus taat akan Allah, bukan manusia! 30Allah nenek moyang kita telah membangkitkan Yesus yang telah kamu bunuh dengan menyalib-Nya. 31Allah mengangkat Yesus kepada kedudukan mulia di sebelah kanan-Nya, sebagai Anak Raja dan Penyelamat, supaya umat Israel dapat bertaubat dan dosa-dosa mereka diampunkan. 32Kami menjadi saksi dalam semua hal ini, begitu juga Roh Kudus yang dikurniakan Allah kepada semua yang taat akan perintah-Nya." 33Apabila anggota-anggota Majlis Agama mendengar kata-kata itu, mereka sangat marah sehingga berura-ura hendak membunuh para rasul. 34Akan tetapi, dalam kalangan anggota Majlis Agama itu ada seorang Farisi bernama Gamaliel, seorang ahli Taurat yang sangat disegani. Dia bangkit lalu mengarahkan orang membawa para rasul keluar sejurus. 35Kemudian dia berkata kepada Majlis Agama, "Saudara-saudara orang Israel! Timbangkan halus-halus apa yang hendak saudara semua lakukan terhadap orang itu. 36Suatu masa dahulu, Teudas telah bangkit dan mengaku dirinya pemimpin besar. Kira-kira empat ratus orang menjadi pengikutnya. Tetapi dia dibunuh, lalu semua pengikutnya kucar-kacir dan pergerakannya hilang begitu sahaja. 37Selepas itu muncul pula Yudas, orang Galilea, pada masa pembancian. Dia mempengaruhi ramai orang untuk memberontak, namun dia juga dibunuh, lantas semua pengikutnya kucar-kacir. 38Dengan demikian, dalam hal ini, aku cadangkan jangan ambil apa-apa tindakan terhadap orang itu. Bebaskan mereka. Kalau rancangan atau usaha ini daripada manusia, segalanya akan hilang begitu sahaja. 39Sebaliknya, kalau segalanya itu datang daripada Allah, saudara-saudara tidak mungkin menumpaskannya, malah mungkin akan ternyata bahawa saudara-saudara melawan Allah." 40Majlis Agama menerima nasihat Gamaliel. Para rasul dipanggil, dipukul, dilarang lagi bercakap dengan nama Yesus, lalu dibebaskan. 41Ketika beredar pergi dari Majlis Agama, para rasul bersukacita kerana dianggap layak menanggung aib atas nama Yesus. 42Setiap hari, di Bait Suci dan di setiap rumah orang, mereka terus-menerus mengajarkan dan mengkhabarkan berita baik bahawa Yesus itulah Mesias.i