Alkitab Versi Borneo |
1Peperangan antara keluarga Saul dengan keluarga Daud berlanjutan lamanya. Daud semakin lama semakin kuat, manakala keluarga Saul semakin lama semakin lemah. Anak lelaki Daud 2Anak-anak lelaki dilahirkan bagi Daud di Hebron. Yang sulung ialah Amnon yang dilahirkan oleh Ahinoam orang Yizreel itu. 3Anak yang kedua ialah Kileab daripada Abigail, balu Nabal, orang Karmel. Anak yang ketiga ialah Absalom, anak Maakha anak Talmai, raja Gesur. 4Anak yang keempat ialah Adonia, anak Hagit. Anak yang kelima ialah Sefaca, anak Abital. 5Anak yang keenam ialah Yitream, daripada Egla, isteri Daud. Mereka itu anak-anak lelaki dilahir bagi Daud di Hebron. Abner memihak Daud 6Sewaktu berlangsung peperangan antara keluarga Saul dengan keluarga Daud, Abner menguatkan kedudukannya dalam keluarga Saul. 7Saul memiliki seorang gundik bernama Rizpa anak Aya. Kata Isyboset kepada Abner, "Mengapakah engkau menghampiri gundik ayahku?" 8Maka sangat marahlah Abner kerana kata-kata Isyboset itu. Katanya, "Adakah aku ini kepala anjing dari Yehuda? Sampai kini aku telah menunjukkan kesetiaan kepada keluarga Saul, ayahmu, kepada saudara-saudaranya, dan kepada sahabat-sahabatnya. Aku tidak menyerahkan engkau ke dalam tangan Daud. Namun demikian, pada hari ini engkau menuduh aku bersalah dengan seorang perempuan! 9ABiarlah Allah menjatuhkan azab kepada Abner, bahkan lebih lagi, jika aku tidak melakukan terhadap Daud seperti yang dijanjikan Tuhan kepadanya dengan bersumpah, 10iaitu mengalihkan kerajaan daripada keluarga Saul dan mendirikan takhta Daud atas orang Israel dan atas orang Yehuda, dari Dan sampai Bersyeba." 11Isyboset tidak dapat menjawab Abner lagi dengan sepatah kata pun, kerana dia takut kepadanya. 12Abner pun mengirim beberapa orang utusan kepada Daud sebagai wakilnya, dengan pesan, "Siapakah gerangan pemilik negeri ini?" Dia berkata pula, "Ikatlah perjanjian dengan hamba. Sesungguhnya, hamba akan menyokong tuanku untuk membawa semua orang Israel kepada tuanku." 13Jawab Daud, "Baik, aku akan mengikat perjanjian dengan engkau. Hanya satu hal yang kuminta daripada kamu: engkau tidak boleh menghadap aku kecuali jika engkau membawa Mikhal anak Saul terlebih dahulu ketika engkau hendak datang menghadap aku." 14BKemudian Daud mengirim beberapa orang utusan kepada Isyboset anak Saul dengan pesan, "Serahkanlah isteriku, Mikhal, yang telah dipertunangkan kepadaku dengan seratus keping kulit kulup orang Filistin." 15Lalu Isyboset menyuruh agar perempuan itu diambil daripada suaminya, iaitu daripada Paltiel anak Lais. 16Suaminya berjalan menyertai dia sambil menangis. Diikutinya isterinya sampai ke Bahurim, lalu kata Abner kepadanya, "Pulanglah engkau!" Maka pulanglah ia. 17Kemudian berbicaralah Abner dengan para tua-tua Israel, katanya, "Sudah lama kamu menghendaki Daud menjadi raja atas kamu. 18Sekarang laksanakanlah, kerana mengenai Daud Tuhan telah berfirman demikian, 'Dengan perantaraan Daud, hamba-Ku, Aku akan menyelamatkan Israel, umat-Ku, daripada tangan orang Filistin dan daripada tangan semua musuhnya." 19Abner juga berbicara kepada orang Benyamin. Setelah itu, Abner pergi ke Hebron untuk menyampaikan kepada Daud segala hal yang dipandang baik oleh orang Israel dan oleh seluruh bani Benyamin. 20Ketika Abner bersama dua puluh orang yang menyertainya sampai di Hebron untuk menghadap Daud, Daud mengadakan suatu jamuan bagi Abner dan orang yang menyertainya itu. 21Lalu Abner berkata kepada Daud, "Aku akan bersiap pergi dan mengumpulkan kesemua orang Israel bagi Tuanku Raja supaya mereka mengikat perjanjian dengan tuanku dan supaya tuanku dapat bertakhta atas semua yang dihasratkan hati tuanku." Maka Daud menyuruh Abner pergi, dan Abner berangkat dengan selamat. Abner dibunuh Yoab 22Tidak beberapa lama selepas itu, datanglah anak buah Daud bersama-sama Yoab setelah selesai menjalankan penyerbuan. Mereka membawa banyak jarahan. Abner sudah tidak lagi bersama Daud di Hebron kerana Daud telah menyuruh dia pergi dan dia berangkat dengan selamat. 23Setelah Yoab dan seluruh tentera yang menyertainya tiba, kepada Yoab dikhabarkan demikian, "Tadi Abner anak Ner datang menghadap raja, dan baginda telah melepaskan dia pergi dan dia berangkat dengan selamat." 24Maka datanglah Yoab menghadap raja dan berkata, "Apakah yang tuanku lakukan? Lihat, Abner datang menghadap tuanku. Mengapakah tuanku melepaskannya pergi? 25Tuanku mengenal Abner anak Ner. Dia datang untuk memperdaya tuanku, untuk mengetahui gerak-geri tuanku, dan untuk mengetahui segala perbuatan tuanku." 26Sesudah itu, keluarlah Yoab meninggalkan Daud dan menyuruh orang untuk menyusul Abner, lalu mereka membawanya pulang dari perigi Sira tanpa diketahui Daud. 27Sekembalinya Abner ke Hebron, Yoab membawanya sebentar ke samping di tengah-tengah pintu gerbang itu, seakan-akan hendak berbicara secara empat mata dengannya. Lalu ditikamnyalah perut Abner sampai mati demi membalas hutang darah Asael, adiknya. 28Apabila Daud mendengar hal itu, dia berkata, "Di hadapan Tuhan, untuk selamanya aku dan kerajaanku tidak bersalah terhadap darah Abner anak Ner. 29Biarlah tertanggung dosa itu atas diri Yoab dan atas seluruh kaumnya. Biarlah dalam keluarga Yoab tidak putus-putusnya ada orang yang mengeluarkan lelehan, yang kusta, yang terpaksa bertongkat, yang tumpas akibat pedang, atau yang kekurangan makanan." 30Demikianlah Yoab dan Abisai, adiknya, membunuh Abner kerana dia telah membunuh Asael, adik mereka, dalam peperangan di Gibeon. 31Kemudian berkatalah Daud kepada Yoab dan kepada seluruh rakyat yang menyertainya, "Koyakkanlah pakaianmu, lilitkanlah kain kabung, dan merataplah di depan jenazah Abner." Raja Daud sendiri pun turut mengiringi kerandanya. 32Ketika Abner dikebumikan di Hebron, menangislah raja dengan suara nyaring di kubur Abner, demikian pula seluruh rakyat. 33Raja meratap kerana Abner dan berkata, "Haruskah Abner mati seperti kematian seorang yang bodoh? 34Tanganmu tidak terikat dan kakimu pun tidak terbelenggu. Seperti orang yang tumpas di depan orang jahat, demikian jualah ketumpasan kamu." Maka seluruh rakyat menangisinya lagi. 35Seluruh rakyat datang dan memohon semoga Daud makan roti sementara hari masih siang. Tetapi Daud bersumpah, katanya, "Biarlah Allah menjatuhkan azab kepadaku, bahkan lebih lagi, jika aku mengecap roti atau apa-apa pun sebelum matahari terbenam." 36Seluruh rakyat memperhatikan hal itu dan hal itu dipandang baik mereka, sebagaimana segala sesuatu yang dilakukan raja dipandang baik oleh seluruh rakyat. 37Pada hari itu tahulah seluruh rakyat dan seluruh orang Israel bahawa pembunuhan Abner anak Ner tidak berpunca daripada raja. 38Kemudian berkatalah raja kepada para pegawainya, "Tidakkah kamu tahu bahawa pada hari ini gugur seorang pemimpin, seorang besar di Israel? 39Tetapi aku ini sekarang masih lemah, sekalipun sudah dinobatkan menjadi raja, manakala kalangan itu, yakni anak-anak Zeruya, jauh lebih kuat daripada aku. Semoga Tuhan membalas kepada orang yang berbuat jahat setimpal dengan kejahatannya."