Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

1 Korintus 1

A A A
Alkitab Versi Borneo

Salam

1Daripada Paulus yang dengan kehendak Allah telah dilantik sebagai rasul Kristus Yesus, dan daripada Sostenes, saudara kita,

2AKepada jemaah Allah di Korintus, yang telah disucikan dalam Kristus Yesus, dan yang telah dipanggil untuk menjadi orang salih bersama semua orang di mana jua, yang berseru kepada nama Tuhan kita Yesus Kristus, Tuhan mereka dan Tuhan kita juga.

3Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus menganugerahimu kasih kurnia dan damai sejahtera.

Ucapan syukur

4Aku sentiasa bersyukur kepada Allah kerana kamu, sebab Dia telah menganugerahimu kasih kurnia dalam Kristus Yesus. 5Oleh sebab di dalam Dia, kamu telah diperkaya dalam segala hal: dalam segala perkataan dan dalam segala pengetahuan; 6bahkan kesaksian tentang Kristus telah diperkukuh dalam dirimu, 7sehingga kamu tidak kekurangan satu kurnia pun sementara menunggu Tuhan kita Yesus Kristus dinyatakan. 8Dia akan menguatkanmu hingga akhir supaya kamu tidak bercela pada hari Tuhan kita Yesus Kristus. 9Allah setia, dan Dia telah memanggilmu hidup dalam keakraban dengan Anak-Nya, Yesus Kristus, Tuhan kita.

Perpecahan dalam kalangan jemaah

10Saudara-saudaraku! Demi nama Tuhan kita Yesus Kristus aku berseru kepada kamu semua supaya seia sekata dan tidak wujud perpecahan. Dengan demikian, kamu bersatu hati dan fikiran sepenuhnya. 11Saudara-saudaraku, beberapa orang anggota keluarga Kloe telah menyatakan kepadaku bahawa berlaku sengketa antara kamu. 12BInilah yang kumaksudkan: Ada orang yang berkata, "Aku mengikut Paulus"; ada yang berkata, "Aku mengikut Apolos"; ada yang berkata, "Aku mengikut Kefas"; dan ada pula yang berkata, "Aku mengikut Kristus." 13Adakah Kristus berbelah bahagi? Bukannya Paulus yang mati di kayu salib untukmu! Bukanlah kamu telah dibaptiskan dalam nama Paulus!

14DAku bersyukur kepada Allah kerana aku tidak membaptis kamu, kecuali Krispus dan Gayus. 15Oleh itu, tiada siapa pun dapat mengatakan kamu dibaptiskan dalam namaku. 16E(Sebenarnya, aku juga membaptis Stefanus sekeluarga. Selain itu, aku tidak ingat siapakah lagi yang kubaptis.) 17Kristus mengutusku bukan untuk membaptis orang, tetapi untuk menyampaikan Injil. Aku menyampaikannya bukan dengan kata-kata kebijaksanaan manusia. Dengan demikian salib Kristus tidak menjadi sia-sia.

Kebijaksanaan Allah dan kebijaksanaan manusia

18Bagi mereka yang akan binasa, berita tentang salib dianggap suatu kebodohan. Namun demikian, bagi kita yang diselamatkan Allah, berita itu menunjukkan kekuasaan-Nya. 19FTelah tersurat: "Allah berfirman,

'Aku akan memusnahkan kebijaksanaan orang yang bijak.

Dan kepandaian orang yang pandai Aku akan ketepikan.' "

20HJadi, di manakah orang yang bijak? Di manakah ahli Taurat? Di manakah orang berilmu zaman ini? Bukankah Allah telah menunjukkan bahawa kebijaksanaan dunia sebenarnya kebodohan semata-mata?

21Oleh sebab kebijaksanaan Allah, Dia telah menetapkan bahawa dunia tidak mungkin mengenal-Nya dengan kebijaksanaan sendiri. Allah berkenan menyelamatkan orang yang beriman kepada-Nya melalui berita yang kami khabarkan, yang dianggap sebagai kebodohan. 22Orang Yahudi menuntut tanda berbentuk mukjizat, manakala orang Yunani menuntut kebijaksanaan. 23Sebaliknya kami memberitakan Kristus yang disalib. Hal ini menjadi batu sandungan kepada orang Yahudi dan dipandang bodoh oleh bangsa-bangsa lain. 24Namun demikian, bagi mereka yang dipanggil Allah, baik orang Yahudi mahupun orang Yunani, Kristus kuasa Allah dan kebijaksanaan Allah. 25Kebodohan Allah lebih bijak daripada kebijaksanaan manusia. Kelemahan Allah lebih kuat daripada kekuatan manusia.

26Saudara-saudara! Fikirkan keadaanmu ketika Allah memanggilmu. Di mata manusia, tidak ramai daripadamu yang bijak, atau berkuasa, atau bangsawan. 27Sememangnya Allah memilih yang bodoh di dunia untuk memalukan yang bijak. Allah memilih yang lemah di dunia untuk memalukan yang kuat. 28Allah memilih yang rendah dan dihina di dunia bahkan yang tidak ada untuk meniadakan yang ada. 29Oleh itu, tiada siapa pun dapat bermegah di hadirat Allah. 30Oleh sebab Allah, kamu berada dalam Kristus Yesus. Allah telah membuat Dia menjadi kebijaksanaan bagi kita, dan melalui Dia, Allah memperbenar, menyucikan, serta menebus kita. 31IDengan demikian, sebagaimana telah tersurat, "Jika sesiapa yang bermegah, maka hendaklah dia bermegah dalam Tuhan."