Alkitab Versi Borneo |
Pengkomplotan Absalom 1Sesudah itu, Absalom menyiapkan bagi dirinya sebuah rata dengan kuda serta lima puluh orang yang berlari di hadapannya. 2Setiap pagi Absalom bangun lalu berdiri di tepi jalan yang menuju pintu gerbang. Apabila ada orang yang ada perkara yang mahu dihadapkan kepada raja untuk diadili, Absalom akan memanggilnya lalu bertanya, "Dari kota manakah engkau?" Apabila dijawab, "Hambamu ini berasal daripada salah satu suku Israel," 3maka Absalom akan berkata kepadanya, "Lihat, perkaramu itu baik dan benar, tetapi tiada seorang pun ditugaskan raja untuk mendengar engkau." 4Lagi kata Absalom, "Ah, semoga aku diangkat menjadi hakim di negeri ini, maka setiap orang yang datang kepadaku dengan suatu perkara atau pertikaian akan kuberi keadilan!" 5Apabila ada orang yang mendekat untuk memberi hormat kepadanya, maka dia akan menghulurkan tangannya, merangkul orang itu, dan menciumnya. 6Itulah yang dilakukan Absalom terhadap semua orang Israel yang datang menghadap raja untuk diadili perkaranya. Demikianlah Absalom mengambil hati para warga Israel. 7Setelah akhirnya empat tahun, berkatalah Absalom kepada raja, "Izinkanlah hamba pergi ke Hebron untuk membayar nazar yang telah hamba ucapkan kepada Tuhan. 8Semasa tinggal di Gesur, di Aram, hambamu ini pernah mengucapkan nazar demikian, 'Jika Tuhan benar-benar mengembalikan aku ke Yerusalem, aku akan beribadat kepada Tuhan.' " 9Jawab raja kepadanya, "Pergilah dengan selamat." Maka bersiaplah Absalom lalu pergi ke Hebron. 10Akan tetapi, sementara itu Absalom telah mengirim beberapa orang utusan secara sulit kepada semua suku Israel dengan pesan, "Sebaik sahaja kamu mendengar bunyi sangkakala, berserulah, 'Absalom sudah bertakhta di Hebron!' " 11Absalom pergi dengan disertai oleh dua ratus orang dari Yerusalem. Mereka itu para undangan yang pergi dengan tulus hati, tanpa mengetahui apa-apa. 12Ketika Absalom mempersembahkan korban sembelihan, dia menyuruh orang untuk memanggil Ahitofel, orang Gilo, penasihat Daud yang berasal dari Kota Gilo. Semakin kuat komplot semakin ramai warga yang mengikuti Absalom. Raja Daud melarikan diri dari Yerusalem 13Kemudian seorang utusan datang menemui Daud dan berkata, "Kini hati orang Israel sudah berpihak kepada Absalom." 14Lalu berkatalah Daud kepada semua pegawai yang menyertainya di Yerusalem, "Bersiaplah, mari kita melarikan diri. Jika tidak, tentu tiada seorang pun akan terlepas daripada Absalom. Cepatlah pergi, supaya jangan dia memotong kita dengan segera lalu menghancurkan kita dan membunuh penduduk kota ini dengan mata pedang." 15Para pegawai raja berkata kepada raja, "Sesungguhnya, hamba-hambamu siap sedia melaksanakan apa-apa sahaja yang diputuskan oleh Tuanku Raja." 16Kemudian keluarlah raja, dan seisi istananya pun mengikutinya. Raja meninggalkan sepuluh orang gundiknya untuk menunggui istana. 17Dengan diikuti serombongan orang, keluarlah raja. Lalu mereka berhenti berdekatan dengan rumah yang terjauh dari pusat kota. 18Seluruh pegawainya, juga seluruh orang Kreti dan orang Pleti, berjalan di kiri kanannya. Selain itu, seluruh orang Gat yang seramai enam ratus orang itu, mengikutinya dari Gat berjalan di hadapan raja. 19Kemudian berkatalah raja kepada Itai, orang Gat, "Mengapakah engkau juga berjalan bersama-sama kami? Kembalilah dan tinggallah dengan raja itu, kerana engkau ini orang asing dan juga orang buangan. Kembalilah ke tempatmu. 20Baru semalam engkau datang, masakan pada hari ini aku membawa engkau mengembara bersama kami? Padahal aku harus pergi entah ke mana. Kembalilah dan bawalah para saudaramu pulang. Semoga kasih abadi dan kesetiaan menyertai engkau." 21Tetapi Itai menjawab raja demikian, "Demi Tuhan yang hidup dan demi hidup Tuanku Raja, sesungguhnya di mana-mana sahaja Tuanku Raja berada, baik hidup mahupun mati, di situ pulalah hambamu akan berada." 22Kata Daud kepada Itai, "Kalau begitu, berjalanlah terus." Maka berjalanlah Itai, orang Gat itu, dengan semua orangnya dan semua kanak-kanak yang menyertainya. 23Seluruh penduduk negeri menangis dengan suara nyaring ketika seluruh rombongan itu berlalu. Raja dan seluruh rombongannya menyeberangi Sungai Kidron untuk menuju jalan ke gurun. 24Zadok dan semua orang Lewi yang menyertainya ada juga di sana. Mereka mengusung tabut perjanjian Allah. Selain itu, Abyatar juga datang. Kemudian tabut Allah itu diletakkan mereka ke bawah sampai seluruh rakyat selesai menyeberang dan berada jauh dari kota itu. 25Kemudian raja berkata kepada Zadok, "Bawalah tabut Allah itu kembali ke dalam kota. Jika Tuhan berkenan padaku, tentu aku akan dibawa-Nya kembali dan diizinkan melihat tabut itu lagi serta tempat kediaman-Nya. 26Tetapi jika Dia berfirman begini, 'Aku tidak berkenan padamu,' maka sesungguhnya aku ikhlas. Biarlah dilakukan-Nya terhadap aku apa yang dipandang-Nya baik." 27Kata raja lagi kepada Imam Zadok, "Bukankah engkau pelihat itu? Kembalilah ke dalam kota dengan selamat berserta kedua-dua anak kamu, iaitu Ahimaas, anakmu, dan Yonatan anak Abyatar. 28Amat-amatilah! Aku akan menanti di tempat-tempat penyeberangan sungai di gurun, sampai datang khabar daripada kamu memberitahu aku." 29Zadok dan Abyatar pun membawa tabut Allah kembali ke Yerusalem, lalu mereka tinggal di sana. 30Kemudian Daud mendaki tanjakan Bukit Zaitun. Sambil mendaki dia menangis. Dia berjalan dengan kepala berselubung dan berkaki ayam. Seluruh rakyat yang menyertainya pun menyelubungi kepala masing-masing dan berjalan mendaki sambil menangis. 31Lalu kepada Daud dikhabarkan demikian, "Ahitofel ada antara kalangan yang bersekongkol dengan Absalom." Maka berkatalah Daud, "Ya Tuhan, semoga Engkau gagalkanlah segala nasihat Ahitofel." 32Pada waktu Daud sampai di puncak bukit, di tempat orang biasa menyembah Allah, tampaklah Husai, orang Arki, datang menemuinya dengan baju terkoyak-koyak dan dengan debu tanah di kepalanya. 33Kata Daud kepadanya, "Jika engkau berjalan bersamaku, engkau akan menjadi beban bagiku. 34Tetapi jika engkau kembali ke kota dan berkata kepada Absalom, 'Aku hendak menjadi hambamu, ya Raja. Sebagaimana dahulu aku menjadi hamba ayah tuanku, demikianlah sekarang aku hendak menjadi hamba tuanku,' maka engkau akan dapat membatalkan nasihat Ahitofel demi aku. 35Bukankah Zadok dan Abyatar, para imam itu, ada bersertamu di sana? Jadi, beritahulah Zadok dan Abyatar, para imam itu, khabar apa-apa pun yang kaudengar dari istana raja. 36Kedua-dua orang anak mereka, iaitu Ahimaas anak Zadok dan Yonatan anak Abyatar, ada pula di sana bersama-sama mereka. Dengan perantaraan merekalah kamu harus mengirimkan kepadaku semua khabar yang kamu dengar." 37Husai, sahabat Daud itu, sampai di Yerusalem pada waktu Absalom sedang memasuki kota itu.