Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

2 Korintus 1

A A A
Alkitab Versi Borneo

Pendahuluan

1ADaripada Paulus yang dengan kehendak Allah telah dilantik sebagai rasul Kristus Yesus, dan daripada saudara kita, Timotius,

Kepada jemaah di Korintus dan kepada semua orang salih yang tinggal di Akhaya:

2Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus menganugerahimu kasih kurnia dan damai sejahtera.

Allah sumber segala penghiburan

3Segala puji bagi Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus, Bapa Yang Maha Pemurah dan Allah sumber segala penghiburan. 4Dia menghibur kami dalam pelbagai kesusahan, supaya kami pula dapat menghibur orang yang mengalami kesusahan dengan penghiburan yang kami terima sendiri daripada Allah. 5Sebagaimana banyaknya penderitaan Kristus yang telah kami alami, begitulah banyaknya penghiburan yang kami terima daripada-Nya. 6Jika kami menanggung kesusahan, itu adalah untuk menghibur kamu dan untuk penyelamatanmu. Jika kami dihibur, itu akan menghibur kamu juga, supaya kamu tetap tabah menanggung penderitaan yang telah kami alami juga. 7Kami tetap menaruh harapan tentang kamu, kerana kami tahu, jika kamu mengalami penderitaan seperti yang kami alami, maka kamu juga akan menerima penghiburan seperti yang kami terima.

8BKami juga hendak memberitahumu, saudara-saudara, tentang kesusahan yang telah menimpa kami di Asia Kecil. Beban kami sungguh berat, lebih daripada yang terdaya kami tanggung, sehingga kami putus asa untuk terus hidup. 9Kami berasa bagaikan telah dijatuhi hukum mati. Namun demikian, itu telah berlaku supaya kami tidak lagi berharap kepada diri sendiri tetapi kepada Allah yang menghidupkan semula orang mati. 10Dialah yang telah melepaskan kami daripada bahaya yang amat dahsyat, dan Dialah yang akan melepaskan kami. Kami menaruh harapan kepada-Nya, bahawa Dia akan melepaskan kami. 11Kamu juga harus menolong kami dengan doa, sehingga ramai orang bersyukur kepada Allah atas kurnia yang diberikan kepada kami kerana doa ramai orang.

Perubahan rancangan Paulus

12Inilah kebanggaan kami, dan hati nurani kami bersaksi demikian, iaitu dalam kalangan semua orang, terutamanya dalam kalanganmu, kami hidup di dunia dengan kesucian dan keikhlasan yang datang daripada Allah. Kami melakukan ini bukan dengan kebijaksanaan kami sebagai manusia, tetapi dengan kasih kurnia Allah. 13Segala yang kami tuliskan kepadamu dalam surat ini tidak mengandungi erti yang lain daripada yang kamu baca dan fahami. 14Aku berharap bahawa walaupun kamu baru memahami sebahagian tentang diri kami, kamu akan memahami kami sepenuhnya nanti, dan kamu akan berbangga dengan kami sebagaimana kami berbangga dengan kamu pada hari kedatangan Tuhan kita Yesus.

15Oleh sebab keyakinan itulah maka aku pernah berniat ke tempatmu lebih dahulu, supaya kamu mendapat berkat dua kali. 16CNiatku dahulu ialah singgah di tempatmu dalam perjalanan ke Makedonia, dan dari Makedonia datang ke tempatmu lagi untuk meminta kamu menolongku meneruskan perjalanan ke Yudea. 17Jika aku merancang begitu, adakah ini menunjukkan aku tidak berpendirian tetap? Atau adakah aku merancang seperti orang duniawi, demikian mudah berkata "ya" dan "tidak" pada saat yang sama? 18Demi Allah Yang Maha Setia, apa yang kami katakan kepadamu bukanlah "ya" atau "tidak." 19DSebabnya Yesus Kristus, Anak Allah yang telah disampaikan berita-Nya kepadamu oleh aku, Silwanus dan Timotius, bukanlah "ya" dan "tidak," tetapi pada-Nya ada "ya" semata-mata. 20Yesus adalah "ya" bagi semua janji Allah. Oleh itulah melalui-Nya kita menyebut "Amin" demi kemuliaan Allah. 21Allah telah menentukan kami bersama kamu dalam Kristus. Dia telah melantik kita, 22menandakan kita dengan materai-Nya, dan mengurniakan Roh-Nya untuk masuk ke hati kita sebagai jaminan.

23Aku berseru kepada Allah untuk menjadi saksi terhadap jiwaku, bahawa sebabnya aku belum juga ke Korintus ialah kerana kasihku kepadamu. 24Kami bukanlah berhasrat memberikan perintah tentang apa yang harus kamu percayai; kamu sudah berdiri teguh dalam keyakinanmu. Kami mahu bekerja bersama kamu demi kebahagiaanmu.