Alkitab Versi Borneo |
Daud di Nob 1ASampailah Daud ke Nob ke tempat Imam Ahimelekh. Dengan gementar Ahimelekh pergi menemui Daud dan berkata kepadanya, "Mengapakah engkau seorang diri? Mengapakah engkau tidak diiringi seorang pun?" 2Jawab Daud kepada Imam Ahimelekh, "Raja menugaskan aku untuk mengurus suatu perkara. Titahnya kepadaku, 'Jangan seorang pun tahu tentang urusan yang kutugaskan dan kuperintahkan kepadamu ini.' Oleh sebab itu kuarahkan orangku untuk pergi ke sebuah tempat. 3Sekarang, apakah yang ada padamu? Berilah aku lima ketul roti atau apa sahaja yang ada." 4Jawab imam itu kepada Daud, "Tidak ada roti biasa padaku, hanya ada roti suci – asalkan orang lelakimu menahan diri daripada bersama dengan perempuan." 5Kata Daud kepada imam itu, "Tentu sahaja, seperti biasa, kami menahan diri daripada perempuan apabila aku berpergian. Tubuh orang aku suci sekalipun dalam perjalanan biasa, apatah lagi hari ini. Tubuh mereka memang suci." 6BMaka imam memberikan roti suci itu kepada mereka kerana memang tidak ada roti lain di sana kecuali roti persembahan, yang baru diambil dari hadirat Tuhan untuk diganti dengan roti panas apabila roti yang lama itu dibawa pergi. 7Pada hari itu juga, ada salah seorang pegawai Saul di sana yang sedang memenuhi kewajipan kepada Tuhan. Namanya Doeg, orang Edom, pemimpin gembala Saul. 8Daud berkata kepada Ahimelekh, "Tidak adakah padamu di sini tombak atau pedang? Aku tidak membawa pedang ataupun senjata, kerana urusan raja itu mendesak." 9CKata imam itu, "Pedang Goliat, orang Filistin yang kaubunuh di Lembah Elah itu, ada di sini, terbungkus di dalam kain di belakang baju efod. Jika engkau mahu mengambilnya, ambillah. Di sini tidak ada yang lain kecuali sebilah itu." Kata Daud, "Pedang itu tidak ada bandingannya. Berikanlah kepadaku." Daud di Gat 10Pada hari itu juga Daud bersegera melarikan diri daripada Saul. Dia pergi ke tempat Akhis, raja Gat. 11DKata para pegawai Akhis kepada raja, "Bukankah ini Daud, raja negeri itu? Bukankah mengenai dia mereka menyanyi berbalas-balasan sambil menari-nari, demikian, 'Saul membunuh beribu-ribu, dan Daud berpuluh-puluh ribu'?" 12EHati Daud sangat terusik dengan kata-kata itu lalu dia menjadi sangat takut kepada Akhis, raja Gat itu. 13FLalu diubahnya tingkah lakunya di hadapan mata mereka dan berpura-pura gila apabila dekat dengan mereka. Dia menggores-gores daun pintu gerbang dan membiarkan air liurnya meleleh ke janggutnya. 14Kata Akhis kepada para pegawainya, "Tengoklah, orang ini gila. Mengapa kamu membawa dia kepadaku? 15Adakah aku kekurangan orang gila sehingga kamu membawa orang ini untuk menunjukkan kegilaannya di hadapanku? Patutkah orang ini masuk ke dalam rumahku?"