Alkitab Versi Borneo |
1Anak-anakku, aku menuliskan hal-hal ini kepadamu supaya kamu tidak berbuat dosa. Akan tetapi, jika sesiapa berbuat dosa, kita mempunyai seorang Pembela ke hadirat Bapa, iaitu Yesus Kristus Yang Benar itu. 2Dialah korban pendamaian bagi dosa kita, malah bukan dosa kita sahaja tetapi dosa seluruh umat manusia. 3Jika kita taat akan perintah Allah, benarlah kita mengenal-Nya. 4Sekiranya seseorang berkata, "Aku mengenal Allah," tetapi tidak taat akan perintah-Nya, maka dia seorang pendusta dan kebenaran tidak ada dalam dirinya. 5Tetapi jika sesiapa taat akan firman Allah, maka sempurnalah kasih Allah di dalam orang itu. Dengan demikian kita ketahui kita ada di dalam Dia: 6Sesiapa berkata bahawa dia tetap di dalam Allah, hendaklah dia menurut jejak langkah Kristus. 7ASahabat-sahabat yang kukasihi, perintah yang kutulis ini bukanlah perintah baru. Perintah ini perintah lama, yang telah kamu terima dari mulanya. Perintah lama ini firman Allah yang telah kamu dengar. 8Namun demikian, perintah yang kutulis ini tetap baru: Kebenarannya ternyata pada diri Kristus dan dirimu. Ini disebabkan kegelapan hampir berlalu dan cahaya yang benar telah pun bersinar. 9Sesiapa yang berkata bahawa dia hidup dalam cahaya tetapi dia benci akan saudaranya, maka dia tetap berada dalam kegelapan hingga sekarang. 10Sesiapa yang kasih akan saudaranya hidup dalam cahaya dan dalam dirinya tidak ada sesuatu pun yang dapat membuatnya kecundang. 11Tetapi sesiapa yang benci akan saudaranya hidup dalam kegelapan. Dia melangkah dalam kegelapan dan tidak tahu ke mana hala tujunya, kerana kegelapan telah membutakannya. 12Anak-anakku, aku menulis kepadamu, kerana dosamu telah diampunkan atas nama Kristus. 13Bapa-bapa, aku menulis kepadamu, kerana kamu mengenal Dia yang telah wujud dari mulanya. Orang muda, aku menulis kepadamu, kerana kamu telah menewaskan si durjana. Anak-anakku, aku menulis kepadamu, kerana kamu mengenal Bapa. 14Aku menulis kepadamu, bapa-bapa, kerana kamu mengenal Dia yang telah wujud dari mulanya. Aku menulis kepadamu, orang muda, kerana imanmu kukuh, kamu menaruh firman Allah dalam dirimu, dan kamu telah menewaskan si durjana. Jangan kasihi dunia 15Jangan kasihi dunia ini atau sesuatu di dalamnya. Jika seseorang mengasihi dunia ini, maka kasih terhadap Bapa tidak ada dalam dirinya. 16Segala yang ada di dunia ini – keinginan nafsu dan mata, serta segala keangkuhan hidup – bukanlah daripada Bapa tetapi daripada dunia. 17Dunia dan segala hawa nafsu yang ada di dalamnya sedang lenyap, tetapi orang yang melakukan kehendak Allah akan kekal selama-lamanya. Penentang Kristus 18Anak-anakku, akhir zaman sudah hampir menjelang. Kamu telah diberitahu bahawa dajal, penentang Kristus itu, akan muncul. Sekarang pun telah muncul ramai orang yang menentang Kristus. Dengan demikian kita tahu bahawa akhir zaman sudah hampir menjelang. 19Mereka telah memisahkan diri daripada kita. Tetapi mereka sebenarnya bukanlah sebahagian daripada kita. Jika mereka benar-benar sebahagian daripada kita, tentulah mereka tetap bersama kita. Oleh itu, tindakan mereka memisahkan diri daripada kita menunjukkan kesemua mereka itu bukanlah benar-benar sebahagian daripada kita. 20Kamu telah menerima pengurapan daripada Yang Kudus,i maka kamu mengenal kebenaran. 21Aku menulis kepadamu bukan kerana kamu tidak mengenal kebenaran tetapi kerana kamu mengenalnya. Kamu juga tahu bahawa yang dusta tidak berasal daripada yang benar. 22Sesiapa yang mengatakan bahawa Yesus bukan Kristus, dialah pendusta. Orang itu tidak mengakui Bapa dan Anak-Nya, dan dialah dajal, penentang Kristus. 23Sesiapa yang tidak mengakui Anak, maka dia juga tidak mengakui Bapa. Sesiapa yang menerima Anak, maka dia juga menerima Bapa. 24Oleh yang demikian, pastikan perkhabaran yang kamu dengar dari mulanya tetap ada di dalam dirimu. Jika perkhabaran itu tetap ada di dalam dirimu, kamu akan sentiasa tetap di dalam Anak dan juga di dalam Bapa. 25Inilah yang dijanjikan kepada kita, iaitu hidup yang kekal. 26Aku menulis kepadamu tentang mereka yang hendak menyesatkanmu. 27Tetapi bagi kamu, pengurapanii yang kamu terima daripada-Nya itu tetap ada dalam dirimu. Kamu tidak memerlukan ajaran daripada sesiapa pun, kerana Roh-Nya telah mengajar segalanya kepadamu, dan segalanya benar, tidak ada yang dusta. Oleh itu, tetaplah kamu di dalam Dia. Anak-anak Allah 28Sekarang pun, hai anak-anakku, kamu harus tetap di dalam-Nya, supaya apabila Dia datang kelak, kita dapat menghadap-Nya dengan berani, tanpa rasa malu. 29Jika kamu tahu bahawa Dia itu benar, maka kamu harus tahu bahawa orang yang melakukan apa yang benar, lahiriii daripada Allah.