Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Kisah Para Rasul 3

A A A
Alkitab Versi Borneo

Orang lumpuh disembuhkan

1Petrus dan Yohanes naik ke Bait Suci bersama-sama pada waktu beribadat pada jam kesembilan.i 2Ada seorang lumpuh sejak dari rahim ibunya. Setiap hari dia diangkat orang dan diletakkan di pintu Bait Suci itu yang dinamakan Pintu Indah, untuk meminta sedekah daripada orang yang masuk ke Bait Suci itu. 3Apabila dia melihat Petrus dan Yohanes sedang hendak masuk ke Bait Suci itu, dia pun meminta sedekah. 4Petrus merenungnya, bersama Yohanes, lalu berkata, "Pandanglah kami." 5Orang itu pun menatap mereka, dengan harapan mendapat sesuatu daripada mereka. 6Kemudian Petrus berkata, "Emas perak tiada padaku, tetapi apa yang ada padaku kuberikan kepadamu: Dalam nama Yesus Kristus, orang Nazaret, bangkit dan berjalanlah." 7Petrus memegang tangan kanannya dan menolongnya berdiri, lalu serta-merta tulang kaki dan buku lalinya mendapat kekuatan. 8Orang itu melompat bangun, berdiri lalu berjalan. Kemudian dia masuk ke Bait Suci itu mengikut Petrus dan Yohanes sambil berjalan, melompat dan memuji Allah. 9Semua orang melihatnya berjalan sambil memuji Allah. 10Ketika itu mereka pun mengetahui dia itu orang yang duduk meminta sedekah di Pintu Indah Bait Suci itu. Mereka pun dipenuhi rasa hairan dan ajaib akan apa yang telah berlaku kepadanya.

Petrus berkhutbah di Bait Suci

11Sementara orang lumpuh yang telah disembuhkan itu berpegang kepada Petrus dan Yohanes, semua orang yang tersangat hairan itu berlari mengerumuni mereka di serambi yang dinamakan Serambi Salomo. 12Apabila Petrus melihat keadaan ini, dia terus berkata kepada orang yang berhimpun itu, "Saudara-saudara orang Israel, mengapa kamu takjub melihat kejadian ini? Mengapa pula kamu merenung kami, seolah-olah dengan kuasa atau kesalihan kami sendiri kami telah membolehkan orang ini berjalan? 13AAllah Abraham, Ishak dan Yakub, Allah nenek moyang kita, telah memuliakan Hamba-Nya Yesus yang telah kamu serahkan dan sangkal di hadapan Pilatus walaupun dia membuat keputusan hendak melepaskan-Nya. 14BKamu menyangkal Yang Suci dan Benar itu, serta meminta seorang pembunuh diserahkan kepadamu, 15lalu kamu membunuh sumber hayat itu; Allah membangkitkan-Nya daripada kematian, dan kami ini menjadi saksinya. 16Iman pada nama Yesus telah menguatkan orang ini, yang kamu lihat dan kenali. Ya, iman yang datang daripada-Nya telah memberi orang ini kesihatan yang sempurna di hadapan kamu sekalian.

17Namun demikian, saudara-saudara, aku tahu bahawa kamu berbuat demikian dalam kejahilan, begitu juga para pemimpinmu. 18Tetapi dengan cara demikianlah segala yang dinyatakan Allah melalui lidah nabi-nabi-Nya, bahawa Kristus akan menderita, telah ditunaikan-Nya. 19Oleh itu, bertaubatlah dan berpalinglah kepada Allah, supaya dosa-dosamu dihapuskan, dan supaya masa yang memberikan kesegaran datang kelak daripada Tuhan. 20Dan juga supaya Dia menghantar Yesus Kristus yang telah ditentukan-Nya menjadi Kristus bagimu. 21Kristus mesti tetap di syurga sampai masa Allah memulihkan segala-galanya, seperti yang difirmankan-Nya dahulukala melalui lidah nabi-nabi-Nya yang suci. 22CMusa sesungguhnya telah berkata kepada nenek moyang kita, 'Tuhan Allah akan membangkitkan untukmu seorang Nabi sepertiku daripada kalangan bangsamu. Dengarlah segala kata-Nya kepadamu dalam semua hal. 23DSetiap jiwa yang tidak mendengar kata Nabi itu akan dibinasakan sama sekali daripada kalangan kaumnya.' 24Ya, semua nabi, daripada Samuel dan selepasnya, semua yang telah bersuara, juga telah bernubuat tentang zaman ini. 25EKamu ialah anak cucu nabi-nabi itu, dan waris perjanjian yang dibuat Allah dengan nenek moyang kita melalui firman-Nya kepada Abraham, 'Melalui benihmu semua bangsa di bumi akan diberkati.' 26Pertama sekali kepada kamu, Allah telah membangkitkan Hamba-Nya Yesus dan menghantar-Nya untuk memberkatimu dengan memalingkan kamu sekalian daripada kejahatanmu."