Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

1 Petrus 5

A A A
Alkitab Versi Borneo

Jemaah umat Allah

1Kepada tua-tua jemaah dalam kalanganmu, kutujukan pesanan ini. Aku, sebagai seorang tua-tua juga yang telah menyaksikan penderitaan Kristus dan yang akan turut dimuliakan apabila kemuliaan-Nya ternyata, menyerumu: 2AJagalah jemaah Allah sekitarmu seperti gembala menjaga kawanan domba. Awasi mereka – bukan secara terpaksa tetapi dengan rela; bukan untuk mendapat keuntungan yang tidak wajar, tetapi dengan sepenuh hati; 3bukan sebagai tuan bagi mereka yang diamanahkan kepadamu, tetapi sebagai teladan untuk mereka. 4Apabila Gembala Agung datang kelak, kamu akan menerima mahkota kemuliaan yang kekal.

5BDemikian juga kamu, orang muda, tunduklah kepada orang tua yang memimpinmu. Ya, kamu semua hendaklah saling menghormati dan merendah diri, kerana, "Allah menentang orang yang angkuh

tetapi memberikan anugerah kepada orang yang rendah hati."

6COleh itu, rendahkan dirimu di bawah kuasa Allah, supaya kamu ditinggikan-Nya pada waktu yang telah ditetapkan. 7Serahkan segala kerunsinganmu kepada Allah, kerana Dia mengambil berat tentangmu.

8Kawallah dirimu dan berwaspadalah, kerana musuhmu Iblis merayau seperti singa yang mengaum mencari mangsa. 9Lawanlah Iblis dengan iman yang teguh. Kamu tahu bahawa penderitaan yang sama sedang ditanggung oleh saudara-saudara seimanmu serata dunia. 10Tetapi setelah kamu menderita beberapa waktu, Allah, sumber segala kasih kurnia, yang telah memanggil kamu dalam Kristus untuk turut menikmati kemuliaan-Nya yang kekal, akan menyempurnakan, menegakkan, mengukuhkan dan menenteramkan kamu. 11Bagi Allah segala kemuliaan dan kekuasaan selama-lamanya. Amin.

Salam akhir

12DAku menulis surat ringkas ini kepadamu dengan pertolongan Silwanus, yang kuanggap saudara kita yang setia. Tujuanku ialah menasihatimu dan memberi ringkasan kesaksianku bahawa inilah kasih kurnia sejati daripada Allah untukmu. Berdiri teguhlah di dalamnya.

13EJemaah di Babel, yang sepertimu juga dipilih Allah, berkirim salam kepadamu, begitu juga anakku Markus. 14Bersalamanlah dengan ciuman kasih sayang.

Selamat sejahtera kepada kamu semua yang ada dalam Kristus.