Alkitab Versi Borneo |
Raja Salomo membina Bait Suci 1AKemudian Salomo memulakanlah pembinaan Bait Tuhan di tempat yang telah disediakan Daud, iaitu di tempat pembantingan Ornan orang Yebus di Yerusalem, Gunung Moria. Di situlah dahulu Allah menampakkan diri kepada Daud, ayahnya. 2Pembinaan dimulai oleh Salomo pada hari kedua pada bulan kedua dalam tahun keempat pemerintahannya. 3Inilah ukuran bagi asas Rumah Allah yang dibangunkan Salomo: Panjangnya enam puluh hasta, menurut ukuran hasta lama, dan lebarnya dua puluh hasta. 4Manakala serambi di depan bait itu sepanjang dua puluh hasta, menurut lebar bait itu, dan setinggi seratus dua puluh hasta. Dia menyalut bahagian dalam bait itu dengan emas tulen. 5Kemudian dipapankannya ruang besar dengan kayu sanubar, yang disalut dengan emas mutu tinggi, lalu padanya dipasang hiasan pokok kurma dan untaian rantai. 6Ruang itu dihiasinya dengan segala jenis batu permata mahal-mahal, sedangkan emasnya ialah emas dari Parwaim. 7Demikianlah dia menyalut ruang itu dengan emas – segala alangnya, bendulnya, dindingnya, dan pintunya. Pada dinding-dindingnya diukirnya malaikat kerubin. 8BSelanjutnya dibuatnya Tempat Yang Maha Suci. Panjangnya 20 hasta, menurut lebar bait itu, dan lebarnya pun 20 hasta. Dia menyaluti ruang itu dengan emas mutu tinggi seberat 600 talenta. 9Berat paku-pakunya ialah 50 syikal emas. Dia juga menyalut bilik-bilik atas dengan emas. 10CDalam Tempat Yang Maha Suci itu dibuatnya dua pahatan malaikat kerubin yang kemudian disaluti emas. 11Sayap malaikat-malaikat kerubin itu sepanjang 20 hasta. Sebelah sayap daripada malaikat kerubin pertama sepanjang lima hasta, menyentuh dinding bait sebelah sini, sedangkan sayapnya yang sebelah lagi, sepanjang lima hasta juga, menyentuh sayap malaikat kerubin kedua. 12Demikian jugalah sebelah sayap daripada malaikat kerubin kedua itu sepanjang lima hasta, menyentuh dinding bait sebelah sana, sedang sayapnya yang sebelah lagi, sepanjang lima hasta juga, bersinggungan dengan sayap malaikat kerubin pertama. 13Sayap kedua-dua malaikat kerubin itu terkembang sepanjang 20 hasta. Kedua-dua malaikat itu tegak di atas kakinya dan menghadap ke ruang besar. 14DSelain itu dibuatnya tabir daripada kain biru, kain ungu, kain kirmizi, dan linen halus, lalu dipasangnya hiasan malaikat-malaikat kerubin pada tabir itu. Dua tonggak besar Bait Suci 15Di depan bait itu Salomo membuat dua tonggak setinggi tiga puluh lima hasta, dengan kepala tiang di bahagian atasnya masing-masing setinggi lima hasta. 16Dia juga membuat untaian rantai seperti di ruang belakang lalu memasangkannya pada kepala tonggak-tonggak itu. Dibuatnya seratus buah delima dan dipasangkannya pada untaian rantai itu. 17Kemudian tiang-tiang itu didirikannya di depan Bait Suci, masing-masing di sebelah kanan dan di sebelah kiri. Tiang sebelah kanan dinamainya Yakhin, sedangkan tiang sebelah kiri dinamainya Boas.