Alkitab Versi Borneo |
Tempat tinggal di syurga 1Kami tahu bahawa apabila khemah tempat kami tinggal di bumi ini roboh, Allah telah menyediakan tempat kediaman bagi kami di syurga, yang tidak diperbuat oleh tangan manusia, dan yang bersifat kekal. 2Dalam khemah yang kita diami kini, kita merintih dan merindui tempat tinggal kita di syurga, yang akan kita terima. 3Setelah kita menerimanya, kita tidaklah akan tinggal terdedah. 4Selagi kita masih mendiami khemah yang sekarang, kita merintih kerana terbeban, kerana kita tidak mahu terdedah; kita ingin dilindungi oleh yang kekal, ingin agar yang fana digantikan dengan yang hidup. 5Inilah yang telah disediakan Allah untuk kita; dan Dia telah mengurniakan Roh-Nya kepada kita sebagai jaminan. 6Oleh itu, kami sentiasa yakin. Kami tahu bahawa selagi kami mendiami tubuh ini, kami masih jauh daripada Tuhan; 7Sebabnya kami hidup dengan iman, bukan dengan penglihatan. 8Kami sentiasa yakin. Sebenarnya kami lebih suka jika dipisahkan dari tubuh ini dan tinggal bersama Tuhan. 9Dengan demikian, baik ketika masih mendiami tubuh ini mahupun ketika dipisahkan darinya, kami berusaha supaya tetap diredai-Nya. 10AKita semua akan dihadapkan ke pengadilan Kristus, dan setiap orang akan menerima balasan yang setimpal dengan perbuatan dalam hidupnya, baik ataupun jahat. Mengusahakan pendamaian 11Kami tahu apa yang dimaksudkan dengan takut kepada Tuhan. Oleh itu, kami berusaha meyakinkan orang. Allah mengenal kami dengan jelas, dan aku berharap dalam hati nuranimu kamu juga mengenal kami dengan jelas. 12Kami bukanlah cuba memuji diri lagi di hadapanmu, tetapi kami memberimu alasan untuk berbangga dengan kami, supaya kamu dapat memberikan jawapan kepada mereka yang membanggakan hal-hal lahiriah dan bukan hal-hal batiniah. 13Sekiranya kami kelihatan seperti orang yang kehilangan akal, itu adalah demi kepentingan Allah. Jika kami kelihatan seperti orang yang berakal, itu adalah demi kepentinganmu. 14Kasih Kristus menguasai hidup kami, dan kami yakin bahawa apabila seseorang telah mati bagi semua orang, maka semua orang itu pun telah mati. 15Dia telah mati bagi semua orang, supaya mereka yang hidup tidak lagi hidup untuk diri sendiri tetapi untuk Dia yang telah mati dan telah dibangkitkan bagi mereka. 16Oleh itu, dari saat itu kami tidak memandang orang berdasarkan keadaan lahiriah semata-mata. Memang kami pernah memandang Kristus secara lahiriah tetapi kini tidak lagi. 17Sesiapa yang ada dalam Kristus adalah ciptaan baru. Hal-hal lama telah lenyap dan segala-galanya baru. 18Semuanya datang daripada Allah, yang telah mendamaikan kita dengan diri-Nya melalui Kristus, dan mengamanahkan kepada kami tugas mulia untuk mengusahakan pelayanan pendamaian itu. 19Dalam Kristus, Allah telah mendamaikan isi dunia ini dengan diri-Nya dan tidak lagi memperhitungkan kesalahan-kesalahan mereka. Berita pendamaian itu telah diamanahkan-Nya kepada kami. 20Kami ialah para duta Kristus. Melalui kami, Allah menyampaikan apa yang dikehendaki-Nya. Oleh itu, demi Kristus, kami meminta kepadamu: Berdamailah semula dengan Allah! 21Allah menjadikan Dia yang tidak mengenal dosa menjadi penanggung dosa untuk kita, supaya dalam Dia kita diperbenar oleh Allah.