Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

1 Samuel 31

A A A
Alkitab Versi Borneo

Kematian Raja Saul

1Sementara itu orang Filistin berperang melawan orang Israel di Gunung Gilboa lalu larilah orang Israel dari hadapan orang Filistin dan ramailah yang terkorban. 2Lalu orang Filistin mengejar Saul dan anak-anaknya dan mereka membunuh Yonatan, Abinadab, dan Malkisua, iaitu anak-anak Saul. 3Peperangan itu semakin sengit menghimpit Saul dan para pemanah mendapatkannya. Lalu Saul mengalami luka parah di tangan para pemanah itu. 4Berkatalah Saul kepada pembawa senjatanya, "Hunuslah pedangmu dan tikamlah aku, supaya jangan datang kalangan yang tidak bersunat ini menikam aku dan mempermainkan aku." Namun begitu, pembawa senjata yang amat takut itu enggan menurut perintah itu. Maka Saul sendiri mengambil pedang itu dan menjatuhkan dirinya ke atasnya. 5Apabila pembawa senjatanya melihat bahawa Saul sudah mati, dia juga menjatuhkan dirinya ke atas pedangnya, lalu mati bersama-sama Saul. 6Pada hari itu, gugurlah Saul, ketiga-tiga orang anaknya dan pembawa senjatanya, dan seluruh tenteranya. 7Apabila orang Israel yang tinggal di seberang lembah serta di seberang Sungai Yordan melihat betapa pasukan Israel telah lari, dan bagaimana Saul serta anak-anaknya telah gugur, mereka pun melarikan diri meninggalkan kota-kota mereka. Kemudian datanglah orang Filistin dan tinggal di kota-kota itu.

8Keesokan harinya, ketika orang Filistin datang untuk merampas apa-apa sahaja yang ada pada musuh yang terkorban itu, mereka menemui Saul dan ketiga-tiga orang anaknya yang bergelimpangan di Gunung Gilboa. 9Lalu mereka memenggal kepala Saul, melucutkan baju perangnya dan mengutus beberapa orang berkeliling tanah orang Filistin untuk menguar-uarkan hal itu di rumah-rumah berhala mereka dan juga kepada rakyat. 10Mereka menyimpan baju besi Saul di dalam kuil Asytoret serta memakukan mayatnya di tembok kota Bet-Sean.

11Apabila penduduk Yabesh-Gilead mendengar apa yang telah dilakukan orang Filistin terhadap Saul, 12semua orang yang gagah perkasa segera mengadakan perjalanan semalam-malaman. Mereka mengambil mayat Saul dan mayat anak-anaknya dari tembok Bet-Sean. Setelah itu, mereka pulang ke Yabesh dan membakar mayat-mayat itu. 13Lalu mereka mengambil tulang-tulang itu dan menguburkan semuanya di bawah pokok tamariska di Yabesh. Kemudian mereka berpuasa selama tujuh hari.