Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

1 Samuel 19

A A A
Alkitab Versi Borneo

Usaha Saul untuk membunuh Daud

1Saul mengatakan kepada Yonatan, anaknya, dan kepada semua pegawainya bahawa Daud harus dibunuh. Akan tetapi, Yonatan anak Saul sangat suka pada Daud. 2Oleh itu, Yonatan memberitahukan hal itu kepada Daud. Katanya, "Saul, ayahku, berikhtiar untuk membunuh engkau. Sekarang, berjaga-jagalah. Esok pagi, diamlah di sebuah tempat terlindung dan bersembunyilah. 3Aku akan keluar dan berdiri di sisi ayahku di padang, tempat engkau berada. Aku akan berbicara mengenai engkau kepada ayahku, dan hasilnya akan kukhabarkan kepadamu."

4Yonatan mengatakan hal yang baik tentang Daud kepada Saul, ayahnya. Katanya kepadanya, "Janganlah Raja berbuat dosa terhadap hambanya, iaitu Daud, kerana dia tidak berbuat dosa terhadap engkau, dan segala sesuatu yang dikerjakannya pun sangat baik bagimu. 5Dia telah mempertaruhkan nyawanya dan menumpaskan orang Filistin itu, sehingga Tuhan mengurniakan kemenangan yang besar bagi seluruh Israel. Engkau sendiri telah menyaksikannya dan bersukacita kerananya. Mengapakah kini engkau hendak berbuat dosa terhadap orang yang tidak bersalah seperti Daud dengan membunuhnya tanpa sebab?"

6Saul mendengar kata-kata Yonatan, dan dia pun bersumpah, "Demi Tuhan yang hidup, dia tidak akan dibunuh." 7Yonatan memanggil Daud dan memberitahukan kepadanya semua hal itu. Lalu Yonatan membawa Daud untuk menghadap Saul, dan Daud berkhidmat kepadanya seperti sediakala.

8Kemudian peperangan tercetus lagi. Daud maju memerangi orang Filistin dan mengalahkan mereka dan orang Filistin ditumpaskan dengan sedemikian hebatnya sehingga larilah kesemuanya dari hadapannya.

9Namun demikian, roh jahat yang diizinkan Tuhan datang lagi kepada Saul ketika dia sedang duduk di rumahnya dengan tombaknya di tangannya. Ketika Daud sedang memetik kecapi, 10tiba-tiba Saul berusaha menancapkan Daud ke dinding dengan tombak itu. Akan tetapi, Daud mampu mengelak sehingga tombak Saul menikam dinding sahaja. Maka larilah Daud menyelamatkan diri pada malam itu.

11AKemudian Saul mengutus beberapa orang suruhan ke rumah Daud untuk mengawasinya dan membunuhnya pada pagi hari. Tetapi Mikhal, isteri Daud, memberitahukan hal itu kepadanya, katanya, "Jika engkau tidak menyelamatkan diri malam ini, maka esok engkau akan dibunuh." 12Mikhal pun menurunkan Daud melalui jendela lantas larilah Daud untuk menyelamatkan dirinya. 13Setelah itu, Mikhal mengambil terafimi dan membaringkannya di tempat tidur. Diletakkannya bantal bulu kambing di bahagian kepalanya, lalu ditutupinya dengan selimut. 14Ketika Saul mengutus orang suruhan untuk menangkap dan membawa Daud, Mikhal berkata, "Dia sakit." 15Lalu Saul mengutus orang suruhan itu kembali untuk melihat Daud, katanya, "Usunglah dia kepadaku di atas tempat tidur itu, supaya aku dapat membunuhnya." 16Tetapi ketika orang suruhan itu masuk, tampaklah terafim di tempat tidur itu dengan bantal bulu kambing di bahagian kepalanya. 17Kata Saul kepada Mikhal, "Mengapakah engkau memperdaya aku seperti itu dan melepaskan musuhku pergi sehingga dia terselamat?"

Jawab Mikhal kepada Saul, "Dia berkata kepadaku, 'Biarkanlah aku pergi. Apakah harus aku membunuh engkau?' "

18Daud lari menyelamatkan diri. Pergilah dia kepada Samuel di Rama dan memberitahukan kepadanya segala sesuatu yang dilakukan Saul terhadapnya. Lalu pergilah dia bersama-sama Samuel dan tinggal di Nayot. 19Namun demikian, kepada Saul diberitahukan demikian, "Ketahuilah, Daud ada di Nayot, dekat Rama." 20Maka Saul mengutus beberapa orang suruhan untuk menangkap dan membawa Daud. Apabila mereka melihat betapa sebuah rombongan para nabi bernubuat dengan diketuai oleh Samuel, turunlah Roh Allah ke atas mereka, sehingga orang suruhan Saul itu pun bernubuat seperti para nabi. 21Hal itu diberitahukan kepada Saul. Maka diutusnya pulalah beberapa orang suruhan yang lain, tetapi mereka pun turut bernubuat seperti nabi. Untuk ketiga kalinya Saul mengutus beberapa lagi orang suruhan tetapi mereka juga bernubuat seperti nabi. 22Akhirnya dia sendiri pergi ke Rama. Sesampainya dia di perigi besar di Sekhu, bertanyalah dia, "Di manakah Samuel dan Daud?" Jawab seseorang, "Ada di Nayot, dekat Rama." 23Dia pergi ke sana, ke Nayot, dekat Rama, dan Roh Allah turun ke atasnya juga. Sambil terus berjalan dia bernubuat seperti nabi sampai tiba di Nayot, dekat Rama. 24BSetelah itu, dia menanggalkan pakaiannya lalu dia bernubuat di hadapan Samuel. Sepanjang siang dan sepanjang malam dia berbaring dengan telanjang. Sebab itulah orang berkata, "Adakah Saul juga tergolong dalam kalangan nabi?"