Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

1 Tesalonika 4

A A A
Alkitab Versi Borneo

Nasihat supaya hidup suci

1Akhirnya, saudara-saudaraku, dengan nama Tuhan Yesus, kami meminta dan menyeru kamu sebagaimana yang kamu pelajari daripada kami supaya kamu menegakkan cara hidup yang diredai Allah. Sebagaimana yang telah kamu lakukan sedemikian, lakukannya dengan lebih bersungguh-sungguh. 2Kamu mengetahui petunjuk-petunjuk yang telah kami berikan kepadamu melalui Tuhan Yesus. 3Allah menghendakimu hidup suci dan menjauhkan diri daripada perbuatan cabul. 4Hendaklah kamu masing-masing tahu bagaimana mengawal tubuh badan sendiri dan hidup dalam kesucian dan kehormatan, 5serta tidak menurut hawa nafsu seperti yang dilakukan oleh orang yang tidak mengenal Allah. 6Janganlah sesiapa berbuat salah kepada saudaranya atau memperdayanya dalam hal ini. Kami telah menyatakan ini kepadamu dahulu dan memberikan amaran keras bahawa Tuhan akan menimpakan pembalasan kepada orang yang melakukan kesalahan demikian. 7Allah tidak memanggil kita supaya hidup cabul tetapi agar hidup dalam kesucian. 8Oleh yang demikian, sesiapa yang menolak ajaran ini bukanlah sekadar menolak manusia tetapi menolak Allah yang mengurniai kita Roh Kudus-Nya.

9Kami tidak perlu menuliskan tentang kasih persaudaraan kerana Allah telah mengajarmu supaya kasih-mengasihi satu sama lain. 10Kamu telah pun mengamalkannya terhadap saudara-saudara seiman di serata Makedonia. Namun demikian, saudara-saudaraku, kami menyerumu supaya lebih kasih-mengasihi lagi. 11Berusahalah untuk hidup tenang, usah campuri hal orang dan carilah nafkah sendiri, sebagaimana yang kami katakan kepadamu dahulu. 12Dengan demikian kamu akan dihormati oleh mereka yang bukan pengikut Kristus dan kamu tidak akan kekurangan apa-apa.

Kedatangan Yesus Kristus

13Saudara-saudaraku, kami mahu kamu mengetahui kebenaran tentang orang yang telah mati, agar kamu tidak bersedih seperti orang yang tidak mempunyai harapan. 14Kita percaya bahawa Yesus telah mati dan hidup semula. Kita juga percaya bahawa mereka yang beriman kepada Yesus dan kemudiannya mati akan dihidupkan semula oleh Allah untuk hidup bersama-Nya.

15AInilah ajaran Tuhan yang kami sampaikan kepadamu bahawa pada hari kedatangan Tuhan yang masih hidup tidak akan mendahului mereka yang sudah mati. 16Pada waktu itu, Tuhan akan turun dari syurga dengan satu seruan yang kuat, dengan suara malaikat agung, dan dengan sangkakala Allah. Mereka yang telah mati dalam Kristus akan dibangkitkan terlebih dahulu. 17Kemudian kita yang masih hidup ketika itu akan diangkat bersama mereka ke awan untuk bertemu dengan Tuhan di angkasa. Lantas kita akan bersama Tuhan selama-lamanya. 18Oleh itu, hendaklah kamu menyenangkan hati sesama sendiri dengan kata-kata ini.