Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

2 Samuel 20

A A A
Alkitab Versi Borneo

Pemberontakan Seba

1AKebetulan di sana ada seorang yang rendah akhlak bernama Seba anak Bikri, seorang Benyamin. Dia meniup sangkakala dan berkata, "Kita tidak mendapat bahagian daripada Daud, kita tidak mendapat harta pusaka daripada anak Isai itu! Pulanglah ke khemah masing-masing, wahai orang Israel!" 2Maka semua orang Israel berhenti mengikuti Daud, lalu mereka mengikuti Seba anak Bikri. Akan tetapi, orang Yehuda tetap setia mengikuti raja mereka, dari Sungai Yordan ke Yerusalem.

3BDaud pun sampai di istananya, di Yerusalem. Lalu dia mengumpulkan sepuluh orang gundik yang ditinggalkannya untuk menunggui istana, lalu menempatkan mereka di sebuah rumah yang dijaga. Dia menyediakan keperluan mereka, tetapi tidak meniduri mereka. Maka mereka dipencilkan sehingga hari kematian mereka dan mereka hidup seperti balu.

4Kemudian raja berkata kepada Amasa, "Kerahkanlah bagiku orang Yehuda dalam tiga hari dan kamu hadirlah lagi di sini." 5Maka pergilah Amasa mengerahkan orang Yehuda. Akan tetapi, dia berlambat-lambat sehingga melebihi batas waktu yang ditentukan baginya. 6Lalu kata Daud kepada Abisai, "Sekarang Seba anak Bikri akan mencederakan kita lebih daripada Absalom. Jadi, bawalah hamba-hamba tuanmu dan kejarlah dia, supaya jangan dia merebut kota-kota yang berkubu dan terselamat daripada kita." 7Lalu keluarlah orang Yoab, orang Kreti, orang Pleti, dan semua kesateria untuk mengikutinya. Mereka keluar dari Yerusalem untuk mengejar Seba anak Bikri. 8Ketika mereka berada dekat dengan batu besar di Gibeon, datanglah Amasa menemui mereka. Pada waktu itu Yoab mengenakan pakaian perang dengan ikat pinggang dan sebilah pedang bersarung yang tersandang di pinggangnya. Ketika dia melangkah maju, pedang itu terjatuh. 9Kata Yoab kepada Amasa, "Engkau sihat, saudaraku?" Lalu Yoab memegang janggut Amasa dengan tangan kanannya untuk mencium dia. 10Tetapi Amasa tidak memperhatikan pedang yang ada di tangan kiri Yoab. Lalu Yoab menikamkan pedang itu ke perutnya, sehingga isi perutnya terburai ke tanah. Yoab tidak perlu menikam Amasa lagi kerana dia sudah mati. Setelah itu, Yoab dan Abisai, adiknya, mengejar Seba anak Bikri. 11Salah seorang anak buah Yoab berdiri di sisi jenazah itu dan berkata, "Sesiapa yang menyukai Yoab dan sesiapa yang memihak kepada Daud, ikutilah Yoab." 12Pada waktu itu Amasa terguling di tengah jalan raya dengan berlumuran darah. Ketika dilihatnya seluruh rakyat masih berdiri di situ, disingkirkannya jenazah Amasa dari jalan raya ke padang, lalu ditutupnya jenazah itu dengan sehelai kain, kerana setiap orang yang berlalu di sampingnya berhenti di situ. 13Setelah jenazah itu dipindahkan dari jalan raya, barulah seluruh rakyat berjalan mengikuti Yoab untuk mengejar Seba anak Bikri.

14Seba telah melintasi semua daerah suku Israel sampai Abel-Bet-Maakha. Semua orang Bikri telah berkumpul lalu mengikutinya juga. 15Kemudian datanglah anak buah Yoab mengepungnya di Abel-Bet-Maakha. Mereka mendirikan sebuah benteng di hadapan kota itu sedemikian rupa sehingga benteng itu berada dekat dengan tembok kota. Seluruh pasukan yang menyertai Yoab pun menggempur tembok itu untuk merobohkannya. 16Kemudian berserulah seorang perempuan yang bijak dari dalam kota itu, "Dengarlah! Dengarlah! Tolong katakan kepada Yoab, 'Datanglah mendekat ke mari, supaya hamba dapat berbicara dengan tuan.' " 17Ketika Yoab datang mendekat, bertanyalah perempuan itu, "Adakah tuan ini Yoab?"

Jawabnya, "Ya!"

Kata perempuan itu kepadanya, "Dengarlah kata-kata hambamu ini!"

Jawabnya, "Aku dengar!"

18Kemudian berbicaralah perempuan itu, katanya, "Pada zaman dahulu orang biasa berkata begini, 'Mintalah petunjuk di Abel' dan demikianlah cara mereka menyelesaikan perkara. 19Hamba seorang daripada kalangan yang suka akan damai dan setia di Israel. Tuan berikhtiar untuk memusnahkan sebuah kota, iaitu sebuah kota induk di Israel. Mengapakah tuan hendak menelan habis harta pusaka Tuhan?"

20Lalu Yoab menjawab demikian, "Janganlah, janganlah aku sekali-kali menelan atau memusnahkan! 21Bukan begitu maksudku. Akan tetapi, seorang daripada pergunungan Efraim, namanya Seba anak Bikri, telah berniat menghancurkan Raja Daud. Serahkan sahaja dia, maka aku akan meninggalkan kota ini."

Kata perempuan itu kepada Yoab, "Baik, kepalanya akan dilemparkan kepada tuan dari tembok ini." 22Kemudian pergilah perempuan itu mendapatkan seluruh rakyat secara bijak. Lalu mereka memenggal kepala Seba anak Bikri dan melemparkannya kepada Yoab. Maka Yoab meniup sangkakala, lalu bubarlah mereka dari kota itu dan masing-masing ke khemahnya. Setelah itu, kembalilah Yoab ke Yerusalem menghadap raja.

23Yoab mengepalai seluruh tentera Israel. Benaya anak Yoyada mengepalai orang Kreti dan orang Pleti. 24Adoram mengepalai para buruh paksa manakala Yosafat anak Ahilud menjadi pencatat sejarah. 25Seya menjadi jurutulis sementara Zadok dan Abyatar menjadi imam. 26Ira, orang Yair itu, juga menjadi imam bagi Daud.