Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

2 Petrus 2

A A A
Alkitab Versi Borneo

Nabi dan guru palsu

1Namun demikian, ada nabi-nabi palsu dalam kalangan umat Allah pada zaman dahulu. Di antaramu juga akan muncul guru-guru palsu yang secara rahsia membawa masuk ajaran sesat yang memusnahkan. Mereka tergamak menyangkal Tuhan yang telah menyelamatkan mereka, lalu mereka ditimpa kemusnahan dalam sekelip mata. 2Ramai orang akan mengikut cara mereka yang memalukan itu. Oleh itu, jalan yang benar akan dikufuri. 3Dengan tamak haloba, mereka akan memperalatkan kamu melalui kata-kata dusta. Hukuman untuk mereka sudah ditetapkan dan akan menimpa mereka.

4Allah tidak melepaskan malaikat yang berdosa daripada hukuman, tetapi menghumbankan mereka ke neraka dan membelenggu mereka dalam kegelapan untuk dihakimi kelak. 5ADan Allah juga tidak melepaskan dunia purba daripada hukuman. Allah hanya menyelamatkan Nuh, penyampai perbenarani dengan tujuh orang yang lain, ketika Dia mendatangkan air bah kepada semua manusia yang ingkar. 6BAllah telah memusnahkan kota Sodom dan Gomora sehingga menjadi abu, membinasakan penduduknya sebagai contoh hukuman terhadap orang yang ingkar. 7CTetapi Allah menyelamatkan Lut, seorang yang benar, yang berdukacita kerana kelakuan cabul orang durjana 8(jiwa Lut yang benar terseksa dari hari ke hari melihat dan mendengar perlakuan liar orang di kelilingnya). 9Nyatalah bahawa Tuhan mengetahui cara menyelamatkan orang yang warak daripada godaan dan mengasingkan orang durjana untuk dihukum pada hari penghakiman, 10terutamanya mereka yang menurut hawa nafsu cabul dan menghina kekuasaan Allah.

Mereka menganggap diri mereka besar dan mengikut kehendak sendiri semata-mata. Mereka tidak takut mencela makhluk yang adikudrati.ii 11Sedangkan para malaikat yang lebih kuat dan berkuasa tidak pernah mencela dan menuduh makhluk yang adikudrati itu di hadapan Tuhan. 12Tetapi mereka ini, seperti binatang buas yang dijadikan untuk ditangkap dan dibunuh, mencela hal-hal yang tidak difahami, maka mereka akan dibinasakan. 13Mereka akan menerima balasan perbuatan maksiat mereka seperti bersuka ria pada siang hari untuk memuaskan hawa nafsu. Mereka dipenuhi cacat cela dan bergembira memperdayamu sambil berjamu bersamamu. 14Mata mereka dipenuhi nafsu cabul dan sentiasa berdosa, menggoda orang yang goyah imannya, hati mereka dikuasai tamak haloba dan mereka anak-anak yang terlaknat. 15DMereka telah meninggalkan jalan yang benar lalu sesat mengikut jalan Bileam anak Bior, yang suka mendapat upah daripada kejahatan. 16Tetapi dia telah ditegur kerana perbuatan jahatnya oleh seekor keldai yang bercakap dengan suara manusia lalu menjauhkan Bileam daripada perbuatannya yang tidak waras.

17Mereka ini ibarat mata air yang kering dan kabus yang ditiup ribut. Kegelapan yang hitam pekat tersedia untuk mereka. 18Apabila mereka mengeluarkan kata-kata yang hebat tetapi kosong, mereka menggunakan hawa nafsu dan keinginan cabul untuk menggoda orang yang baru terlepas daripada golongan yang hidup sesat. 19Mereka menjanjikan kebebasan, sedangkan mereka sendiri hamba kebinasaan – kerana seseorang yang dikalahkan itu menjadi hamba kepada yang mengalahkannya. 20Sekiranya, seseorang telah terlepas daripada noda dunia dengan mengenal Tuhan dan Penyelamat kita Yesus Kristus, kemudian terjebak semula lalu tewas, maka keadaannya lebih buruk daripada sebelum dia mengenal Kristus. 21Lebih baiklah jika dia tidak mengenal jalan yang benar, daripada mengenalnya, dan kemudian membelakangi perintah suci yang telah disampaikan kepadanya. 22EYang terjadi kepadanya itu seperti kata pepatah yang benar: "Anjing akan menjilat muntahnya kembali," dan "Babi yang dimandikan akan berkubang semula di lumpur."