Alkitab Versi Borneo |
Raja Saul menyelamatkan penduduk Yabesh 1Kemudian Nahas, orang Amon itu, bergerak maju dan berkhemah mengepung Yabesh-Gilead. Lalu berkatalah semua orang Yabesh itu kepada Nahas, "Ikatlah perjanjian dengan kami, maka kami akan takluk kepada tuan." 2Tetapi Nahas, orang Amon itu, berkata kepada mereka, "Aku akan mengikat perjanjian dengan kamu dengan syarat bahawa setiap mata kananmu akan kucungkil; dengan demikian aku mengaibkan seluruh orang Israel." 3Kata para tua-tua Yabesh kepadanya, "Berikanlah kelonggaran kepada kami selama tujuh hari untuk kami mengirim utusan ke seluruh daerah Israel. Sekiranya tiada seorang pun yang menyelamatkan kami, maka kami akan keluar menyerahkan diri kepada tuan." 4Ketika para utusan sampai di Gibea, kota Saul, mereka menyampaikan hal itu kepada bangsa itu, dan menangislah seluruh umat itu dengan suara yang nyaring. 5Pada ketika itu Saul baru sahaja datang dari ladang. Dia berjalan di belakang kawanan lembunya. Lalu tanya Saul, "Apakah yang terjadi kepada orang ramai ini? Mengapakah mereka menangis?" Mereka pun menceritakan kepadanya perkara yang dikhabarkan oleh umat Yabesh itu. 6Lalu Saul yang mendengar khabar itu dikuasai oleh Roh Allah dan amarahnya pun menyala-nyala dengan kuatnya. 7Maka dia mengambil sepasang lembu, lantas memotong-motong lembu itu, lalu mengirimkannya ke seluruh daerah Israel dengan perantaraan beberapa orang utusan. Katanya, "Sesiapa yang tidak maju mengikuti Saul dan Samuel, beginilah lembu-lembunya akan diperlakukan." Rasa takut daripada Tuhan melanda bangsa itu sehingga mereka pun maju dengan serentak. 8Ketika Saul menghitung mereka di Bezek, ada tiga ratus ribu orang Israel dan tiga puluh ribu orang Yehuda. 9Mereka memberitahu para utusan yang datang, "Beginilah harus kamu katakan kepada orang Yabesh-Gilead, 'Esok, pada waktu hari panas terik, kamu akan mendapat pertolongan.' " Lalu utusan-utusan itu pulang dan menyampaikan hal itu kepada orang Yabesh, sehingga mereka pun bersukacita. 10Maka kata penduduk Yabesh kepada Nahas, "Esok kami akan menyerahkan diri kepadamu. Perbuatlah terhadap kami apa-apa pun yang kamu pandang baik." 11Keesokan harinya, Saul membahagikan rakyat kepada tiga pasukan. Mereka masuk ke tengah-tengah perkhemahan musuh pada waktu fajar menyingsing dan menyerang orang Amon sampai waktu hari panas terik. Tercerailah mana-mana orang Amon yang terselamat hinggakan tiada dua orang pun yang masih bersama-sama. 12Kemudian berkatalah umat itu kepada Samuel, "Siapakah yang dahulunya berkata, 'Mana boleh Saul bertakhta terhadap kita?' Serahkanlah mereka itu. Akan kami bunuh mereka." 13Tetapi kata Saul, "Tiada seorang pun boleh dibunuh pada hari ini, kerana pada hari ini penyelamatan Tuhan telah dikurniakan kepada Israel." 14Maka kata Samuel kepada bangsa itu, "Marilah kita pergi ke Gilgal dan membaharui jawatan raja di sana." 15Lalu pergilah seluruh bangsa itu ke Gilgal. Di Gilgal itu, di hadapan Tuhan, mereka menobatkan Saul untuk menjadi raja, dan mempersembahkan korban kedamaian maka bersukacitalah Saul berserta semua orang Israel di sana.