Alkitab Versi Borneo |
Tabut perjanjian dipindahkan ke dalam Bait Suci
1ALalu Raja Salomo mengumpulkan tua-tua Israel dan semua ketua suku, pemimpin kaum keluarga bani Israel untuk menghadapnya di Yerusalem supaya mereka mengangkut tabut perjanjian Tuhan dari Kota Daud, iaitu Sion. 2BMaka berkumpullah semua orang Israel menghadap Raja Salomo pada hari perayaan pada bulan Etanim, iaitu bulan ketujuh. 3Setelah semua tua-tua Israel datang, para imam pun mengusung tabut itu. 4Mereka mengangkut tabut Tuhan, Khemah Pertemuan, dan segala kelengkapan suci yang ada di dalam khemah itu. Semua itu diangkut oleh imam dan bani Lewi. 5Lalu Raja Salomo dan seluruh umat Israel yang telah berkumpul di hadapannya berdiri di depan tabut itu, dan mengorbankan domba serta lembu yang tidak terhitung dan tidak terbilang banyaknya. 6Kemudian para imam membawa tabut perjanjian Tuhan masuk ke tempatnya, di ruang dalaman bait itu, iaitu Tempat Yang Maha Suci, dan tabut itu diletakkan di bawah sayap kerubin. 7Jadi kerubin-kerubin itu mengembang sayap di atas tempat tabut itu dan membayangi tabut dan kayu-kayu pengusungnya dari atas. 8Kayu-kayu pengusung itu sedemikian panjang sehingga hujung-hujungnya terlihat dari Tempat Suci di hadapan ruang dalaman, tetapi tidak terlihat dari luar. Di situlah tempatnya sampai hari ini. 9CTidak ada yang lain di dalam tabut itu kecuali dua loh batu yang diletakkan Musa di dalamnya di Horeb, ketika Tuhan mengikat perjanjian dengan orang Israel, setelah mereka keluar dari Tanah Mesir. 10DPada waktu para imam keluar dari Tempat Suci, tiba-tiba awan memenuhi Bait Tuhan 11lantas para imam tidak dapat berdiri untuk menyelenggarakan ibadat kerana awan itu berkilau-kilauan oleh kemuliaan Tuhan yang memenuhi Bait Tuhan. 12EKemudian berkatalah Salomo,
"Tuhan telah berfirman
bahawa Dia bersemayam dalam kelam pekat. 13Sesungguhnya, aku telah membina bait agung bagi hadirat-Mu, tempat Engkau hadir selama-lamanya." Pidato Raja Salomo di hadapan orang Israel 14Kemudian raja berpaling dan memohonkan berkat untuk seluruh jemaah Israel, ketika seluruh jemaah Israel berdiri. 15Dia berkata, "Segala puji bagi Tuhan, Allah Israel! Dia sendiri telah berfirman kepada Daud, ayahku, dan telah menggenapinya dengan kuasa-Nya. Firman-Nya, 16F'Sejak Aku membawa umat-Ku Israel keluar dari Mesir, tidak ada kota yang Kupilih antara semua suku Israel untuk membina sebuah bait supaya nama-Ku akan tetap di sana. Tetapi Aku memilih Daud untuk mengetuai umat-Ku Israel.' 17GLalu Daud, ayahku, berniat membina sebuah bait bagi nama Tuhan, Allah Israel. 18Tetapi Tuhan berfirman kepada Daud, ayahku, 'Niatmu untuk membina bait bagi nama-Ku itu memang baik. 19HHanya, bukan engkau yang akan membina bait itu, melainkan anak kandungmu yang akan lahir kelak. Dialah yang akan membina sebuah bait bagi nama-Ku.' 20Sekarang Tuhan telah menepati firman yang disampaikan-Nya, kerana aku telah bangkit untuk menggantikan Daud, ayahku. Aku telah duduk di atas takhta kerajaan Israel, seperti yang difirmankan Tuhan, dan telah membina bait bagi nama Tuhan, Allah Israel. 21Di sana telah kusediakan tempat untuk tabut berisi perjanjian Tuhan, yang diikat-Nya dengan nenek moyang kita ketika Dia membawa mereka keluar dari Tanah Mesir." Doa Raja Salomo 22Setelah itu, Salomo berdiri menghadap mazbah Tuhan, di hadapan seluruh jemaah Israel, lalu menadahkan tangannya ke langit. 23Katanya, "Ya Tuhan, Allah Israel, tidak ada Allah yang seperti Engkau, baik di langit di atas mahupun di bumi di bawah. Engkau berpegang teguh pada perjanjian dan kasih abadi bagi hamba-hamba-Mu yang hidup di hadapan-Mu dengan segenap hati mereka. 24Engkau yang berpegang teguh pada apa yang Kaujanjikan kepada hamba-Mu Daud, ayahku. Engkau sendiri telah berfirman lalu mengotakannya dengan kuasa-Mu, seperti yang terjadi pada hari ini. 25ISekarang, ya Tuhan, Allah Israel, peganglah apa yang telah Kaujanjikan kepada hamba-Mu Daud, ayahku, dengan berfirman, 'Di hadapan-Ku, tidak akan terputus keturunanmu yang akan duduk di atas takhta kerajaan Israel, asalkan anak-anakmu tetap hidup di hadapan-Ku sebagaimana engkau telah hidup di hadapan-Ku.' 26Sekarang, ya Allah Israel, biarlah terbukti firman yang Kausampaikan kepada hamba-Mu Daud, ayahku. 27JAkan tetapi, sungguhkah Allah mahu tinggal di atas bumi? Sesungguhnya, langit bahkan langit di atas segala langit pun tidak dapat memuat Engkau, apa lagi bait yang kubangunkan ini! 28Tiliklah doa dan permohonan hamba-Mu ini, ya Tuhan, Allahku. Dengarlah seruan dan doa yang hamba-Mu panjatkan di hadirat-Mu pada hari ini. 29KBiarlah mata-Mu terbuka terhadap bait ini, baik siang mahupun malam, terhadap tempat yang Kaufirmankan, 'Nama-Ku akan tinggal di situ.' Semoga Engkau dengarlah doa yang hamba-Mu panjatkan dengan menghadap ke tempat ini. 30Dengarlah permohonan hamba-Mu dan umat-Mu Israel ketika mereka berdoa dengan menghadap ke tempat ini. Dengarlah dari tempat tinggal-Mu di syurga, dan ampunilah kami ketika Engkau mendengarkannya. 31Jika seseorang berdosa terhadap sesamanya, dia harus mengangkat sumpah, dan datang bersumpah di depan mazbah-Mu di bait ini, 32maka dengarlah kiranya di syurga dan bertindaklah. Adililah hamba-hamba-Mu; hukumlah orang yang bersalah, dan timpakanlah perbuatannya pada dirinya sendiri. Pertahankanlah orang benar, dan ganjarlah dia selaras dengan perbenarannya.i 33Jika umat-Mu Israel dikalahkan oleh musuh kerana mereka berdosa terhadap Engkau, kemudian mereka berbalik kepada-Mu, mengakui keagungan nama-Mu, berdoa, dan memohon belas kasihan di hadapan-Mu di bait ini, 34maka dengarlah kiranya di syurga. Ampunkanlah dosa umat-Mu Israel dan bawalah mereka kembali ke tanah yang telah Kaukurniakan kepada nenek moyang mereka. 35Apabila langit tertutup dan hujan tidak kunjung turun kerana mereka telah berdosa terhadap Engkau, lalu mereka berdoa dengan menghadap ke tempat ini, mengakui keagungan nama-Mu, dan berbalik daripada dosa mereka kerana Engkau telah menindas mereka, 36maka dengarlah kiranya di syurga. Ampunkanlah dosa hamba-hamba-Mu dan umat-Mu Israel – kerana Engkaulah yang mengajar mereka jalan baik yang patut ditempuh mereka – dan turunkanlah hujan ke tanah-Mu, yang telah Kaukurniakan sebagai harta pusaka kepada umat-Mu. 37Jika ada bencana kebuluran di negeri, penyakit sampar, kelayuan tanaman, penyakit bijirin, belalang besar, dan belalang pemusnah; jika musuh mengepung salah sebuah kota di negeri mereka; jika ada wabak atau penyakit apa-apa pun, 38lalu seseorang atau seluruh umat-Mu Israel memanjatkan suatu doa atau permohonan sambil menadahkan tangan dengan menghadap ke bait ini, kerana masing-masing mengetahui kesusahan hati diri sendiri, 39maka dengarlah kiranya di syurga, tempat tinggal-Mu. Ampunilah, bertindaklah, dan balaslah setiap orang selaras dengan jalan hidupnya kerana Engkau mengetahui isi hatinya – hanya Engkaulah yang mengetahui isi hati semua anak manusia. 40Dengan demikian mereka akan takut kepada-Mu selama mereka hidup di tanah yang telah Kaukurniakan kepada nenek moyang kami. 41Juga bagi orang asing yang tidak termasuk umat-Mu Israel, yang datang dari negeri jauh kerana nama-Mu – 42kerana mereka akan mendengar tentang nama-Mu yang besar, tangan-Mu yang perkasa, dan lengan-Mu yang terhulur – apabila dia datang serta berdoa dengan menghadap ke bait ini, 43maka dengarlah kiranya dari syurga, tempat tinggal-Mu. Bertindaklah selaras dengan semua yang diserukan kepada-Mu oleh orang asing itu. Dengan demikian, segala bangsa di bumi dapat mengenal nama-Mu serta takut kepada-Mu seperti umat-Mu Israel dan mereka tahu bahawa nama-Mu diserukan atas bait yang kubangunkan ini. 44Jika umat-Mu maju berperang melawan musuh mereka, ke mana-mana pun Kausuruh mereka, dan jika mereka berdoa kepada Tuhan dengan berkiblat ke kota yang Kaupilih serta ke bait yang kubangunkan bagi nama-Mu, 45maka dengarlah kiranya di syurga doa dan permohonan mereka. Belalah perkara mereka. 46Jika mereka berdosa terhadap Engkau – kerana tidak ada manusia yang tidak berdosa – dan Engkau murka terhadap mereka serta menyerahkan mereka kepada musuh sehingga mereka dibuang sebagai tawanan ke negeri musuh yang jauh atau yang dekat, 47dan jika mereka sedar akan diri di negeri tempat mereka tertawan, lalu berbalik serta memohon belas kasihan kepada-Mu di negeri tempat mereka tertawan itu dengan berkata, 'Kami telah berdosa, bersalah, dan berbuat fasiq;' 48jika mereka berbalik kepada-Mu dengan segenap hati serta dengan segenap jiwa di negeri musuh yang menawan mereka, dan jika mereka berdoa kepada-Mu dengan berkiblat ke negeri yang telah Kaukurniakan kepada nenek moyang mereka, ke kota yang telah Kaupilih, dan ke bait yang telah kubina bagi nama-Mu, 49maka dengarlah kiranya di syurga, tempat tinggal-Mu, doa dan permohonan mereka serta belalah perkara mereka. 50Ampunilah umat-Mu, yang telah berdosa terhadap Engkau, dan segala pelanggaran yang dilakukan mereka terhadap Engkau. Biarlah sesiapa yang menawan mereka berbelas kasihan terhadap mereka, 51kerana mereka umat-Mu dan harta pusaka-Mu yang telah Kaubawa keluar dari Mesir, daripada tengah-tengah relau peleburan besi. 52Biarlah mata-Mu terbuka terhadap permohonan hamba-Mu ini dan terhadap permohonan umat-Mu Israel, sehingga Engkau mendengar mereka bila-bila masa pun mereka berseru kepada-Mu. 53Kerana Engkaulah yang mengasingkan mereka daripada kalangan segala bangsa di bumi sebagai harta pusaka-Mu, seperti yang telah Kaufirmankan dengan perantaraan Musa, hamba-Mu, ketika Engkau membawa nenek moyang kami keluar dari Mesir, ya Tuhan Allah." Ucapan dan pujian 54Setelah Salomo selesai memanjatkan doa dan permohonan itu kepada Tuhan, bangkitlah dia dari hadapan mazbah Tuhan itu, dari tempat dia bertelut sambil menadahkan kedua-dua belah tangannya ke langit. 55Dia berdiri dan memohon berkat bagi seluruh jemaah Israel dengan suara nyaring, katanya, 56L"Segala puji bagi Tuhan yang telah mengurniakan ketenteraman kepada umat-Nya Israel selaras dengan semua janji-Nya. Tidak ada satu hal pun yang gagal daripada semua janji-Nya yang baik, yang disampaikan-Nya dengan perantaraan Musa, hamba-Nya. 57Semoga Tuhan, Allah kita, menyertai kita, sebagaimana Dia menyertai nenek moyang kita. Semoga Dia tidak meninggalkan kita dan tidak menterlantarkan kita. 58Kiranya Dia mencondongkan hati kita kepada-Nya, sehingga kita mengikuti segala jalan-Nya dan berpegang teguh pada segala perintah-Nya, ketetapan-Nya serta peraturan-Nya yang telah diperintahkan-Nya kepada nenek moyang kita. 59Biarlah kata-kataku ini, yang telah kumohon di hadapan Tuhan, tetap dekat kepada Tuhan, Allah kita, siang dan malam, supaya Dia membela perkara hamba-Nya serta perkara umat-Nya Israel, sebagaimana diperlukan hari demi hari. 60Dengan demikian, segala suku bangsa di bumi ini dapat mengetahui bahawa Tuhan ialah Allah, dan tidak ada yang lain. 61Biarlah hatimu tulus kepada Tuhan, Allah kita, sehingga kamu hidup menurut segala ketetapan-Nya dan berpegang teguh pada segala perintah-Nya, seperti pada hari ini." Salomo mentahbiskan Bait Suci 62Kemudian raja berserta dengan semua orang Israel mempersembahkan korban sembelihan di hadapan Tuhan. 63Salomo mempersembahkan 22,000 ekor lembu dan 120,000 ekor domba sebagai korban kedamaian kepada Tuhan. Demikianlah raja dan seluruh orang Israel merasmikan Bait Tuhan. 64Pada hari itu juga raja menyucikan bahagian tengah laman dalam yang terletak di hadapan Bait Tuhan, kerana di situ dia mempersembahkan korban bakaran, persembahan bahan makanan, dan lemak korban kedamaian, kerana mazbah gangsa yang ada di hadapan Tuhan itu terlalu kecil untuk memuat korban bakaran, persembahan bahan makanan, dan lemak korban kedamaian itu. 65Pada waktu itu juga di hadapan Tuhan, Allah kita, Salomo mengadakan perayaan bersama-sama semua orang Israel – suatu jemaah yang besar, dari jalan masuk Hamat sampai ke Wadi Mesir. Perayaan itu berlangsung selama tujuh hari, lalu ditambah tujuh hari lagi, sehingga menjadi empat belas hari. 66Pada hari kelapan dia melepaskan bangsa itu pulang. Mereka memohon berkat bagi raja, lalu pulang ke khemah mereka dengan gembira dan riang hati kerana semua kebaikan yang telah ditunjukkan Tuhan kepada Daud, hamba-Nya serta kepada Israel, umat-Nya.