Alkitab Versi Borneo |
Kerja Paulus di Tesalonika 1Saudara-saudaraku, kamu tahu bahawa kunjungan kami kepadamu tidak sia-sia. 2BKamu tahu bahawa kami telah dianiaya dan telah dihina di Filipi. Walaupun kami telah ditentang tetapi dengan pertolongan Allah kita, kami beroleh keberanian untuk menyampaikan Injil-Nya kepadamu. 3Seruan kami kepadamu tidak berasaskan kesilapan atau niat yang kotor mahupun usaha untuk memperdayamu. 4Sebaliknya, kami sentiasa berkata-kata sebagai orang yang dipandang layak oleh-Nya untuk memegang amanah menyampaikan Injil itu. Kami tidaklah berusaha hanya sekadar menyukakan hati manusia tetapi semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah yang menguji hati kami. 5Kamu tahu bahawa kami tidak mendekatimu dengan kata-kata sanjungan atau dengan niat tersembunyi untuk mendapatkan keuntungan daripadamu. Allah menjadi saksi kami. 6Kami juga tidak berusaha mendapatkan pujian manusia baik daripada kamu mahupun orang lain. Walaupun sebagai rasul Kristus kami memang boleh menuntut sesuatu daripadamu, 7namun ketika kami bersamamu, kami bersikap lemah lembut seperti ibu menjaga anak-anaknya. 8Kami amat mengasihimu sehingga kami bukan sahaja berasa sukacita menyampaikan Injil daripada Allah kepadamu malah sanggup memberikan kehidupan dan nyawa kami untukmu kerana kamu amat kami kasihi. 9Saudara-saudaraku, tentu kamu ingat betapa kami bertungkus-lumus siang malam agar tidak membebankan kamu ketika kami menyebarkan Injil daripada Allah. 10Kamu menjadi saksi kami, di samping Allah, bahawa setiap perbuatan kami suci, benar dan tiada cacat celanya dalam kalangan kamu yang beriman. 11Kamu tahu betapa kami menasihati, menggalakkan dan menyeru kamu seperti bapa terhadap anak-anaknya, 12supaya kamu hidup dengan cara yang diredai Allah yang memanggilmu ke dalam kerajaan-Nya serta kemuliaan-Nya. 13Di samping itu, kami sentiasa bersyukur kepada Allah kerana apabila kami menyampaikan perkhabaran Allah kepadamu, kamu telah mendengar dan menyambutnya bukan sebagai perutusan daripada manusia tetapi sebagai firman Allah. Memang benar perkhabaran itu daripada Allah yang bekerja dalam dirimu yang beriman. 14CSaudara-saudaraku, kamu telah mengikut teladan jemaah Allah di Yudea dalam Kristus Yesus. Kamu dianiaya oleh bangsamu sendiri, sebagaimana jemaah di Yudea dianiaya oleh orang Yahudi. 15DOrang Yahudi telah membunuh Tuhan Yesus dan nabi-nabi mereka sendiri serta mengusir kami keluar. Mereka menyakitkan hati Allah, memusuhi semua manusia, 16serta menghalang kami daripada menyebarkan perkhabaran kepada bangsa-bangsa asing supaya mereka beroleh penyelamatan. Demikianlah orang Yahudi berterusan melakukan dosa sehingga sampai hadnya. Kini seluruh kemurkaan Allah menimpa mereka. Kerinduan Paulus 17Saudara-saudara, meskipun kami terpisah jauh daripadamu bagi sementara waktu, namun hati kami tetap dekat denganmu dan amat merinduimu. Kami berusaha sedaya upaya untuk bertemu lagi denganmu. 18Kami berhasrat mengunjungimu lagi. Aku, Paulus, telah berusaha berkali-kali untuk melawatmu, tetapi kami telah dihalang oleh Iblis. 19Siapakah harapan, kesukaan, atau mahkota yang akan kami megahkan kelak di hadapan Tuhan kita Yesus ketika Dia datang nanti? Bukankah kamu? 20Memang kamulah kemuliaan dan kegembiraan kami.