Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

2 Samuel 19

A A A
Alkitab Versi Borneo

Yoab menegur Raja Daud

1Lalu kepada Yoab dikhabarkan, "Ketahuilah, raja meratap dan berkabung kerana Absalom." 2Maka pada hari itu kemenangan berubah menjadi perkabungan bagi seluruh pasukan kerana pasukan mendengar orang berkata, "Raja berdukacita kerana puteranya." 3Jadi, pada hari itu umat memasuki kota secara diam-diam, seperti umat yang malu setelah melarikan diri daripada peperangan. 4Raja menyelubungi mukanya, lalu meratap dengan suara nyaring, "Oh, puteraku Absalom! Oh, Absalom, puteraku, puteraku!"

5Kemudian masuklah Yoab ke dalam rumah menghadap raja dan berkata, "Pada hari ini tuanku mencoreng muka semua hamba tuanku yang telah membebaskan nyawa tuanku dan juga nyawa anak-anak lelaki dan perempuan tuanku, nyawa para isteri tuanku, serta nyawa para gundik tuanku, 6dengan mengasihi orang yang membenci tuanku dan membenci orang yang mengasihi tuanku. Pada hari ini tuanku menyatakan bahawa para pemimpin dan pegawai tidak bererti apa-apa bagi tuanku. Bahkan pada hari ini hamba tahu bahawa sekiranya Absalom masih hidup dan kami semua mati pada hari ini, maka hal itu pun akan dipandang baik oleh tuanku. 7Maka sekarang, hendaklah tuanku bangun, lalu keluar dan berbicara menenangkan hati hamba-hamba tuanku. Hamba bersumpah demi Tuhan, jika tuanku tidak keluar, maka tidak ada seorang pun yang akan tinggal bersama tuanku malam ini, dan hal itu akan menjadi hal yang terburuk bagi tuanku berbanding dengan segala malapetaka yang pernah menimpa tuanku sejak masa kecil tuanku sampai sekarang ini." 8Kemudian bangunlah raja lalu duduk di pintu gerbang. Maka kepada seluruh rakyat dikhabarkan demikian, "Ketahuilah, raja duduk di pintu gerbang." Lalu datanglah seluruh rakyat menghadap raja.

Sementara itu orang Israel telah melarikan diri ke rumah masing-masing.

Raja Daud kembali ke Yerusalem

9Seluruh rakyat antara semua suku Israel berbantah-bantah, kata mereka, "Rajalah yang melepaskan kita daripada cengkaman musuh-musuh kita dan bagindalah yang membebaskan kita daripada cengkaman orang Filistin. Tetapi sekarang, baginda melarikan diri dari negeri ini kerana Absalom, 10sedangkan Absalom yang telah kita tahbiskan untuk memerintah kita sudah mati dalam peperangan. Maka sekarang, mengapakah kamu berdiam diri sahaja dalam hal membawa raja kembali?"

11Pesan semua orang Israel itu pun sampai kepada raja di kediamannya. Kemudian Raja Daud menyuruh orang untuk menemui para imam iaitu Zadok dan Abyatar, dengan pesan, "Katakanlah kepada para tua-tua Yehuda demikian, 'Mengapa kamu menjadi yang terakhir dalam hal membawa raja kembali ke istananya? 12Kamu saudara-saudaraku, dan kamu darah dagingku. Lalu mengapa kamu menjadi yang terakhir dalam hal membawa raja kembali?' 13Kepada Amasa haruslah kamu katakan, 'Bukankah engkau darah dagingku? Biarlah Allah menjatuhkan azab kepadaku, bahkan lebih lagi, jika engkau tidak kujadikan panglima tenteraku untuk seterusnya sebagai ganti Yoab.' " 14Demikianlah Daud mengambil hati semua orang Yehuda, sehingga mereka itu sehati sejiwa. Kemudian mereka mengutus orang untuk menyampaikan pesan ini kepada raja, "Silakan tuanku kembali bersama-sama semua anak buah tuanku."

15Maka kembalilah Raja Daud, lalu sampai di Sungai Yordan. Sementara itu orang Yehuda datang ke Gilgal untuk menyongsong raja dan membawa raja untuk menyeberangi Sungai Yordan.

Raja Daud mengampuni para musuhnya

16ASimei anak Gera, orang Benyamin yang berasal dari Bahurim itu, datang tergesa-gesa bersama orang Yehuda untuk menyongsong Raja Daud. 17Bersama-sama dia ada seribu orang Benyamin dan juga Ziba, pelayan keluarga Saul itu, berserta lima belas anak lelakinya dan dua puluh hambanya. Mereka menyeberangi Sungai Yordan untuk mendahului raja, 18lalu mereka menanti di tempat penyeberangan untuk membantu keluarga raja dan untuk melakukan apa yang dipandangnya baik.

Simei anak Gera sujud di hadapan raja setelah baginda menyeberangi Sungai Yordan, 19dan berkata kepada raja, "Janganlah tuanku perhitungkan kesalahan hamba, dan janganlah ingat-ingat akan perbuatan hamba yang jahat pada hari Tuanku raja keluar dari Yerusalem, lalu menyimpannya dalam hati. 20Hambamu ini menyedari bahawa hamba telah berdosa. Oleh sebab itu lihatlah, pada hari ini hambalah yang pertama sekali datang daripada semua keturunan Yusuf untuk menyongsong Tuanku Raja."

21Akan tetapi, Abisai anak Zeruya berkata, "Bukankah Simei patut dihukum mati kerana dia telah mengutuk orang yang dilantik Tuhan?"

22Kata Daud, "Apakah sangkut-paut aku dengan kamu, wahai anak-anak Zeruya, sehingga pada hari ini kamu menjadi lawanku? Patutkah pada hari ini ada orang yang dihukum mati di Israel? Bukankah pada hari ini akulah raja atas orang Israel?" 23Kemudian kata raja kepada Simei, "Engkau tidak akan mati." Lalu raja bersumpah kepadanya.

Mefiboset menyongsong Raja Daud

24BCucu Saul, Mefiboset, juga datang menyongsong raja. Dia tidak membersihkan kakinya, tidak mencukur janggutnya, dan tidak mencuci pakaiannya sejak raja pergi sehingga raja pulang dengan selamat. 25Sesampainya dia di Yerusalem untuk menyongsong raja, bertanyalah raja kepadanya, "Mengapakah engkau tidak pergi bersama-samaku, Mefiboset?"

26Jawabnya, "Ya Tuanku Raja, hambamu ini telah diperdaya oleh Ziba. Kerana hambamu ini tempang, hamba berkata, 'Pakaikan pelana pada seekor keldai bagiku. Aku akan menungganginya dan pergi bersama-sama raja. 27Tetapi dia memfitnah hambamu ini di hadapan Tuanku Raja. Meskipun demikian, Tuanku Raja adalah seperti malaikat Allah. Biarlah tuanku melakukan apa yang baik di mata tuanku, 28kerana sesungguhnya seluruh kaum keluarga hamba hanyalah orang yang patut dihukum mati di hadapan Tuanku Raja, namun tuanku telah menempatkan hambamu ini antara orang yang makan di meja tuanku. Hak apakah yang masih ada pada hamba untuk mengajukan tuntutan kepada Raja?"

29Kata raja kepadanya, "Apakah gunanya engkau berkata-kata lagi tentang urusanmu? Inilah perintahku: engkau dan Ziba harus membahagi-bahagikan ladang itu."

30Kata Mefiboset kepada raja, "Ah, kerana Tuanku Raja sudah pulang ke istana dengan selamat; biarlah dia mengambil semuanya."

Barzilai turut dengan Raja Daud

31CBarzilai, orang Gilead itu, juga datang dari Rogelim. Dia turut menyeberangi Sungai Yordan bersama-sama raja demi menghantarnya sampai ke seberang sungai. 32Pada waktu itu Barzilai sudah sangat tua, usianya lapan puluh tahun. Selama raja tinggal di Mahanaim, dia menyediakan keperluan baginda, kerana dia seorang yang sangat kaya. 33Kata raja kepada Barzilai, "Menyeberanglah bersamaku. Aku akan menyediakan segala keperluanmu bersamaku di Yerusalem."

34Kata Barzilai kepada raja, "Berapa lamakah lagi hamba hidup, sehingga hamba harus pergi bersama Raja ke Yerusalem? 35Umur hamba sekarang ini lapan puluh tahun. Masihkah hamba dapat membezakan antara yang baik dengan yang jahat? Masihkah hambamu ini dapat mengecap apa yang hamba makan atau apa yang hamba minum? Masihkah hamba dapat mendengar suara penyanyi lelaki atau penyanyi perempuan? Mengapakah pula hambamu ini harus membebani Tuanku Raja lagi? 36Hanya sedikit sahaja hambamu ini berjalan untuk menyertai tuanku menyeberangi Sungai Yordan, lalu mengapakah Raja harus memberi hamba ganjaran yang sedemikian? 37Izinkanlah hambamu ini pulang, supaya hamba dapat mati di kota hamba sendiri, dan dimakamkan di sisi ayah serta ibu hamba. Namun demikian, inilah hambamu Kimham. Izinkanlah dia menyeberang bersama Tuanku Raja dan lakukanlah terhadapnya apa yang dipandang baik oleh tuanku."

38Kata raja, "Kimham akan menyeberang bersamaku dan aku akan melakukan apa yang kaupandang baik terhadap dia. Apa-apa pun yang kaukehendaki daripadaku, akan kulakukan untukmu." 39Kemudian seluruh rakyat itu menyeberangi Sungai Yordan bersama raja. Raja mencium Barzilai dan memohonkan berkat baginya, lalu pulanglah Barzilai ke tempatnya.

Pertengkaran Israel dan Yehuda tentang raja

40Raja berjalan terus ke Gilgal, sementara Kimham ikut bersamanya. Seluruh rakyat Yehuda, dan juga separuh rakyat Israel, membawa raja ikut bersama. 41Tidak lama kemudian tampaklah seluruh orang Israel datang kepada raja dan berkata kepadanya, "Mengapakah para saudara kami, orang Yehuda, mengiringi tuanku dengan diam-diam lalu menghantar Raja berserta keluarga dan semua orang yang menyertainya ke seberang Sungai Yordan?"

42Jawab kesemua orang Yehuda kepada orang Israel, "Kerana raja sememangnya kerabat dekat kami. Mengapakah kamu marah hanya kerana perkara ini? Adakah kami makan sesuatu atas pembayaran raja? Apakah baginda menganugerahkan sesuatu kepada kami?"

43Tetapi orang Israel menjawab orang Yehuda, kata mereka, "Kami mempunyai sepuluh bahagian atas raja, dan kami pun lebih berhak atas Daud daripada kamu. Mengapakah kamu memandang rendah terhadap kami? Bukankah kami yang pertama-tama mengusulkan untuk membawa raja kita kembali?"

Namun begitu, kata-kata orang Yehuda lebih keras daripada kata-kata orang Israel.