Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

2 Tawarikh 8

A A A
Alkitab Versi Borneo

Beberapa usaha Raja Salomo

1Pada akhir tahun kedua puluh Salomo sudah membina Bait Tuhan dan istananya. 2Salomo juga membina semula kota-kota yang diberikan Hiram kepadanya dan mengerahkan orang Israel untuk tinggal di sana. 3Kemudian Salomo maju ke Hamat-Zoba dan menaklukinya. 4Dia membangunkan Tadmor di gurun serta semua kota perbekalan yang pernah dibinanya di Hamat. 5Dia juga membina Bet-Horon Hulu dan Bet-Horon Hilir untuk menjadi kota yang berkubu, bertembok, berpintu, serta berpalang. 6Begitu juga halnya dengan Baalat dan semua kota perbekalan yang dimiliki Salomo, semua kota tempat rata, kota-kota tempat pasukan berkuda, dan segala sesuatu yang ingin dibangunkan Salomo di Yerusalem, di Lebanon, serta di seluruh negeri kekuasaannya. 7Semua yang tersisa daripada kalangan Het, orang Amori, orang Feris, orang Hewi, dan orang Yebus – yang tidak termasuk orang Israel – 8iaitu keturunan bangsa-bangsa yang masih tinggal di negeri itu dan tidak dimusnahkan oleh orang Israel, merekalah yang dikerahkan Salomo sebagai buruh paksa. Demikianlah keadaan mereka sampai hari ini. 9Sebaliknya, daripada kalangan orang Israel tidak ada yang dijadikan hamba abdi oleh Salomo untuk pekerjaannya; mereka menjadi para pejuang, ketua ajutannya, atau panglima kepada pasukan rata dan pasukan berkudanya. 10Jumlah pegawai utama Raja Salomo yang memerintah rakyat ialah dua ratus lima puluh orang.

11Salomo memindahkan puteri Firaun dari Kota Daud ke istana yang dibinanya untuk puteri itu, kerana katanya, "Isteriku tidak boleh tinggal di istana Daud, raja Israel, kerana tempat-tempat yang pernah didatangi tabut Tuhan itu suci."

12Kemudian di atas mazbah Tuhan yang dibangunkannya di depan serambi bait, Salomo mempersembahkan korban bakaran kepada Tuhan, 13Cselaras dengan apa yang harus dipersembahkan setiap hari menurut perintah Musa, pada hari-hari Sabat, pada bulan-bulan baru, dan tiga kali setahun pada hari-hari perayaan tertentu, iaitu Perayaan Roti Tidak Beragi, Perayaan Tujuh Minggu, dan Perayaan Pondok Daun. 14Menurut peraturan Daud, ayahnya, dia menetapkan regu para imam untuk melaksanakan pekerjaan mereka, juga bani Lewi untuk bertugas memuji-muji Allah serta menyelenggarakan ibadat di hadapan para imam, sebagaimana wajib dilakukan setiap hari. Dia menetapkan regu penjaga pintu gerbang bagi setiap buah pintu gerbang, kerana demikianlah perintah Daud, hamba Allah itu. 15Mereka tidak menyimpang daripada perintah raja mengenai para imam dan bani Lewi dalam hal apa-apa pun, juga dalam hal perbendaharaan.

16Maka terlaksanalah sudah segala pekerjaan Salomo sejak hari peletakan dasar Bait Tuhan sampai bait itu selesai. Demikianlah Bait Tuhan itu diselesaikan.

17Kemudian Salomo pergi ke Ezion-Geber serta ke Elot yang terletak di tepi laut, di Tanah Edom. 18Lalu Hiram, dengan perantaraan anak buahnya, mengirim kepada Salomo kapal-kapal serta anak kapal yang cekap melayari laut. Mereka pergi bersama-sama anak buah Salomo ke Ofir dan mengambil dari sana empat ratus lima puluh talenta emas yang kemudian dibawa mereka kepada Raja Salomo.