Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

2 Raja-Raja 4

A A A
Alkitab Versi Borneo

Minyak milik seorang balu

1Lalu salah seorang isteri daripada rombongan nabi mengadu kepada Elisa demikian, "Hambamu, iaitu suamiku, sudah meninggal. Tuan tahu betapa dahulunya memang hambamu itu seorang yang takut kepada Tuhan. Tetapi sekarang si pemiutang datang untuk mengambil kedua-dua orang anakku untuk dijadikan abdinya."

2Kata Elisa kepadanya, "Apakah yang dapat kulakukan untukmu? Beritahu aku apa yang kaumiliki di rumah."

Jawabnya, "Hambamu ini tidak memiliki apa-apa di rumah, kecuali sebuah kendi berisi minyak."

3Kata Elisa, "Pergilah, mintalah bejana-bejana kosong daripada semua tetanggamu. Mintalah sebanyak yang mungkin, jangan sedikit. 4Setelah itu, masuklah, tutuplah pintu sesudah engkau dan anak-anakmu masuk, lalu tuangkanlah minyak itu ke dalam semua bejana itu. Ketepikan mana-mana yang penuh."

5Maka pergilah wanita itu meninggalkan dia, kemudian menutup pintu sesudah dia dan anak-anaknya masuk. Anak-anaknya mendekatkan bejana-bejana itu kepadanya, sementara dia terus menuang. 6Ketika bejana-bejana itu telah penuh, berkatalah dia kepada anaknya, "Bawa bejana yang lain." Tetapi anaknya menjawab, "Tidak ada bejana lagi." Lalu minyak itu pun berhenti mengalir. 7Maka wanita itu pun pergi memberitahukan hal itu kepada hamba Allah. Kata Elisa, "Pergilah, juallah minyak itu, dan lunaskanlah hutangmu. Engkau dan anak-anakmu dapat hidup dengan bakinya."

Perempuan Sunem dengan anaknya

8Pada suatu hari Elisa pergi ke Sunem. Di sana ada seorang perempuan kaya yang mendesak dia agar singgah untuk makan. Jadi, setiap kali Elisa pergi, dia singgah di sana untuk makan. 9Kemudian kata perempuan itu kepada suaminya, "Dengarlah, aku tahu bahawa orang yang selalu singgah di tempat kita itu seorang hamba Allah yang kudus. 10Sebaiknya kita buat sebuah bilik atas yang kecil dan berdinding, lalu kita letak di dalamnya tempat tidur, meja, kerusi, serta kandil. Jadi, bila-bila pun dia singgah di tempat kita, dia dapat tinggal di situ."

11Pada suatu hari Elisa datang ke sana. Dia masuk ke bilik atas itu dan berbaring di situ. 12Lalu katanya kepada Gehazi, pembantunya, "Panggillah perempuan Sunem itu." Gehazi pun memanggilnya, lalu perempuan itu berdiri di hadapannya. 13Kata Elisa kepada Gehazi, "Katakanlah kepadanya, 'Engkau sudah bersusah-susah untuk kami dengan semua hal ini. Apakah yang dapat kulakukan untukmu? Adakah yang dapat kusampaikan tentang engkau kepada raja atau kepada panglima tentera?"

Jawab perempuan itu, "Aku ini tinggal di tengah-tengah kaumku sendiri."

14Setelah itu, Elisa bertanya, "Apakah yang dapat kulakukan untuknya?"

Jawab Gehazi, "Sesungguhnya, dia tidak mempunyai anak, manakala suaminya sudah tua."

15Kata Elisa, "Panggillah dia." Gehazi memanggilnya, lalu perempuan itu berdiri di pintu. 16AKata Elisa, "Tahun depan, pada waktu seperti ini juga, engkau akan menggendong seorang anak lelaki."

Jawab perempuan itu, "Ya tuanku hamba Allah, janganlah tuan berdusta kepada hambamu ini."

17Tetapi kemudian perempuan itu mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki pada waktu yang sama pada tahun berikutnya, seperti yang dikatakan Elisa kepadanya.

18Anak itu pun menjadi besar. Pada suatu hari, dia keluar mendapatkan ayahnya yang berada dalam kalangan yang sedang menuai. 19Tiba-tiba dia berkata kepada ayahnya, "Aduh kepalaku, kepalaku!"

Kata ayahnya kepada seorang pembantunya, "Angkatlah dia kepada ibunya." 20Lalu dia mengangkatnya dan membawanya kepada ibunya. Anak itu duduk di pangkuan ibunya sampai tengah hari, lalu mati. 21Maka naiklah perempuan itu ke atas. Dibaringkannya anaknya di tempat tidur hamba Allah itu, lalu sesudah itu ditutupnya pintu dan pergi ke luar. 22Dia memanggil suaminya dan berkata, "Suruhlah salah seorang suruhan datang kepadaku dengan seekor keldai. Aku mahu bergegas pergi menemui hamba Allah itu, lalu pulang kembali."

23Kata suaminya, "Mengapakah engkau hendak pergi menemuinya hari ini? Sekarang bukan bulan baru dan bukan hari Sabat."

Jawabnya, "Usah khuatir, semuanya baik-baik sahaja." 24Kemudian dia memasang pelana di atas keldai itu dan berkata kepada pembantunya, "Tuntunlah dan majulah. Jangan perlambatkan perjalananku, kecuali jika aku memintanya." 25Demikianlah perempuan itu pergi menuju tempat hamba Allah di Gunung Karmel.

Ketika hamba Allah itu melihat dia dari jauh, berkatalah dia kepada Gehazi, pembantunya, "Lihat, perempuan Sunem itu datang. 26Cepatlah lari, temui dia dan tanyakan kepadanya, 'Selamatkah kamu, selamatkah suamimu, selamatkah anakmu?"

Jawab perempuan itu, "Selamat!" 27Sesampainya dia di hadapan hamba Allah itu di gunung, perempuan itu pun memeluk kakinya. Gehazi mendekat untuk mendorong dia, tetapi hamba Allah itu berkata, "Biarkanlah dia, hatinya getir! Tuhan menyembunyikan hal ini daripadaku dan tidak memberitahukannya kepadaku."

28Kata perempuan itu, "Adakah hamba meminta anak daripada tuan? Bukankah telah hamba katakan, 'Jangan tuan menipu hamba'?"

29Kata Elisa kepada Gehazi, "Ikatlah pinggangmu, bawalah tongkatku, lalu pergilah. Jika engkau bertemu dengan seseorang, jangan ucapkan salam kepadanya, dan jika seseorang mengucapkan salam kepadamu, jangan kaubalas. Letakkanlah tongkatku ini di atas muka anak itu."

30Tetapi ibu anak itu berkata, "Demi Tuhan yang hidup, dan demi hidup tuan sendiri, hamba tidak mahu meninggalkan tuan." Lalu Elisa pun segera berjalan mengikuti dia. 31Rupanya Gehazi telah pergi mendahului mereka. Diletakkannya tongkat itu di atas muka anak itu, tetapi tidak ada suara dan tidak ada tanda hidup. Dia pun kembali menemui Elisa dan memberitahunya, "Anak itu tidak bangun."

32Sesampainya Elisa di rumah itu, tampak anak itu terbaring mati di tempat tidurnya. 33Lalu dia memasuki bilik itu dan menutup pintunya sehingga mereka hanya berdua sahaja, lalu berdoalah dia kepada Tuhan. 34BSetelah itu, dia naik dan membaringkan diri di atas anak itu. Dirapatkannya mulutnya di atas mulut anak itu, matanya di atas mata anak itu, dan telapak tangannya di atas telapak tangan anak itu. Dia meniarap di atas anak itu, sehingga tubuh anak itu menghangat. 35Setelah itu, Elisa berdiri lagi lalu berjalan mundar-mandir di dalam rumah itu. Kemudian dia naik lagi dan meniarap di atas anak itu. Tiba-tiba anak itu bersin tujuh kali, lalu membuka matanya. 36Elisa memanggil Gehazi dan berkata, "Panggillah perempuan Sunem itu." Gehazi memanggilnya, dan setelah perempuan itu datang, berkatalah Elisa, "Angkatlah anakmu." 37Perempuan itu pun masuk. Maka tersungkurlah dia di kaki Elisa dan sujud memberi hormat. Kemudian diangkatnyalah anaknya, lalu keluar.

Maut di dalam kuali

38Ketika Elisa kembali ke Gilgal, ada bencana kebuluran di negeri itu. Suatu ketika, sementara rombongan nabi duduk di hadapannya, dia berkata kepada pembantunya, "Jerangkanlah kuali besar dan olahlah suatu masakan untuk rombongan nabi ini." 39Kemudian seorang daripada mereka keluar ke ladang untuk memetik sayur-sayuran. Dia menemukan sulur-suluran liar, lalu dipetiknya daripada tanaman itu labu liar, serangkul penuh di dalam pakaiannya. Setelah pulang, dia menghiris-hiris tanaman itu dan memasukkannya ke dalam kuali tadi, tanpa mengetahui sayur apa itu. 40Kemudian masakan tadi dicedoknya untuk dimakan oleh rombongan nabi itu. Tetapi pada waktu mereka memakan masakan itu, berteriaklah mereka dan berkata, "Ada maut di dalam kuali ini, ya hamba Allah!" Mereka tidak dapat memakannya. 41Kata Elisa, "Ambillah tepung!" Dilemparkannya tepung itu ke dalam kuali lalu berkata, "Hidangkan kepada mereka untuk dimakan." Maka tidak ada lagi sesuatu yang berbahaya di dalam kuali itu.

Seratus orang diberi makan

42Seorang lelaki datang dari Baal-Salisa dengan membawa bagi hamba Allah dua puluh buku roti daripada hasil barli pertama, serta gandum baru di dalam karungnya.

Kata Elisa, "Berikanlah kepada orang itu untuk mereka makan." 43Tetapi pembantunya berkata, "Bagaimanakah mungkin ini disajikan untuk seratus orang?" Kata Elisa, "Berikanlah kepada orang itu untuk mereka makan, kerana beginilah firman Tuhan, 'Makanan itu akan cukup bagi mereka bahkan akan ada sisanya.' " 44Kemudian disajikannya makanan itu di depan mereka. Mereka pun makan, dan ada sisanya, selaras dengan firman Tuhan.