Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

2 Samuel 1

A A A
Alkitab Versi Borneo

Daud menerima khabar kematian Saul

1Setelah kematian Saul, Daud pulang dari pertempuran yang menumpaskan orang Amalek, lalu tinggal di Ziklag dua hari lamanya. 2Pada hari ketiga, datanglah seorang daripada pasukan Saul. Pakaiannya koyak-rabak dan kepalanya berdebu. Sesampainya di hadapan Daud, dia sujud memberi hormat. 3Daud bertanya kepadanya, "Engkau datang dari mana?"

Jawabnya, "Aku melarikan diri daripada pasukan Israel."

4Tanya Daud kepadanya, "Apakah yang telah berlaku? Ceritakanlah kepadaku."

Jawabnya, "Ramai yang melarikan diri dari medan perang bahkan ramai yang gugur dan terkorban. Saul dan Yonatan, anaknya, juga telah gugur."

5Lalu Daud bertanya kepada orang muda yang menyampaikan khabar itu kepadanya, "Bagaimanakah engkau tahu bahawa Saul dan Yonatan, anaknya, telah gugur?"

6AJawab orang muda itu, "Kebetulan aku berada di Gunung Gilboa, lalu kulihat Saul bersandar pada tombaknya. Kulihat pula rata-rata dan pasukan berkuda mengejarnya. 7Ketika dia menoleh ke belakang, dia melihat hamba lalu memanggil hamba. Hamba menjawab, 'Daulat, Tuanku.' 8Dia bertanya kepada hamba, 'Siapakah engkau?' Jawab hamba kepadanya, 'Hamba ini seorang Amalek.' 9Lalu katanya kepadaku, 'Tolong, berdirilah di sisiku dan bunuhlah aku, kerana aku sekarat tetapi masih bernyawa.' 10Maka berdirilah hamba di sisinya lalu membunuhnya, kerana hamba tahu bahawa dia tidak akan hidup lagi setelah mengalami kekecundangan itu. Lalu hamba mengambil mahkota yang ada di kepalanya serta gelang yang ada di lengannya dan membawanya ke mari, kepada tuanku."

11Kemudian Daud dan semua orang yang ada bersamanya mengoyakkan pakaian masing-masing. 12Mereka meratap, menangis, dan berpuasa sampai waktu maghrib kerana Saul, dan Yonatan, anaknya itu, serta kerana umat Tuhan, dan keturunan kaum Israel yang telah gugur bahana mata pedang itu.

13Kemudian Daud bertanya kepada orang muda yang menyampaikan khabar itu kepadanya, "Dari manakah asalmu?" Jawabnya, "Hamba ini anak seorang pendatang, seorang Amalek."

14Kata Daud kepadanya, "Tidakkah engkau takut menghulurkan tangan untuk membinasakan orang yang dilantik Tuhan?"

15Lalu Daud memanggil seorang daripada kalangan pemudanya, katanya, "Dekatinya dan seranglah dia!" Maka orang itu menyerang dan membunuh pemuda itu. 16Lalu berkatalah Daud kepada pemuda itu, "Darahmu tertanggung atas dirimu sendiri, kerana mulutmu sendiri bersaksi tentang dirimu dengan berkata, 'Hamba telah membunuh orang yang dilantik Tuhan.' "

Ratapan Daud kerana Saul dan Yonatan

17Daud meratapi Saul dan Yonatan, anaknya, dengan lagu ratapan ini. 18BDia menyuruh agar lagu Busur Panah ini diajarkan kepada bani Yehuda. (Sesungguhnya, lagu ini tertulis dalam kitab Yasar):i 19Kemuliaanmu, wahai Israel, terbunuh di tempat-tempatmu yang tinggi!

Betapa telah gugur para kesateria!

20Jangan khabarkan hal itu di Gat,

jangan beritakan hal itu di lorong-lorong Askelon,

supaya jangan para anak perempuan orang Filistin bersukacita,

supaya jangan anak-anak perempuan orang yang tidak bersunat itu bersuka ria.

21Wahai gunung-gunung Gilboa,

janganlah ada embun, janganlah ada hujan di atasmu,

janganlah ladang-ladangmu mengeluarkan hasil,

kerana di sanalah terhumbannya perisai para kesateria,

perisai Saul yang tidak lagi diurapi minyak.

22Daripada darah kalangan umat yang terbunuh,

daripada lemak para kesateria,

busur panah Yonatan tidak pernah berbalik

dan pedang Saul tidak pernah kembali dengan hampa.

23Saul dan Yonatan ialah orang yang dicintai dan yang menyenangkan,

yang tidak terpisah dalam hidup dan mati mereka.

Mereka lebih cepat daripada burung rajawali,

mereka lebih kuat daripada singa.

24Wahai kaum wanita Israel,

ratapilah Saul,

yang mendandani kamu dalam kemewahan kain merah menyala,

yang menyematkan segala perhiasan emas pada busanamu.

25Betapa telah gugur para kesateria

dalam medan pertempuran!

Yonatan terbunuh di kawasan bukit yang tinggi-tinggi.

26Hatiku sengsara kerana engkau,

Yonatan, saudaraku.

Terlalu ramah engkau kepadaku,

ajaib kasihmu kepadaku,

lebih daripada cinta kaum wanita.

27Betapa telah gugur para pahlawan

dan musnah sudah segala senjata peperangan!