Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

2 Samuel 9

A A A
Alkitab Versi Borneo

Kebaikan Raja Daud kepada Mefiboset

1ABerkatalah Daud, "Masih adakah orang yang tinggal daripada keluarga Saul? Maka aku akan menunjukkan kasihku kepadanya demi Yonatan."

2Keluarga Saul mempunyai seorang hamba, yang bernama Ziba. Dia dipanggil menghadap Daud, lalu raja bertanya kepadanya: "Adakah kamu ini Ziba?"

Jawabnya: "Hamba tuanku."

3BKemudian berkatalah raja: "Daripada keluarga Saul, tidak adakah lagi orang yang tinggal? Aku hendak menunjukkan kepadanya kasih daripada Allah."

Jawab Ziba kepada raja, "Masih ada seorang anak lelaki Yonatan yang tempang kedua-dua belah kakinya."

4Tanya raja kepadanya, "Di manakah dia?"

Jawab Ziba kepada raja: "Dia ada di rumah Makhir anak Amiel, di Lodebar." 5Sesudah itu Raja Daud menyuruh orang itu dibawa dari rumah Makhir anak Amiel, dari Lodebar.

6Dan Mefiboset anak Yonatan anak Saul masuk menghadap Daud lantas sujud dan menyembah. Kata Daud, "Mefiboset!"

Jawabnya, "Hambamu ini, tuanku."

7Kemudian berkatalah Daud kepadanya: "Janganlah takut, kerana aku pasti akan menunjukkan kasihku kepadamu demi Yonatan, ayahmu. Aku akan mengembalikan kepadamu segala ladang Saul, datukmu, dan engkau akan selalu makan di mejaku."

8Lalu sujudlah Mefiboset dan berkata, "Siapakah hambamu ini, sehingga tuanku menghiraukan anjing mati seperti aku?"

9Kemudian raja memanggil Ziba, hamba Saul itu, dan berkata kepadanya, "Segala milik Saul dan milik seluruh keluarganya kukurniakan kepada cucu tuanmu ini. 10Engkau, anak-anakmu dan hamba-hambamu harus mengerjakan tanah baginya serta mengumpulkan hasil supaya cucu tuanmu ini cukup makanan. Mefiboset, cucu tuanmu itu, akan selalu makan di mejaku." Ziba mempunyai lima belas orang anak lelaki dan dua puluh orang hamba.

11Berkatalah Ziba kepada raja: "Semua yang diperintahkan Tuanku Raja akan hamba laksanakan."

Maka Mefiboset makan di meja Daud sebagai salah seorang anak raja. 12Mefiboset mempunyai seorang anak lelaki bernama Mikha yang masih kecil, dan semua orang yang tinggal di rumah Ziba ialah hamba Mefiboset. 13Demikianlah Mefiboset, yang tempang kedua-dua belah kakinya itu, tinggal di Yerusalem dan selalu makan di meja raja.