Alkitab Versi Borneo |
Adonia cuba merampas takhta 1Raja Daud sudah tua dan lanjut umurnya. Sekalipun orang menyelimutinya dengan beberapa helai kain, dia masih tidak berasa hangat. 2Lalu para pegawainya berkata kepadanya, "Akan kami cari bagi Tuanku Raja seorang perawan yang muda untuk melayani dan merawat Raja. Biarlah dia berbaring di pangkuan tuanku, supaya Tuanku Raja menjadi hangat." 3Maka mereka mencari seorang perawan muda yang cantik di seluruh wilayah Israel, dan mendapatkan Abisag, seorang gadis Sunem. Lalu dia dibawa menghadap raja. 4Perawan itu sangat cantik dan dia menjadi perawat raja dan melayaninya. Namun demikian, raja tidak bersentuh dengannya. 5ASuatu ketika, Adonia anak Hagit meninggikan diri dengan berkata, "Aku akan menjadi raja." Lalu dia pun memperlengkapkan diri dengan banyak rata, pasukan berkuda, dan lima puluh orang yang berlari di hadapannya. 6Seumur hidupnya, Adonia belum pernah ditegur oleh ayahnya dengan berkata, "Mengapakah engkau berbuat begitu?" Parasnya sangat tampan. Dia lahir setelah Absalom. 7Maka bermuafakatlah dia dengan Yoab, anak Zeruya, dan dengan Imam Abyatar. Mereka mengikuti Adonia dan membantunya. 8Tetapi Imam Zadok, Benaya anak Yoyada, nabi Natan, Simei, Rei, dan para kesateria Daud tidak berpihak kepada Adonia. 9Adonia mengorbankan domba, lembu, dan ternakan yang tambun dekat Batu Zohelet, di sisi En-Rogel. Dia mengundang semua saudaranya, iaitu para anak raja, dan semua orang Yehuda yang menjadi pegawai raja. 10Tetapi dia tidak mengundang nabi Natan, Benaya, para kesateria, dan adiknya, Salomo. 11BKemudian Natan berkata demikian kepada Batsyeba, bonda Salomo, "Tidakkah Permaisuri mendengar bahawa Adonia anak Hagit telah menjadi raja tanpa diketahui oleh tuan kita Daud? 12Sekarang, izinkanlah hamba memberikan nasihat kepada Permaisuri, supaya Permaisuri dapat menyelamatkan nyawa Permaisuri dan nyawa Salomo, anak Permaisuri. 13Masuklah Permaisuri menghadap Raja Daud dan katakan kepadanya, 'Bukankah Tuanku Raja telah bersumpah kepada hambamu ini demikian, "Anakmu Salomo akan menjadi raja sesudah aku, dan dia akan duduk di atas takhtaku"? Mengapakah sekarang Adonia yang menjadi raja?' 14Sementara Permaisuri berbicara di sana dengan raja, hamba akan masuk menyusul Permaisuri dan menguatkan kata-kata Permaisuri." 15Maka masuklah Batsyeba ke dalam bilik untuk menghadap raja. Pada waktu itu raja sudah sangat tua dan Abisag, gadis Sunem itu, melayani raja. 16Batsyeba membongkok lalu sujud memberi hormat kepada raja. Raja bertanya, "Apakah yang kauinginkan?" 17Jawabnya, "Tuanku telah bersumpah kepada hambamu ini demi Tuhan, Allahmu, dengan berkata, 'Anakmu Salomo akan menjadi raja sesudah aku, dan ia akan duduk di atas takhtaku.' 18Tetapi sekarang, Adonia sudah menjadi raja tanpa pengetahuan Tuanku Raja. 19Dia telah mengorbankan lembu, ternakan yang tambun, dan domba dalam jumlah besar. Dia mengundang semua anak raja dan Imam Abyatar serta Yoab, panglima tentera. Tetapi Salomo, hambamu, tidak diundangkannya. 20Sekarang, ya Tuanku Raja, mata semua orang Israel tertuju kepada tuanku. Maka tuanku harus memberitahu mereka siapa yang sepatutnya duduk di atas takhta Tuanku Raja sesudah tuanku. 21Jika tidak, apabila Tuanku Raja dibaringkan bersama nenek moyangnya, maka hamba dan anak hamba Salomo akan dianggap sebagai orang yang bersalah." 22Sementara Batsyeba masih berbicara dengan raja, datanglah nabi Natan. 23Kepada raja diberitahukan, "Nabi Natan menghadap tuanku." Dia masuk menghadap raja dan sujud memberi hormat di hadapan raja. 24Kata Natan, "Ya Tuanku Raja, sungguhkah tuanku telah bertitah, 'Adonia akan menjadi raja sesudah aku, dan ia akan duduk di atas takhtaku'? 25Pada hari ini dia pergi mengorbankan sejumlah besar lembu, anak lembu yang tambun, dan domba. Dia mengundang semua anak raja, para panglima tentera, dan Imam Abyatar. Sekarang ini mereka sedang makan dan minum di hadapannya sambil berseru, 'Hidup Raja Adonia!' 26Tetapi dia tidak mengundang hambamu ini dan Imam Zadok, Benaya anak Yoyada serta Salomo. 27Sungguhkah perkara ini diperkenan Tuanku Raja tanpa memberitahu hamba-hambamu ini tentang siapa yang akan duduk di atas takhta Tuanku Raja sesudah tuanku?" Salomo dilantik untuk menjadi raja 28Jawab Raja Daud, "Panggillah Batsyeba untuk menghadap aku." Batsyeba pun datang menghadap raja dan berdiri di hadapannya. 29Lalu Raja bersumpah demikian, "Demi Tuhan yang hidup, yang telah menebus nyawaku daripada segala kesesakan, 30sebagaimana aku telah bersumpah kepadamu demi Tuhan, Allah Israel, dengan berkata, 'Anakmu Salomo akan menjadi raja sesudah aku, dan dia akan duduk di atas takhtaku sesudah aku,' demikianlah akan kulaksanakan pada hari ini." 31Maka Batsyeba pun membongkok dan sujud memberi hormat kepada raja. Katanya, "Hidup Tuanku Raja Daud untuk selama-lamanya!" 32Kemudian Raja Daud berkata, "Panggillah Imam Zadok, nabi Natan, dan Benaya anak Yoyada untuk menghadap aku." Maka datanglah mereka menghadap raja. 33Kata raja kepada mereka, "Bawalah pegawai aku dan naikkanlah Salomo, anakku, ke atas baghal kenderaanku sendiri, lalu hantarlah dia ke Gihon. 34Di sana Imam Zadok dan nabi Natan harus melantik dia untuk menjadi Raja Israel. Kemudian tiuplah sangkakala sambil berseru, 'Hidup Raja Salomo!' 35Setelah itu, kamu harus mengiringi dia pulang ke mari. Dia akan masuk dan duduk di atas takhtaku, kerana dia harus menaiki takhta untuk menggantikan aku. Aku telah menetapkan dia untuk menjadi pemimpin atas Israel dan atas Yehuda." 36Jawab Benaya anak Yoyada kepada raja, "Amin! Demikianlah kiranya firman Tuhan, Allah Tuanku Raja. 37Seperti Tuhan telah menyertai Tuanku Raja, semoga demikianlah jua Dia menyertai Salomo dan menjadikan takhtanya lebih agung daripada takhta Tuanku Raja Daud." 38Maka pergilah imam Zadok, nabi Natan, dan Benaya anak Yoyada, dengan orang Kreti serta orang Pleti. Mereka menaikkan Salomo ke atas baghal Raja Daud dan menghantar dia ke Gihon. 39Imam Zadok mengambil tabung tanduk berisi minyak dari dalam Khemah Suci, lalu melantik Salomo. Kemudian sangkakala ditiup dan seluruh rakyat berseru, "Hidup Raja Salomo!" 40Sesudah itu seluruh rakyat pergi mengiringi dia. Orang ramai itu bermain seruling dan bersukacita sambil bersorak-sorai gembira, sampai bumi seakan-akan terbelah oleh suara mereka. 41Hal itu terdengar oleh Adonia dan semua undangan yang menyertainya ketika mereka baru selesai makan. Ketika Yoab mendengar bunyi sangkakala itu, dia bertanya, "Mengapakah ada bunyi keramaian di dalam kota?" 42Sementara dia berbicara, tiba-tiba datanglah Yonatan, anak Imam Abyatar. Kata Adonia, "Masuklah! Engkau orang baik, tentu engkau membawa khabar baik juga." 43Tetapi jawab Yonatan kepada Adonia, "Tidak! Tuan kita Raja Daud telah mengangkat Salomo untuk menjadi raja. 44Raja telah menyuruh dia pergi bersama-sama imam Zadok, nabi Natan, dan Benaya anak Yoyada, juga orang Kreti serta orang Pleti. Mereka menaikkan dia ke atas baghal raja. 45Kemudian imam Zadok dan nabi Natan melantik dia di Gihon untuk menjadi raja. Mereka pergi dari sana dengan penuh sukacita, sehingga suasana kota pun menjadi riuh rendah. Itulah bunyi yang tuan-tuan dengar tadi. 46Sekarang Salomo telah duduk di atas takhta kerajaan. 47Para pegawai raja pun telah datang mengucapkan selamat kepada tuan kita Raja Daud, demikian, 'Semoga Allahmu membuat nama Salomo lebih masyhur daripada nama tuanku, dan takhtanya lebih agung daripada takhta tuanku.' Lalu raja sujud menyembah di peraduannya. 48Raja pun berkata begini, 'Segala puji bagi Tuhan, Allah Israel. Pada hari ini Dia telah mengurniakan seorang untuk duduk di atas takhtaku. Mataku sendiri melihatnya.' " 49Maka gementarlah semua undangan Adonia itu. Mereka segera pergi mengambil jalan masing-masing. 50Adonia menjadi takut kepada Salomo. Dia segera pergi memegang tanduk-tanduk mazbah. 51Lalu kepada Salomo diberitahukan demikian, "Ternyata Adonia takut kepada Raja Salomo dan memegang tanduk-tanduk mazbah sambil berkata, 'Biarlah Raja Salomo bersumpah pada hari ini kepada hamba bahawa dia tidak akan membunuh hambanya ini dengan pedang.' " 52Kata Salomo, "Jika dia memang beriktikad baik, maka tidak sehelai pun daripada rambutnya akan jatuh ke bumi. Tetapi jika niat jahat didapati padanya, maka dia harus mati." 53Raja Salomo menyuruh orang untuk membawa Adonia dari mazbah. Adonia pun datang dan sujud memberi hormat kepada Raja Salomo. Kata Salomo kepadanya, "Pulanglah ke rumahmu."