Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

2 Raja-Raja 25

A A A
Alkitab Versi Borneo

Runtuhnya kerajaan Yehuda

1ADalam tahun kesembilan zaman pemerintahan Zedekia, pada hari kesepuluh bulan kesepuluh, datanglah Nebukadnezar, raja Babel, dengan seluruh pasukannya menyerang Yerusalem. Dia berkhemah mengepung Yerusalem dan membina tembok pengepung di sekelilingnya. 2Kota itu pun dikepung sampai tahun kesebelas pemerintahan Raja Zedekia. 3Pada hari kesembilan bulan keempat, bermaharajalelalah kebuluran di kota itu dan rakyat negeri itu sudah tidak ada makanan lagi. 4BKemudian berlakulah rekahan pada tembok kota lalu larilah semua pejuang pada waktu malam melalui jalan pintu gerbang di antara kedua-dua tembok yang terletak dekat taman raja, sementara orang Kasdim mengepung kota itu. Mereka lari menuju Araba. 5Akan tetapi, pasukan orang Kasdim mengejar Raja Zedekia dan berhasil menyusulnya di dataran Yerikho, sehingga tercerailah seluruh pasukannya daripada dia. 6Kemudian mereka menangkap raja dan membawanya untuk menghadap raja Babel di Ribla. Raja Babel pun menjatuhkan hukuman atasnya. 7CAnak-anak Zedekia disembelih di hadapan matanya, lalu mata Zedekia dibutakan. Dia pun dibelenggu dengan rantai gangsa, lalu dibawa ke Babel.

8Pada hari ketujuh dalam bulan kelima tahun kesembilan belas zaman pemerintahan Nebukadnezar, raja Babel, datanglah Nebuzaradan, ketua pasukan pengawal, pegawai raja Babel ke Yerusalem. 9DDia membakar Bait Tuhan, istana raja, dan semua rumah di Yerusalem. Setiap rumah yang besar dibakarnya habis. 10Kemudian seluruh pasukan orang Kasdim yang menyertai ketua pasukan pengawal itu merobohkan tembok di sekeliling Yerusalem. 11Nebuzaradan, ketua pasukan pengawal itu, membuang saki-baki rakyat yang tertinggal di kota, para pembelot yang memihak kepada raja Babel, dan saki-baki khalayak ramai. 12Tetapi dia meninggalkan beberapa orang yang termiskin di negeri itu untuk dijadikan pemelihara kebun anggur dan peladang.

13FOrang Kasdim menghancurkan tiang-tiang gangsa yang ada di Bait Tuhan, juga segala penopang dan kolam gangsa yang ada di Bait Tuhan. Gangsanya diangkut mereka ke Babel. 14GMereka pun mengambil kesemua kuali, penyodok, sepit-sepit, pedupaan, dan semua perkakas gangsa yang digunakan untuk menyelenggarakan ibadat. 15Ketua pasukan pengawal mengambil segala perbaraan, bokor, baik yang dibuat daripada emas mahupun yang dibuat daripada perak. 16Sementara itu gangsa dari kedua-dua tiang, semua kolam dan wadah penopang yang dibuat oleh Salomo untuk Bait Tuhan tidak tertimbang beratnya. 17Tinggi satu tiang lapan belas hasta. Di atasnya terdapat kepala tiang daripada gangsa setinggi tiga hasta dengan jala-jala dan buah delima berkeliling di bahagian atasnya, semuanya daripada gangsa. Tiang yang kedua demikian juga, dengan jala-jalanya.

18Kemudian ketua pasukan pengawal menangkap Imam Besar Seraya, dan Zefanya, penolong imam besar, serta ketiga-tiga orang penjaga pintu. 19Antara orang yang masih ada di kota, ditangkapnya seorang pegawai istana yang menjadi pengawas para pejuang, lima orang penasihat raja, jurutulis panglima tentera yang mengerahkan rakyat negeri, dan enam puluh orang daripada kalangan rakyat negeri. 20Nebuzaradan, ketua pasukan pengawal itu, menangkap dan membawa mereka menghadap raja Babel di Ribla. 21Lalu raja Babel menyuruh agar mereka dihukum mati di Ribla, di Tanah Hamat.

Demikianlah orang Yehuda dibuang negeri dari tanah mereka.

Gedalya menjadi pembesar dan dibunuh

22HKemudian Nebukadnezar, raja Babel, mengangkat Gedalya anak Ahikam anak Safan menjadi pembesar atas rakyat yang memang masih ditinggalkannya di Tanah Yehuda. 23Ketika semua panglima pasukan berserta anak buah mereka mendengar bahawa raja Babel telah mengangkat Gedalya menjadi pembesar, maka datanglah mereka menghadap Gedalya di Mizpa. Mereka terdiri daripada Ismael anak Netanya; Yohanan anak Kareah; Seraya anak Tanhumet, orang Netofa; Yaazanya, anak seorang Maakha; berserta anak buah mereka. 24Gedalya bersumpah kepada mereka dan anak buah mereka, "Janganlah takut kepada pegawai orang Kasdim. Tinggallah di negeri ini dan berkhidmatlah kepada raja Babel. Maka keadaan hidupmu akan menjadi baik."

25IAkan tetapi, pada bulan ketujuh datanglah Ismael anak Netanya anak Elisama, seorang yang berketurunan raja, berserta sepuluh orang yang lain. Dia menyerang dan membunuh Gedalya, juga orang Yehuda dan orang Kasdim yang ada bersama-samanya di Mizpa. 26JMaka larilah seluruh rakyat, daripada yang kecil sampai yang besar, juga para panglima pasukan, dengan segera menyingkir ke Mesir, kerana mereka takut kepada orang Kasdim.

Raja Yoyakhin dikasihani

27Pada tahun ketiga puluh tujuh semasa pembuangan Yoyakhin, raja Yehuda, Ewil-Merodakh menaiki takhta menjadi raja Babel. Dalam tahun itu juga, tepatnya pada hari kedua puluh tujuh, bulan kedua belas, dia memberikan keihsanan kepada Yoyakhin, raja Yehuda, dan mengeluarkannya daripada penjara. 28Ewil-Merodakh berbicara baik-baik kepadanya dan memberinya kedudukan yang lebih tinggi daripada kedudukan raja-raja yang ada bersama-samanya di Babel. 29Yoyakhin pun mengganti pakaian penjaranya, dan seumur hidupnya dia sentiasa makan di hadapan raja. 30Raja sentiasa memberinya peruntukan makanan sekadar keperluan sehari-hari, seumur hidupnya.