Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

2 Raja-Raja 24

A A A
Alkitab Versi Borneo
1APada zaman pemerintahan Yoyakim, majulah Nebukadnezar, raja Babel. Tiga tahun lamanya Yoyakim menjadi taklukannya, tetapi kemudian dia berbalik dan memberontak melawan Nebukadnezar. 2Kemudian Tuhan mengirim pelbagai gerombolan iaitu daripada orang Kasdim, orang Aram, orang Moab, dan daripada bani Amon untuk mendatangi Yehuda untuk membinasakan negeri itu, selaras dengan firman yang disampaikan Tuhan dengan perantaraan para hamba-Nya, para nabi. 3Sesungguhnya, hal itu terjadi kepada Yehuda, selaras dengan firman Tuhan, agar mereka tersingkir dari hadapan-Nya kerana dosa-dosa Manasye dan semua yang dilakukannya, 4termasuk darah orang tidak bersalah yang ditumpahkannya. Manasye memang telah memenuhi Yerusalem dengan darah orang yang tidak bersalah, dan Tuhan tidak mahu mengampuninya.

5Riwayat Yoyakim yang selebihnya dan semua yang dilakukannya, bukankah semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Yehuda? 6Lalu Yoyakim dibaringkan bersama nenek moyangnya. Maka Yoyakhin, anaknya, menaiki takhta menggantikannya.

7Raja Mesir tidak lagi keluar berperang dari negerinya, kerana raja Babel telah merebut semua daerah termasuk wilayah raja Mesir, dari Wadi Mesir sampai ke Sungai Efrat.

Yoyakhin bertakhta di Yehuda

8Yoyakhin berumur lapan belas tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta di Yerusalem selama tiga bulan. Nama ibunya ialah Nehusta anak Elnatan, dari Yerusalem. 9Dia melakukan apa yang jahat di mata Tuhan seperti yang dilakukan oleh ayahnya.

10Pada waktu itu para pegawai Nebukadnezar, raja Babel, maju ke Yerusalem dan mengepung kota itu. 11Nebukadnezar, raja Babel sendiri, juga datang ke kota itu sementara pegawainya mengepung kota itu. 12BMaka Yoyakhin, raja Yehuda, bersama ibunya, pegawainya, pembesarnya, dan pegawai istananya keluar menyerahkan diri kepada raja Babel. Pada tahun kelapan zaman pemerintahannya, raja Babel menawan Yoyakhin. 13Seperti yang telah difirmankan Tuhan, Nebukadnezar mengeluarkan dari sana semua perbendaharaan Bait Tuhan dan perbendaharaan istana raja, lalu mengerat segala perkakas emas Bait Suci Tuhan yang dibuat oleh Salomo, raja Israel. 14Dia membuang seluruh penduduk Yerusalem, semua panglima, dan semua kesateria yang gagah perkasa, juga semua tukang dan pandai besi – sepuluh ribu orang jumlahnya. Tidak ada yang ditinggalkan, kecuali orang miskin dalam kalangan rakyat negeri itu.

15CYoyakhin berserta bonda raja, para isteri raja, para pegawai istananya, dan para penguasa di negeri itu dibuangnya ke Babel. Diangkutnya mereka dari Yerusalem ke Babel sebagai kumpulan orang buangan. 16Semua orang yang gagah perkasa seramai tujuh ribu orang, para tukang dan pandai besi seramai seribu orang, dan semua kesateria yang siap tempur, diangkut oleh raja Babel sebagai orang buangan ke Babel.

17DKemudian raja Babel menobatkan Matanya, bapa saudara Yoyakhin, sebagai raja menggantikannya dan mengubah namanya kepada Zedekia.

Zedekia bertakhta di Yehuda

18EZedekia berumur dua puluh satu tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta di Yerusalem selama sebelas tahun. Nama ibunya ialah Hamutal anak Yeremia, dari Libna. 19Dia melakukan apa yang jahat di mata Tuhan seperti semua yang dilakukan Yoyakim. 20FDi Yerusalem dan Yehuda murka Tuhan dibangkitkan sehingga Dia membuang mereka dari hadirat-Nya. Seterusnya Zedekia memberontak terhadap raja Babel.