Alkitab Versi Borneo |
Goliat menentang orang Israel 1Orang Filistin mengumpulkan tentera mereka untuk berperang; mereka berkumpul di Sokho iaitu di bumi Yehuda dan berkhemah di antara Sokho dengan Azeka di Efes-Damim. 2Saul serta orang Israel juga berkumpul dan berkhemah di Lembah Elah. Mereka mengatur barisan perang untuk berhadapan dengan orang Filistin. 3Orang Filistin berdiri di gunung sebelah sana, sedangkan orang Israel berdiri di gunung sebelah sini iaitu dengan sebuah lembah yang terbentang di antara mereka. 4Kemudian tampillah seorang kesateria dari perkhemahan orang Filistin. Namanya Goliat dari Gat. Tingginya enam hasta lebih sejengkal. 5Dia memakai ketopong gangsa di kepalanya serta baju zirah yang bersisik seberat lima ribu syikal gangsa. 6Pelindung kakinya juga daripada gangsa, dan sebuah lembing gangsa tersandang di antara bahunya. 7Batang tombaknya seperti kayu penggulung tukang tenun, berat mata tombaknya enam ratus syikal besi. Seorang pembawa perisai berjalan di depannya. 8Dia berdiri dan berseru kepada barisan orang Israel. Katanya kepada mereka "Mengapakah kamu keluar mengatur barisan perang? Aku seorang Filistin dan bukankah kamu para hamba Saul? Pilihlah seorang untuk mewakilimu dan turun menghadapi aku. 9Jika dia sanggup bertarung dengan aku dan membunuh aku, maka kami akan menjadi hamba-hambamu. Tetapi jika aku menang melawan dia dan membunuh dia, maka kamu harus menjadi hamba-hamba kami dan takluk kepada kami." 10Kata orang Filistin itu lagi, "Aku mencemuh barisan orang Israel hari ini. Hadapkanlah seorang kepadaku untuk bertarung satu lawan satu." 11Ketika Saul dan kesemua orang Israel mendengar kata-kata orang Filistin itu, kecut perutlah mereka, dan mereka sangat ketakutan. Daud tiba di medan peperangan 12Daud ialah anak Isai, orang Efrata dari Betlehem-Yehuda. Isai mempunyai lapan orang anak. Pada zaman Saul, dia termasuk orang yang sudah sangat tua dalam kalangan umat yang sebangsa dengannya. 13Ketiga-tiga anak Isai yang tertua pergi berperang mengikut Saul. Mereka ialah Eliab, yang sulung; Abinadab, yang kedua; dan Syama, yang ketiga. 14Daud pula anak bongsunya. Ketiga-tiga orang anak yang tertua itu mengikut Saul, 15tetapi Daud selalu berulang-alik daripada Saul kepada tugas menggembala kawanan domba ayahnya di Betlehem. 16Selama empat puluh hari lamanya orang Filistin itu tampil lalu mencabar dan mencemuh orang Israel pada pagi dan petang hari. 17Sementara itu Isai berkata kepada Daud, anaknya, "Cepat bawakan satu efai bertih padi-padian dan sepuluh ketul roti ini untuk abang-abangmu di perkhemahan. 18Bawakan juga sepuluh potong keju ini untuk pemimpin pasukan seribu. Tengoklah sama ada abang-abangmu selamat, lalu bawalah pulang suatu tanda daripada mereka." 19Pada waktu itu, Saul berserta ketiga-tiga abangnya dan seluruh orang Israel berada di Lembah Elah, sedang berperang melawan orang Filistin. 20Daud pun bangun pagi-pagi lalu mengamanahkan kawanan dombanya kepada seorang gembala. Setelah itu, diangkatnyalah muatannya lalu pergi, sebagaimana yang diperintahkan Isai kepadanya. Dia sampai di parit perlindungan pada waktu pasukan sedang keluar menuju barisan perang sambil memekikkan sorakan perang. 21Orang Israel dan orang Filistin mengatur barisan masing-masing, barisan perang berhadapan dengan barisan perang. 22Daud mengamanahkan barang-barangnya kepada penjaga barang lalu berlari ke tempat barisan perang dan bertanyakan khabar abang-abangnya. 23Ketika dia bercakap dengan mereka, tiba-tiba kesateria bangsa Filistin dari Gat yang bernama Goliat itu maju dari barisan tentera Filistin. Dia mengucapkan kata-kata cemuhan yang sama seperti sebelumnya dan Daud mendengarnya. 24Semua orang Israel lari menjauhkan diri sebaik sahaja mereka melihat orang itu. Mereka dalam ketakutan yang amat sangat. 25Kata orang Israel, "Adakah kamu lihat orang yang sedang mara itu? Sememangnya dia mara untuk mencemuh orang Israel. Raja akan menganugerahi orang yang dapat membunuhnya dengan kekayaan yang besar. Kepadanya akan dikurniakan puteri baginda, dan keluarganya akan dibebaskan daripada membayar cukai di Israel." 26Daud pun bertanya kepada kalangan yang berdiri bersamanya, "Apakah yang akan dilakukan terhadap orang yang dapat membunuh orang Filistin ini dan yang dapat menghapus cela ini daripada Israel? Siapakah orang Filistin yang tidak bersunat itu sehingga dia mencemuh barisan perang daripada Allah yang hidup?" 27Rakyat menjawabnya seperti tadi, "Begitulah yang akan dilakukan terhadap orang yang membunuh dia." 28Eliab, abangnya yang tertua, mendengar percakapannya dengan orang itu. Maka menyalalah amarah Eliab terhadap Daud, katanya, "Mengapakah engkau datang ke mari? Kepada siapa kauamanahkan kawanan domba yang sedikit itu di gurun? Aku mengenal keangkuhan dan kejahatan hatimu. Engkau datang hanya untuk menonton peperangan ini, bukan?" 29Kata Daud, "Apakah yang telah kulakukan? Hanya berbincang-bincang, bukan?" 30Dia pun menjauhi abangnya lalu beralih kepada orang lain dan menanyakan hal serupa. Lagi-lagi rakyat memberikan jawapan yang sama seperti sebelumnya. 31Rupanya, kata-kata yang diucapkan Daud itu didengar orang lalu dilaporkan kepada Saul. Saul pun menyuruh orang untuk menjemputnya datang menghadap. 32Kemudian Daud berkata kepada Saul, "Janganlah ada seorang pun yang tawar hati kerana orang itu. Hambamu ini akan pergi bertarung menghadapi orang Filistin itu." 33Kata Saul kepada Daud, "Engkau tidak akan sanggup menghadapi orang Filistin itu dan bertarung dengannya. Engkau masih muda, sedangkan dia seorang pejuang sejak mudanya." 34Tetapi kata Daud kepada Saul, "Hambamu ini biasa menggembala domba-domba ayahnya. Jika singa atau beruang datang melarikan seekor anak domba daripada kawanannya, 35maka hamba akan pergi mengejarnya, lalu menyerangnya dan melepaskan domba itu daripada mulutnya. Jika dia bangkit melawan hamba, maka hamba akan merenggut janggutnya, lalu menyerang dan membunuhnya. 36Singa ataupun beruang sudah pernah hamba bunuh. Maka orang Filistin yang tidak bersunat ini pun akan menjadi seperti seekor daripada haiwan-haiwan itu, kerana dia telah mencemuh barisan perang daripada Allah yang hidup." 37Kata Daud lagi, "Tuhan, yang telah melepaskan hamba daripada cakar singa serta cakar beruang, akan melepaskan hamba daripada tangan orang Filistin ini." Kata Saul kepada Daud, "Pergilah, semoga Tuhan menyertai engkau." 38Kemudian Saul memasangkan pakaian perang pada Daud. Dipakainya ketopong tembaga di kepalanya, dan dikenakannya baju zirah padanya. 39Daud mengikatkan pedangnya pada pakaian perangnya lalu cuba untuk berjalan kerana dia belum pernah memakainya. Kata Daud kepada Saul, "Hamba tidak dapat berjalan dengan pakaian ini, kerana hamba belum pernah memakainya." Lalu Daud menanggalkan semua itu. Pertarungan Daud dengan Goliat 40Daud mengambil tongkatnya lalu memilih lima butir anak batu yang licin dari sungai. Dia memasukkan batu-batu itu ke dalam kantung gembala miliknya, dan membawa tarbilnya. Setelah itu, dia pun maju mendekati orang Filistin itu. 41Orang Filistin itu pun datang mendekati Daud, sementara orang yang membawa perisainya ada di hadapannya. 42Ketika orang Filistin itu melihat dan mengamati Daud, dia memandang remeh terhadap Daud yang masih muda, kemerah-merahan, dan elok rupanya. 43Kata orang Filistin itu kepada Daud, "Apakah aku ini anjing sehingga engkau datang kepadaku dengan membawa tongkat?" Dia mengutuk Daud demi tuhan-tuhannya.ii 44Kata orang Filistin itu lagi kepada Daud, "Ke marilah, akan kuberikan dagingmu kepada burung-burung di udara dan kepada binatang-binatang di padang!" 45Kata Daud kepada orang Filistin itu, "Engkau datang kepadaku dengan pedang, tombak, dan lembing, tetapi aku datang kepadamu dengan nama Tuhan alam semesta, iaitu Allah barisan perang orang Israel yang kaucemuh itu. 46Pada hari ini juga Tuhan akan menyerahkan engkau ke dalam tanganku. Aku akan menumpaskanmu dan memenggal kepalamu. Pada hari ini juga akan kuberikan bangkai pasukan Filistin kepada burung-burung di udara dan kepada binatang-binatang di bumi. Dengan demikian seluruh bumi akan tahu bahawa ada Allah di Israel, 47dan seluruh jemaah ini akan tahu bahawa Tuhan tidak menyelamatkan dengan pedang dan tombak, kerana peperangan ini sememangnya milik Tuhan dan Dia akan menyerahkan kamu ke dalam tangan kami." 48Pada waktu orang Filistin itu maju mendekat untuk menghadapi Daud, berlarilah Daud dengan cepat ke arah barisan perang musuh untuk menghadapi orang Filistin itu. 49Daud menyusupkan tangan ke dalam kantungnya dan mengambil sebutir anak batu dari dalamnya lalu melontarkannya dengan tarbilnya. Batu itu tepat mengenai dahi orang Filistin itu dan terbenam di dalam dahinya, sehingga orang itu jatuh menyembam tanah. 50ADemikianlah Daud menyerang orang Filistin itu dengan tarbil dan batu. Dihentam dan dibunuhnya orang Filistin itu tanpa sebilah pedang di tangannya. 51BDaud pun berlari lalu berdiri di atas tubuh orang Filistin itu. Diambilnya pedangnya, dihunusnya daripada sarungnya, lalu dibunuhnya orang itu. Dan dengan pedang itu dipenggalnya pula kepalanya. Larilah orang Filistin apabila mereka lihat betapa kesateria mereka telah ditumpaskan. 52Maka bersorak rianglah orang Israel dan Yehuda sambil mara untuk mengejar orang Filistin sampai jalan masuk Gat dan ke pintu gerbang Ekron. Mayat orang Filistin yang terbunuh bergelimpangan di jalan menuju Saaraim, sampai Gat dan Ekron. 53Setelah mengejar orang Filistin, orang Israel kembali dan menjarah perkhemahan musuh mereka itu. 54Daud mengambil kepala orang Filistin itu dan membawanya ke Yerusalem, tetapi dia menaruh senjata orang Filistin di dalam khemahnya. 55Pada waktu Saul melihat Daud maju menghadapi orang Filistin itu, dia bertanya kepada Abner, panglima tenteranya, "Anak siapakah orang muda itu, Abner?" Jawab Abner, "Demi hidupmu, ya Raja, hamba tidak tahu." 56Kata raja, "Tanyalah, anak siapa pemuda itu." 57Sekembalinya Daud setelah menumpaskan orang Filistin itu, Abner menjemputnya lalu membawanya ke hadapan Saul. Kepala orang Filistin itu masih ada di tangannya. 58Tanya Saul kepadanya, "Anak siapakah engkau, anak muda?" Jawab Daud, "Anak Isai, hamba tuanku, orang Betlehem."