Alkitab Versi Borneo |
Saul dinobatkan sebagai raja 1Lalu Samuel mengambil kendi berisi minyak zaitun lantas menuangnya ke atas kepala Saul lalu menciumnya sambil berkata, "Bukankah Tuhan telah melantik engkau untuk menjadi raja atas umat-Nya Israel? Engkau akan memegang tampuk pemerintahan atas umat Tuhan, dan engkau akan menyelamatkan mereka daripada tangan para musuh yang ada di sekitar. Inilah tanda bagimu, bahawa Tuhan telah menobatkan engkau untuk menjadi raja atas pusaka milik-Nya sendiri. 2Apabila engkau pergi meninggalkan aku pada hari ini, engkau akan bertemu dengan dua orang lelaki berdekatan dengan makam Rahel di daerah Benyamin, di Zelzah. Mereka akan berkata kepadamu, 'Keldai yang kaucari itu sudah ditemukan. Kini ayahmu sudah tidak peduli lagi kepada keldai-keldai itu, tetapi dia berasa risau tentang keadaan sekalian. Katanya, "Apakah yang harus kuperbuat demi anakku?" ' 3Dari sana engkau akan berjalan terus lagi dan sampai ke pokok oak di Tabor, maka di sana engkau akan ditemui oleh tiga orang lelaki yang naik menghadap Allah di Betel; seorang membawa tiga ekor anak kambing, seorang membawa tiga ketul roti dan yang ketiga membawa sekantung kulit berisi air anggur. 4Mereka akan menyapa engkau lalu memberikan kepadamu dua ketul roti. Terimalah itu daripada tangan mereka. 5Setelah itu, engkau akan tiba di bukit Allah di Gibea, tempat barisan tentera orang Filistin. Sebaik sahaja engkau memasuki kota itu, engkau akan bertemu dengan serombongan nabi di sana yang sedang turun dari bukit pemujaan dengan membawa gambus, rebana, seruling, dan kecapi di depan mereka. Mereka akan bernubuat. 6Lalu Roh Tuhan akan mendatangi kamu dengan penuh kuasa sehingga engkau akan bernubuat seperti nabi bersama-sama para nabi itu, dan engkau akan berubah menjadi seorang yang lain. 7Apabila engkau dapati tanda-tanda itu terjadi, lakukanlah apa-apa pun yang dilakukan oleh tanganmu kerana Allah menyertai engkau. 8Kemudian engkau harus pergi ke Gilgal mendahului aku. Ingat, aku akan turun mendapatkan engkau untuk mempersembahkan segala korban bakaran serta korban kedamaian. Hendaklah engkau menunggu selama tujuh hari sehingga aku datang kepadamu dan memberitahumu apa yang harus kaulakukan." 9Apabila dia berpaling untuk pergi meninggalkan Samuel, Allah memberinya hati yang baru. Lalu terjadilah semua tanda itu pada hari itu juga. 10Ketika mereka sampai di Gibea, tampaklah serombongan nabi menuju ke arahnya. Kemudian Roh Allah turun ke atasnya dengan penuh kuasa sehingga dia juga bernubuat seperti para nabi dalam kalangan umat itu. 11Apabila semua orang yang mengenalnya sejak dahulu melihat bahawa dia bernubuat seperti nabi bersama-sama para nabi itu, berkatalah mereka satu sama lain, "Apakah yang terjadi dengan anak Kish ini? Adakah Saul juga termasuk golongan nabi?" 12ASeorang yang tinggal di sana berkata, "Jadi siapakah bapa mereka?" Oleh sebab itu muncul suatu pepatah, "Adakah Saul juga termasuk dalam golongan nabi?" 13Sesudah bernubuat itu pergilah Saul ke bukit pemujaan. 14Lalu bapa saudaranya bertanya kepada Saul dan pembantunya, "Ke manakah kamu pergi?" Jawabnya, "Mencari keldai-keldai itu. Kerana kami tidak juga menemuinya maka kami pun pergi kepada Samuel." 15Kata bapa saudara Saul, "Ceritakanlah kepadaku, apa yang dikatakan Samuel kepada kamu." 16Kata Saul kepada bapa saudaranya, "Dia memberitahukan dengan jelas kepada kami bahawa keldai-keldai itu telah ditemukan." Akan tetapi, soal kerajaan yang disampaikan oleh Samuel kepadanya itu tidak diberitahunya kepada bapa saudaranya. 17Samuel memanggil bangsa itu berkumpul menghadap Tuhan di Mizpa. 18Katanya kepada orang Israel, "Beginilah firman Tuhan, Allah Israel, 'Aku telah memimpin orang Israel keluar dari Mesir. Aku telah melepaskan kamu daripada penindasan orang Mesir dan daripada tangan semua kerajaan yang menindas kamu.' 19Akan tetapi, pada hari ini kamu menolak Allahmu yang menyelamatkan kamu daripada segala kemalangan dan kesesakanmu. Kamu berkata kepada-Nya, "Tidak, angkatlah seorang raja atas kami." Maka sekarang, berdirilah di hadapan Tuhan menurut para sukumu dan menurut kaum-kaummu." 20Samuel menyuruh semua suku Israel menghadap, lalu terpilihlah suku Benyamin. 21Kemudian dia menyuruh suku Benyamin menghadap menurut kaum-kaumnya, lalu terpilihlah kaum Matri dan akhirnya terpilihlah Saul anak Kish. Tetapi ketika mereka mencarinya, Saul tidak ditemui. 22Maka mereka pun meminta petunjuk Tuhan lagi, "Adakah orang itu sudah datang ke mari?" Jawab Tuhan, "Lihat, dia menyembunyikan diri di antara barang itu." 23Maka berlarilah mereka menjemput dia dari sana. Ketika dia berdiri antara umat itu, dia lebih tinggi daripada semua orang antara umat itu dari bahu ke atas. 24Kata Samuel kepada seluruh bangsa itu, "Lihatlah orang yang dipilih Tuhan! Tidak ada yang sepertinya antara seluruh bangsa ini." Lalu bersoraklah seluruh bangsa itu, kata mereka, "Hidup sang raja!" 25Kemudian Samuel menyampaikan peraturan-peraturan perihal kerajaan kepada umat itu. Dia menulisnya pada sebuah kitab dan meletakkannya di hadapan Tuhan. Setelah itu, Samuel melepaskan seluruh umat itu pulang ke rumah masing-masing. 26Saul juga pulang ke rumahnya di Gibea disertai para warga yang gagah perkasa dan mempunyai hati yang telah digerakkan Allah. 27Tetapi beberapa orang yang jahat berkata, "Mana mungkin orang ini mampu menyelamatkan kita?" Mereka meremehkan Saul dan tidak mahu membawa persembahan kepadanya. Namun begitu, Saul berdiam diri sahaja.