Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

2 Tawarikh 21

A A A
Alkitab Versi Borneo
1Lalu Yosafat dibaringkan bersama-sama nenek moyangnya dan dimakamkan di sisi nenek moyangnya di Kota Daud. Maka Yoram, anaknya, menaiki takhta untuk menggantikannya.

Raja Yoram

2Para saudara Yoram, iaitu anak-anak Yosafat yang lain, ialah Azarya, Yehiel, Zakharia, Azariahu, Mikhail, dan Sefaca. Itulah semua anak Yosafat, raja Israel. 3Ayah mereka mengurniai mereka banyak pemberian, iaitu perak, emas, dan barang-barang berharga, juga kota-kota berkubu di Yehuda. Akan tetapi, kerajaan dipercayakannya kepada Yoram, kerana dialah anak yang sulung. 4Setelah Yoram bertakhta atas kerajaan ayahnya dan memperkuat kedudukannya, dia membunuh semua saudaranya dan juga beberapa orang pembesar Israel dengan pedang.

5Yoram berumur tiga puluh dua tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta di Yerusalem selama lapan tahun. 6Dia hidup mengikuti jejak raja-raja Israel seperti yang dilakukan oleh keluarga Ahab, kerana isterinya ialah anak Ahab, dan dia melakukan apa yang jahat di mata Tuhan. 7AMeskipun begitu, lantaran perjanjian yang diikat-Nya dengan Daud, Tuhan tidak mahu membinasakan keluarga Daud. Allah memang berjanji bahawa Dia akan mengurniakan suatu pelita kepada Daud dan kepada keturunannya sepanjang masa.

8BPada zaman Yoram, orang Edom memberontak untuk menentang kekuasaan Yehuda dan mengangkat seorang raja atas mereka sendiri. 9Oleh itu, Yoram menyeberang dengan para panglimanya dan seluruh ratanya. Kemudian orang Edom mengepungnya serta para panglima pasukan ratanya, tetapi pada malam hari dia bangun dan mengalahkan mereka. 10Demikianlah orang Edom memberontak untuk menentang kekuasaan Yehuda sampai hari ini. Pada waktu yang sama, Libna pun memberontak menentang kekuasaan Yoram kerana dia telah meninggalkan Tuhan, Allah nenek moyangnya. 11Apatah lagi dia membuat bukit-bukit pemujaan di pergunungan Yehuda lantas menyebabkan penduduk Yerusalem menjadi kafir dan membuat orang Yehuda tersesat.

12Sepucuk surat daripada Nabi Elia sampai kepadanya, bunyinya, "Beginilah firman Tuhan, Allah Daud, leluhurmu, 'Kerana engkau tidak hidup mengikuti jejak Yosafat, ayahmu, dan jejak Asa, raja Yehuda, 13melainkan hidup mengikuti jejak raja-raja Israel dan menyebabkan orang Yehuda serta penduduk Yerusalem menjadi kafir seperti yang dilakukan oleh keluarga Ahab; dan juga kerana engkau telah membunuh adik-adikmu, iaitu keluarga ayahmu, yang lebih baik daripada engkau, 14maka sesungguhnya, Tuhan akan mengazabkan rakyatmu, para anakmu, isteri-isterimu, dan semua harta bendamu dengan wabak besar. 15Engkau sendiri akan menderita suatu penyakit usus yang sangat parah hari demi hari, sehingga kelak ususmu terburai kerana penyakit itu.' "

16Kemudian Tuhan menggerakkan hati orang Filistin dan orang Arab yang tinggal dekat orang Kush untuk menyerang Yoram. 17Mereka maju menyerang Yehuda, menerobosnya, dan mengangkut semua harta benda yang terdapat di istana raja, juga anak-anak dan isteri-isterinya, sehingga tidak ada seorang anak lelaki pun yang tertinggal padanya kecuali Yoahas, anak bongsunya.

18Sesudah semua itu, Tuhan mengazabnya dengan penyakit pada ususnya yang tidak dapat sembuh. 19Selang beberapa waktu pada akhir dua tahun, terburailah ususnya kerana penyakit itu, lalu dia meninggal dalam penderitaan yang payah. Rakyatnya tidak menyalakan api baginya, seperti yang dilakukan terhadap nenek moyangnya.

20Dia berumur tiga puluh dua tahun pada waktu menaiki takhta. Selama lapan tahun dia bertakhta di Yerusalem. Dia meninggal tanpa disukai orang dan dimakamkan di Kota Daud, tetapi bukan di permakaman diraja.