Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

2 Tawarikh 2

A A A
Alkitab Versi Borneo

Segala persediaan bagi pembinaan Bait Suci

1Salomo memberikan perintah untuk membangunkan bait bagi nama Tuhan dan juga istana diraja bagi dirinya. 2Salomo mengerahkan tujuh puluh ribu orang tukang pikul, lapan puluh ribu orang tukang pahat untuk memecah batu di pergunungan, dan tiga ribu enam ratus orang untuk mengawasi mereka.

3Lalu Salomo mengutus orang kepada Hirami, raja Tirus, dengan pesan, "Lakukanlah terhadap aku hal yang sama seperti yang tuan lakukan terhadap Daud, ayahku, ketika tuan mengirimkan kepadanya kayu araz untuk membangunkan istana tempat tinggalnya. 4Sesungguhnya, aku hendak membangunkan sebuah bait bagi nama Tuhan, Allahku, dan mentakdiskannya bagi Dia. Di dalam bait itu akan dibakar dupa harum di hadirat-Nya, disediakan roti persembahan yang tetap, serta dipersembahkan korban bakaran pada waktu pagi dan petang, pada hari Sabat, pada bulan baru, dan pada hari raya yang ditetapkan Tuhan, Allah kami. Semuanya itu kewajipan kekal bagi orang Israel. 5Bait yang hendak kubina itu haruslah besar, kerana Allah kami lebih besar daripada segala tuhan. 6ANamun demikian, sesungguhnya siapakah yang mampu membina sebuah bait bagi-Nya? Langit, bahkan langit di atas segala langit pun tidak dapat memuat Dia. Siapakah aku ini sehingga aku hendak membina sebuah bait bagi-Nya? Bait itu tidak lain sebagai tempat untuk membakar dupa di hadirat-Nya. 7Sekarang, sudilah tuan mengirimkan kepadaku seorang yang ahli mengerjakan emas, perak, gangsa, besi, kain ungu, kain kirmizi, dan kain biru, serta yang juga ahli membuat ukiran. Dia akan bekerja bersama-sama para ahli yang ada denganku di Yehuda dan di Yerusalem, yang telah disediakan oleh Daud, ayahku. 8Kirimkanlah juga kepadaku kayu araz, kayu sanubar, dan kayu cendana dari Lebanon, kerana aku tahu bahawa hamba-hamba tuan memang ahli dalam hal menebang pokok-pokok Lebanon. Hamba-hambaku akan bekerja bersama-sama hamba-hamba tuan 9untuk menyediakan sejumlah besar kayu bagiku, kerana bait yang hendak kubina itu haruslah besar dan menakjubkan. 10Bagi hamba-hamba tuan, para tukang yang menebang pokok itu, akan kuberi 20,000 kor gandum tumbuk, 20,000 kor barli, 20,000 bat anggur, dan 20,000 bat minyak."

11Jawab Hiram, raja Tirus, dalam surat balasan yang dikirimnya kepada Salomo, "Kerana Tuhan mengasihi umat-Nya, Dia telah mengangkat engkau menjadi raja atas mereka." 12Kata Hiram lagi, "Segala puji bagi Tuhan, Allah Israel, yang menjadikan langit dan bumi! Dia telah mengurniakan kepada Raja Daud seorang anak yang bijak, penuh akal budi dan pengertian, yang akan membina bait bagi Tuhan serta istana diraja bagi dirinya sendiri. 13Sekarang, kukirimkan seorang ahli yang sangat terampil, iaitu Huram-Abi. 14Dia ialah anak seorang perempuan daripada suku Dan, sedangkan ayahnya seorang Tirus. Dia memang ahli bidang mengerjakan emas, perak, gangsa, besi, batu, kayu, kain ungu, kain biru, linen halus, dan kain kirmizi. Dia juga cekap mengerjakan segala jenis ukiran serta dapat membuat semua rancangan yang akan ditugaskan kepadanya bersama-sama ahli-ahli tuan dan ahli-ahli tuanku Daud, ayah tuan. 15Sekarang, kirimkanlah gandum, barli, minyak, dan anggur yang tuanku sebutkan itu melalui hamba-hamba tuan. 16Kami akan menebang kayu dari Lebanon sebanyak yang tuan perlukan. Selanjutnya kayu itu akan kami bawa kepada tuan dengan rakit melalui laut ke Yope,ii dan tuan dapat mengangkutnya ke Yerusalem."

17Salomo menghitung semua pendatang yang ada di Tanah Israel menurut penghitungan yang pernah dilakukan oleh Daud, ayahnya. Didapatilah seratus lima puluh tiga ribu enam ratus orang. 18Daripada kalangan mereka dia menetapkan tujuh puluh ribu orang sebagai tukang pikul, lapan puluh ribu orang sebagai tukang pahat di pergunungan, dan tiga ribu enam ratus orang untuk mengawasi semua orang itu bekerja.