Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

2 Raja-Raja 22

A A A
Alkitab Versi Borneo

Yosia bertakhta di Yehuda

1AYosia berumur lapan tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta selama tiga puluh satu tahun di Yerusalem. Nama ibunya ialah Yedida anak Adaya, dari Bozkat. 2Dia melakukan apa yang benar di mata Tuhan dan hidup mengikuti segala jejak Daud, leluhurnya, tanpa menyimpang ke kanan ataupun ke kiri.

3Pada tahun kelapan belas zaman pemerintahannya, Raja Yosia menyuruh jurutulis Safan anak Azalya anak Mesulam pergi ke Bait Tuhan, katanya, 4"Temuilah Imam Besar Hilkia. Suruhlah dia menjumlahkan wang yang telah dibawa masuk ke dalam Bait Tuhan, iaitu wang yang telah dikumpulkan daripada rakyat oleh para penjaga pintu. 5Wang itu kemudian hendaklah diserahkan kepada para pekerja yang ditugaskan untuk mengawasi Bait Tuhan, supaya mereka menyampaikannya kepada para tukang yang bekerja memperbaik kerosakan di Bait Tuhan, 6iaitu tukang kayu, tukang binaan, dan tukang tembok, dan juga untuk membeli kayu serta batu pahat untuk memperbaik Bait itu. 7BTidak usah diadakan perhitungan dengan para pengawas mengenai wang yang diserahkan kepada mereka, kerana mereka bekerja dengan jujur."

Hilkia menemui semula kitab suci Taurat

8Imam Besar Hilkia berkata kepada jurutulis Safan, "Aku menemui semula Kitab Suci Taurat di dalam Bait Tuhan." Hilkia menyerahkan kitab itu kepada Safan lalu Safan membacanya. 9Setelah itu, jurutulis Safan pergi menghadap raja dan menyampaikan khabar itu kepada raja, katanya, "Hamba-hambamu ini telah mengosongkan wang yang ada di Bait dan menyerahkannya kepada para pekerja yang diangkat untuk mengawasi Bait Tuhan." 10Seterusnya jurutulis Safan memberitahu raja, "Imam Hilkia telah menyerahkan sebuah kitab kepada hamba." Lalu Safan membacakannya di hadapan raja.

11Apabila raja mendengar perkataan Kitab Suci Taurat itu, dia pun mengoyakkan pakaiannya. 12Lalu raja memberikan perintah kepada Imam Hilkia, Ahikam anak Safan, Akhbor anak Mikha, jurutulis Safan, dan Asaya, pegawai raja, demikian, 13"Pergilah, carilah petunjuk Tuhan bagiku, bagi rakyat, dan bagi semua orang Yehuda tentang perkataan kitab yang ditemukan ini. Besarlah murka Tuhan yang menyala-nyala terhadap kita, kerana para bapa kita tidak mendengar perkataan kitab ini dan tidak berbuat selaras dengan semua yang tertulis di dalamnya mengenai kita."

14Lalu pergilah Imam Hilkia, Ahikam, Akhbor, Safan, dan Asaya kepada nabiah Hulda, isteri Salum anak Tikwa anak Harhas, pengurus pakaian ibadat. Nabiah itu tinggal di Yerusalem, di perkampungan baru. Mereka pun berbicara dengannya. 15Kata perempuan itu kepada mereka, "Beginilah firman Tuhan, Allah Israel: Katakanlah kepada orang yang mengutus kamu kepadaku, 16'Beginilah firman Tuhan, "Sesungguhnya, Aku akan mendatangkan malapetaka atas tempat ini dan atas penduduknya, seperti dicatat dalam kitab yang telah dibaca oleh raja Yehuda, 17sebab mereka telah meninggalkan Aku dan telah membakar dupa kepada tuhan-tuhan lain untuk membangkitkan murka-Ku dengan segala perbuatan tangan mereka. Itulah sebabnya murka-Ku menyala-nyala terhadap tempat ini dan tidak akan padam." ' 18Tetapi kepada raja Yehuda yang mengutus kamu untuk mencari petunjuk Tuhan, beginilah harus kamu katakan kepadanya, 'Beginilah firman Tuhan, Allah Israel, "Mengenai perkataan yang telah kaudengar itu, 19kerana hatimu bersedih dan engkau merendahkan diri di hadapan Tuhan ketika engkau mendengar apa yang Kufirmankan mengenai tempat ini dan mengenai penduduknya, bahawa mereka akan menjadi suatu kengerian dan kutukan, dan kerana engkau mengoyakkan pakaianmu serta menangis di hadapan-Ku, maka Aku mendengar engkau, demikianlah firman Tuhan. 20Sesungguhnya, Aku akan mengumpulkan engkau dengan nenek moyangmu dan engkau akan dikebumikan di dalam kuburmu dengan sejahtera. Matamu tidak akan melihat semua malapetaka yang akan Kudatangkan atas tempat ini." ' "

Lalu mereka menyampaikan kata-kata itu kepada raja.