Alkitab Versi Borneo |
Panglima Naaman disembuhkan
1ANaaman, panglima tentera raja Aram, seorang yang terhormat dan dipandang tinggi oleh tuannya kerana melalui dia Tuhan telah mengurniakan kemenangan kepada orang Aram. Dia seorang kesateria yang gagah perkasa. Akan tetapi, dia menghidap penyakit kusta. 2Suatu waktu, orang Aram keluar dalam serangan mereka dan menawan seorang gadis kecil dari negeri Israel. Gadis itu kemudian berkhidmat bagi isteri Naaman. 3Kata gadis itu kepada cik puannya, "Sekiranya tuanku menghadap nabi yang di Samaria itu, maka pasti nabi itu menyembuhkan dia daripada penyakit kustanya." 4Maka pergilah Naaman memberitahu tuannya demikian, "Begini-beginilah dikatakan gadis dari negeri Israel itu." 5Kata raja Aram, "Baik, pergilah. Aku akan mengirim sepucuk surat kepada raja Israel."
Kemudian pergilah Naaman dengan membawa sepuluh talenta perak, enam ribu syikal emas, dan sepuluh helai persalinan. 6Dia pun menyampaikan surat itu kepada raja Israel, yang bunyinya, "Sesampainya surat ini dalam tangan tuan, harap maklum bahawa aku telah menyuruh Naaman, pegawaiku, menemui tuan, supaya tuan menyembuhkan dia daripada penyakit kustanya." 7Setelah raja Israel membaca surat itu, dikoyakkannya pakaiannya dan berkata, "Apakah aku ini Allah, yang dapat mematikan atau menghidupkan orang, sehingga orang ini menyuruh pegawainya menemui aku supaya aku menyembuhkannya daripada penyakit kustanya? Lihatlah dan perhatikanlah, bagaimana dia mencari fasal dengan aku." 8Elisa, hamba Allah itu, mendengar bahawa raja Israel mengoyakkan pakaiannya. Lalu disuruhnya orang menemui raja dengan pesan, "Mengapakah engkau mengoyakkan pakaianmu? Suruhlah orang itu datang kepadaku, supaya dia tahu bahawa ada seorang nabi di Israel." 9Maka datanglah Naaman dengan kudanya dan ratanya, lalu berhenti di depan pintu rumah Elisa. 10Elisa mengutus seorang pesuruh menemuinya dengan pesan, "Pergilah, mandilah di Sungai Yordan tujuh kali, maka tubuhmu akan pulih dan engkau akan menjadi suci." 11Tetapi Naaman menjadi marah, lalu pergi sambil berkata, "Ah, sangkaku dia akan keluar menemui aku lalu berdiri menyeru nama Tuhan, Allahnya, kemudian menggerak-gerakkan tangannya di bahagian tubuhku yang sakit dan menyembuhkan penghidap kusta ini! 12Bukankah Abana dan Parpar, sungai-sungai di Damsyik, lebih baik daripada semua sungai Israel? Tidak bolehkah aku mandi di sana dan menjadi suci?" Maka berpalinglah dia lalu berjalan dengan gusarnya. 13Akan tetapi, para pegawainya mendekatinya serta berkata kepadanya, "Bapa, sekiranya nabi itu menyuruh Bapa melakukan hal yang sukar, bukankah Bapa akan melakukannya? Apa lagi sekarang, dia hanya berkata kepadamu, 'Mandilah, dan engkau akan menjadi suci.' " 14Maka turunlah Naaman membenamkan diri tujuh kali di Sungai Yordan, menurut apa yang dikatakan oleh hamba Allah itu. Lalu pulihlah tubuhnya seperti tubuh anak kecil dan dia menjadi suci. 15Kemudian Naaman dan seluruh pasukannya kembali kepada hamba Allah itu. Setelah sampai, berdirilah dia di hadapan Elisa dan berkata, "Sesungguhnya, aku tahu sekarang bahawa tidak ada Allah di seluruh bumi ini kecuali di Israel. Maka hamba mohon, terimalah pemberian daripada hambamu ini." 16Tetapi Elisa berkata, "Demi Tuhan yang hidup, yang kepada-Nya aku mengabdikan diri, sesungguhnya aku tidak mahu menerima apa-apa." Meskipun Naaman mendesak Elisa untuk menerima pemberiannya, dia tetap menolak. 17Kemudian Naaman berkata, "Jika demikian, mohon berilah hambamu ini tanah sebanyak muatan dua ekor baghal, kerana hambamu ini tidak lagi akan mempersembahkan korban bakaran atau korban sembelihan kepada tuhan-tuhan lain kecuali kepada Tuhan. 18Hanya, Tuhan kiranya mengampuni hambamu ini dalam hal yang berikut: apabila tuanku masuk ke kuil Dewa Rimon untuk sujud menyembah di sana, dan hamba menjadi pengapitnya, maka hamba harus ikut menundukkan diri di kuil Dewa Rimon itu. Semoga Tuhan mengampuni hambamu ini dalam hal itu, iaitu ketika hamba tunduk di kuil Dewa Rimon itu." 19Kata Elisa kepadanya, "Pergilah dengan selamat." Setelah Naaman pergi tidak beberapa jauh daripada Elisa, 20berfikirlah Gehazi, pembantu Elisa, hamba Allah itu, "Sesungguhnya, tuanku terlalu segan terhadap Naaman, orang Aram itu, sehingga dia tidak mahu menerima barang yang dibawanya. Demi Tuhan yang hidup, sesungguhnya aku akan berlari menyusul dia lalu menerima sesuatu daripadanya." 21Lalu Gehazi pun menyusul Naaman. Ketika Naaman melihat ada orang berlari-lari menyusulnya, turunlah dia dari ratanya untuk menyongsong orang itu. Dia bertanya, "Semuanya baik-baik sahaja?" 22Jawabnya, "Baik-baik sahaja! Tuanku menyuruh aku mengatakan, 'Baru sahaja dua orang muda daripada rombongan nabi datang kepadaku dari Pergunungan Efraim. Tolong beri mereka satu talenta perak dan dua helai persalinan.' " 23Kata Naaman, "Silakan, ambillah dua talenta." Naaman mendesak Gehazi, lalu membungkus dua talenta perak di dalam dua buah pundi-pundi serta dua helai persalinan. Diserahkannya semua itu kepada dua orang pembantunya, lalu mereka mengangkutnya di depan Gehazi. 24Setelah sampai di bukit, Gehazi mengambil semua itu daripada tangan mereka lalu disimpannya di rumah. Kemudian dia melepaskan kedua-dua orang itu pergi, dan mereka pun pergi. 25Setelah itu, Gehazi masuk dan berdiri di hadapan tuannya. Tanya Elisa kepadanya, "Dari mana, Gehazi?" Jawabnya, "Hambamu tidak pergi ke mana-mana." 26Kata Elisa kepadanya, "Bukankah hatiku ada bersama-samamu ketika orang itu berpaling dari atas ratanya untuk menyambut engkau? Inikah waktunya untuk menerima wang atau menerima pakaian, kebun zaitun, kebun anggur, kawanan domba, kawanan lembu, pembantu lelaki, dan pembantu perempuan? 27Oleh sebab itu penyakit kusta Naaman akan melekat padamu dan pada keturunanmu untuk selama-lamanya." Maka keluarlah Gehazi dari hadapannya dengan berkusta, putih seperti salji.