Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

1 Samuel 30

A A A
Alkitab Versi Borneo

Para isteri Daud ditawan

1Setibanya Daud dan anak buahnya di Ziklag pada hari ketiganya, ternyata orang Amalek telah menyerang Tanah Negeb dan Ziklag. Mereka mengalahkan serta membakar habis Ziklag. 2Mereka juga menawan kaum perempuan dan semua orang yang ada di sana, daripada yang kecil kepada yang besar. Mereka tidak membunuh seorang pun, tetapi mereka menawan semuanya lalu meneruskan perjalanan mereka. 3Setibanya Daud berserta anak buahnya di kota itu, tampaklah betapa kota itu sudah terbakar manakala para isteri mereka serta anak-anak mereka, baik lelaki mahupun perempuan, telah ditawan. 4Maka amat nyaringlah tangisan Daud serta umat yang menyertainya, sampai mereka tidak kuat lagi untuk menangis. 5AKedua-dua orang isteri Daud, iaitu Ahinoam orang Yizreel, dan Abigail, balu Nabal, orang Karmel itu, turut ditawan.

6Daud menjadi begitu tertekan apabila rakyat berkata hendak merejamnya dengan batu. Memang seluruh rakyat itu berasa amat pedih lantaran tertawannya anak masing-masing, baik lelaki mahupun perempuan. Namun begitu, Daud menguatkan hati di dalam Tuhan, Allahnya. 7BKata Daud kepada Imam Abyatar anak Ahimelekh, "Tolong bawakan baju efod ke mari." Lalu Abyatar membawa baju efod itu kepada Daud. 8Daud pun menanyakan petunjuk Tuhan, katanya, "Haruskah kukejar gerombolan itu? Adakah aku akan berjaya menyusul mereka?"

Firman-Nya kepadanya, "Kejarlah. Engkau pasti dapat menyusul mereka dan merebut semuanya kembali."

9Maka berangkatlah Daud dengan enam ratus orang yang menyertainya. Lalu sampailah mereka di anak Sungai Besor. Di tempat itulah orang yang tertinggal di belakang berhenti. 10Akan tetapi, Daud bersama-sama empat ratus orang lagi itu terus mengejar manakala dua ratus orang yang lain terlalu letih untuk menyeberangi anak Sungai Besor. 11Di padang itu mereka menemui seorang Mesir, lalu orang itu dibawa kepada Daud. Mereka memberi dia roti dan dia pun makan. Setelah itu, mereka memberi dia air minum, 12dan juga sepotong kuih ara serta dua gugus kismis. Sesudah makan, pulihlah semangatnya, kerana sudah tiga hari tiga malam dia tidak makan dan minum. 13Tanya Daud kepadanya, "Kamu ini hamba siapa dan engkau dari mana?"

Jawabnya, "Hamba ini seorang pemuda Mesir yang menjadi hamba seorang Amalek. Tuan meninggalkan hamba kerana tiga hari yang lalu hamba jatuh sakit. 14Kami baru sahaja menyerang Tanah Negeb orang Kreti, daerah yang termasuk wilayah Yehuda, dan Tanah Negeb, wilayah Kaleb. Kami juga membakar habis Ziklag."

15Tanya Daud kepadanya, "Mahukah engkau menghantar aku kepada gerombolan itu?"

Jawabnya, "Bersumpahlah kepada hamba demi Allah bahawa tuan tidak akan membunuh hamba atau menyerahkan hamba ke dalam tangan tuan hamba, maka hamba akan menghantar tuan kepada gerombolan itu." 16Maka dia pun menghantar Daud ke sana, dan tampak orang itu bersebaran di seluruh daerah itu.

Riang ria mereka itu makan, minum, dan mengadakan perayaan hasil besar segala rampasan yang diambil mereka dari tanah orang Filistin dan dari Tanah Yehuda. 17Kemudian keesokan harinya Daud menyerang mereka sejak dinihari sampai waktu maghrib. Tiada seorang pun daripada mereka yang terselamat, kecuali empat ratus orang pemuda yang melarikan diri dengan menunggang unta. 18Daud merebut kembali segala sesuatu yang diambil oleh orang Amalek, dan Daud pun membebaskan kedua-dua orang isterinya. 19Tidak ada yang kurang pada mereka, daripada yang kecil kepada yang besar, baik anak lelaki mahupun anak perempuan, juga rampasan serta segala sesuatu yang telah diambil oleh orang Amalek itu. Daud membawa kembali semuanya. 20Daud juga mengambil seluruh kawanan domba dan kawanan lembu, lalu orang menggiring kesemua haiwan itu di depan ternakan yang lain sambil berkata, "Inilah rampasan Daud."

21Maka tibalah Daud di tempat dua ratus orang yang terlalu letih untuk mengikutinya, iaitu mereka yang ditinggalkan di anak Sungai Besor. Mereka pun datang menyongsong Daud serta rakyat yang menyertainya. Daud mendekati mereka dan bertanyakan khabar mereka. 22Akan tetapi, semua orang jahat dan dursila dalam kalangan yang pergi bersama-sama Daud berkata, "Kerana mereka tidak pergi bersama kita, kita tidak akan memberikan kepada mereka sesuatu apa pun daripada rampasan yang kita rebut kembali. Mereka hanya boleh membawa isteri dan anak masing-masing, lalu pergi."

23Tetapi Daud berkata, "Saudara-saudaraku, jangan berbuat begitu terhadap apa yang dikurniakan Tuhan kepada kita. Dia telah melindungi kita dan menyerahkan ke dalam tangan kita gerombolan yang datang menyerang kita. 24Siapakah yang akan mendengar kamu dalam hal ini? Sebagaimana bahagian orang yang pergi berperang, demikian pulalah bahagian orang yang tinggal menjaga barang-barang kita. Mereka harus memperoleh bahagian yang sama." 25Jadi, sejak hari itu dan seterusnya, Daud menjadikan hal itu ketetapan dan peraturan bagi orang Israel. Hal itu berkuat kuasa sampai hari ini.

26Setelah Daud sampai di Ziklag, dikirimnya sebahagian daripada hasil jarahan itu kepada para tua-tua Yehuda, iaitu sahabat-sahabatnya, dengan pesan, "Ini pemberian untukmu, hasil jarahan daripada musuh-musuh Tuhan." 27Dia turut mengirimkannya kepada mereka yang tinggal di Betel, di Ramot di Tanah Negeb, di Yatir, 28di Aroer, di Sifmot, di Estemoa, 29di Rakhal, di kota-kota orang Yerahmeel, di kota-kota orang Keni, 30di Horma, di Bor-Asan, di Atakh, 31di Hebron, dan di segala tempat pengembaraan Daud berserta anak buahnya.