Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

1 Samuel 22

A A A
Alkitab Versi Borneo

Daud di gua Adulam

1Lalu pergilah Daud dari situ ke gua Adulam demi menyelamatkan diri. Maka para saudaranya dan seluruh keluarganya yang mendengar hal itu turut pergi ke sana untuk bersama-samanya. 2Semua orang yang ada dalam kesesakan, yang berhutang, dan yang sakit hati juga datang berkumpul bersama-samanya, dan dia menjadi ketua mereka. Ada kira-kira empat ratus orang lelaki yang menyertainya.

3Dari situ Daud berpindah ke Mizpa di Moab. Berkatalah dia kepada raja Moab, "Izinkanlah ayah dan ibu hamba datang ke mari dan tinggal dengan tuanku, sampai hamba mengetahui apa yang akan dilakukan Allah terhadap hamba." 4Lalu dia membawa mereka menghadap raja Moab, dan mereka pun tinggal bersama dengannya selama Daud berada di kubu pertahanan.

5Akan tetapi, nabi Gad berkata kepada Daud, "Jangan tinggal di kubu pertahanan ini. Pergilah, masuklah ke Tanah Yehuda." Maka pergilah Daud lalu masuk ke Hutan Keret.

Saul membunuh para imam di Nob

6Saul mendengar bahawa Daud dan orang yang menyertainya telah dijumpai. Pada waktu itu Saul sedang duduk di Gibea, di bawah pokok tamariska di Rama. Tombaknya ada di tangannya dan semua pegawainya berdiri dekatnya. 7Kata Saul kepada para pegawainya yang berdiri dekatnya, "Dengarlah, wahai orang Benyamin! Adakah anak Isai itu akan memberikan ladang dan kebun anggur kepada kamu semua? Adakah dia akan menjadikan kamu semua pemimpin pasukan seribu dan pemimpin pasukan seratus, 8sehingga kamu semua bersekongkol melawan aku? Tiada seorang pun memberitahu aku ketika anakku sendiri mengikat perjanjian dengan anak Isai itu. Tiada seorang pun daripada kamu yang mengambil berat terhadap aku atau memberitahu aku bahawa anakku telah menghasut pegawaiku untuk melawan aku sambil dia menunggu kesempatan untuk bertindak sebagaimana yang terjadi pada hari ini."

9AKemudian berkatalah Doeg, orang Edom, yang berdiri dekat para pegawai Saul, "Kulihat anak Isai itu mendatangi Ahimelekh anak Ahitub di Nob. 10Ahimelekh menanyakan petunjuk Tuhan baginya dan memberikan bekalan kepadanya. Diberikannya juga pedang Goliat, orang Filistin itu, kepadanya."

11Maka raja memerintahkan agar Imam Ahimelekh anak Ahitub dan seluruh keluarganya, iaitu para imam di Nob, datang menghadap lalu mereka pun datanglah kesemuanya menghadap raja.

12Kata Saul, "Dengarlah, wahai anak Ahitub."

Jawab Ahimelekh, "Daulat, Tuanku."

13Kata Saul kepadanya, "Mengapa kamu, iaitu engkau dan anak Isai itu, bersekongkol melawan aku? Engkau memberikan roti dan sebilah pedang kepadanya serta menanyakan petunjuk Tuhan baginya sehingga dia bangkit melawan aku dan menunggu kesempatan untuk bertindak terhadap aku seperti yang terjadi pada hari ini."

14Jawab Ahimelekh kepada raja, "Tetapi siapakah antara semua pegawai tuanku yang begitu dipercayai seperti Daud? Apatah lagi, selain menjadi menantu raja, dia juga ketua para pengawal tuanku dan dihormati di dalam istana tuanku. 15Adakah baru hari ini sahaja hamba menanyakan petunjuk Allah baginya? Sama sekali tidak! Janganlah Raja menanggungkan sesuatu pun atas hambamu ini atau atas semua keluarga hamba, kerana sedikit pun hamba tidak tahu-menahu tentang semua ini."

16Tetapi kata raja, "Engkau harus mati, Ahimelekh, engkau dan seluruh keluargamu." 17Kemudian raja berkata kepada para bentara yang berdiri dekatnya, "Majulah dan hapuskanlah para imam Tuhan itu, kerana mereka pun berpihak kepada Daud. Mereka tahu bahawa dia sedang melarikan diri, tetapi mereka tidak memberitahukan hal itu kepadaku." Namun demikian, para pegawai raja enggan menghulurkan tangan untuk menyerang para imam Tuhan. 18Lalu berkatalah raja kepada Doeg, "Majulah dan seranglah para imam itu!" Maka Doeg, orang Edom itu, maju menyerang para imam. Pada hari itu dia membunuh lapan puluh lima orang yang memakai baju efod daripada kain linen. 19Nob, kota para imam itu, diserangnya pula dengan mata pedang. Lelaki dan perempuan, anak-anak dan bayi-bayi yang menyusu, juga kawanan lembu, keldai, serta domba, dibunuhnya dengan mata pedang.

20Seorang anak Ahimelekh anak Ahitub, namanya Abyatar, berjaya menyelamatkan diri lantas melarikan diri lalu bergabung dengan Daud. 21Abyatar memberitahu Daud bahawa Saul telah membunuh para imam Tuhan. 22Kata Daud kepada Abyatar, "Pada hari itu, ketika Doeg, orang Edom itu, berada di sana, aku tahu bahawa dia pasti akan memberitahukan hal berkenaan kepada Saul. Akulah yang menyebabkan kematian seluruh anggota keluargamu. 23Tinggallah bersama-samaku. Jangan takut. Orang yang mengancam nyawamu ialah orang yang turut mengancam nyawaku. Bersama-samaku engkau akan selamat."