Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

2 Tawarikh 15

A A A
Alkitab Versi Borneo

Pembaharuan oleh Raja Asa

1Pada suatu waktu Roh Allah turun ke atas Azarya anak Oded. 2Dia pun pergi menghadap Asa dan berkata kepadanya, "Dengarlah aku, wahai Asa dan semua orang Yehuda serta orang Benyamin. Tuhan berserta dengan kamu apabila kamu berserta dengan Dia. Jika kamu mencari hadirat-Nya, Dia akan berkenan ditemukan olehmu. Tetapi jika kamu meninggalkan-Nya, Dia pun akan meninggalkan kamu. 3Lama sekali orang Israel hidup tanpa Allah yang benar, tanpa ajaran para imam, dan tanpa hukum Taurat. 4Namun demikian, dalam kesesakan mereka berbalik kepada Tuhan, Allah Israel. Mereka mencari hadirat-Nya dan Dia berkenan ditemukan mereka. 5Pada masa itu, orang tidak aman keluar masuk kerana kekacauan besar melanda semua penduduk di setiap negeri. 6Bangsa menghentam bangsa dan kota melawan kota, kerana Allah mengacaukan mereka dengan segala macam kesesakan. 7Tetapi kamu, kuatkanlah hatimu. Jangan biarkan tanganmu menjadi lemah, kerana ada pahala bagi pekerjaanmu."

8Setelah Asa mendengar kata-kata dan nubuat daripada nabi Azarya anak Oded itu, dia menguatkan hatinya dan menjauhkan patung-patung berhala yang keji dari seluruh Tanah Yehuda, Benyamin, dan dari kota-kota yang direbutnya di Pergunungan Efraim. Dipugarnya mazbah Tuhan yang ada di depan serambi Bait Tuhan, 9lalu dikumpulkannya semua orang Yehuda, orang Benyamin, dan para pendatang dari Efraim, Manasye, serta Simeon yang tinggal bersama-sama mereka, kerana ramai orang dari Israel yang membelot kepadanya ketika mereka melihat bahawa Tuhan, Allahnya, menyertai dia.

10Mereka berkumpul di Yerusalem pada bulan ketiga, dalam tahun kelima belas zaman pemerintahan Asa. 11Pada hari itu hasil jarahan yang dibawa pulang mereka disembelih sebagai korban untuk dipersembahkan kepada Tuhan, iaitu 700 ekor lembu dan 7,000 ekor domba. 12Mereka mengadakan perjanjian untuk mencari hadirat Tuhan, Allah nenek moyang mereka, dengan segenap hati dan dengan segenap jiwa. 13Sesiapa pun yang tidak mahu mencari hadirat Tuhan, Allah Israel, harus dihukum mati, baik kecil mahupun besar, baik lelaki mahupun perempuan. 14Mereka bersumpah setia kepada Tuhan dengan suara yang nyaring, dengan sorak-sorai, dan dengan bunyi nafiri serta sangkakala. 15Semua orang Yehuda bersukacita atas sumpah itu, kerana dengan segenap hati mereka telah bersumpah setia dan dengan keinginan yang bulat mereka mencari hadirat-Nya. Tuhan berkenan untuk ditemukan mereka dan Dia mengurniakan ketenteraman kepada mereka di segala penjuru.

16Raja Asa bahkan memecat Maakha, neneknya, daripada kedudukan bonda permaisuri, kerana Maakha membuat patung kekejian bagi Asyera. Asa menebang patung keji itu, menumbuknya, dan membakarnya di Lembah Kidron. 17Memang bukit-bukit pemujaan tidak disingkirkannya dari antara orang Israel, tetapi hati Asa tulus seumur hidupnya. 18Dia membawa ke dalam Rumah Allah persembahan suci ayahnya dan persembahan dirinya sendiri, iaitu perak, emas, dan berbagai-bagai kelengkapan. 19Tidak ada peperangan sampai tahun ketiga puluh lima zaman pemerintahan Asa.