Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

1 Tawarikh 5

A A A
Alkitab Versi Borneo

Suku-suku di seberang Sungai Yordan

Keturunan Ruben

1ABerikut ialah anak-anak Ruben, anak sulung Israel. Ruben memang anak yang sulung, tetapi kerana dia telah mencemari petiduran ayahnya, maka hak kesulungannya diberikan kepada keturunan Yusuf anak Israel, meskipun dalam salasilah dia tidak tercatat sebagai anak sulung. 2BMemang Yehuda yang terkuat antara saudara-saudaranya, bahkan daripada dialah muncul seorang raja, tetapi hak kesulungan tetap pada Yusuf. 3Anak-anak Ruben, anak sulung Israel: Henokh, Palu, Hezron, dan Karmi.

4CKeturunan Yoel: Semaya, anaknya; kemudian turun-temurunnya ialah Gog, Simei, 5Mikha, Reaya, Baal, 6Beera, yang diangkut ke tempat pembuangan oleh Tilgat-Pilneser, raja Asyur. Dialah pemimpin suku Ruben.

7Saudara-saudaranya menurut kaum mereka seperti yang tercatat dalam salasilah mereka: Yeiel, sebagai ketua; diikuti Zakharia, 8dan Bela anak Azas anak Sema anak Yoel yang tinggal di Aroer dan daerah mereka sampai ke Nebo serta Baal-Meon. 9Di sebelah timur, daerah mereka sampai ke jalan masuk gurun, mulai dari Sungai Efrat, kerana ternakan mereka bertambah banyak di Tanah Gilead.

10Pada zaman Saul mereka berperang melawan orang Hagri, yang akhirnya jatuh ke dalam tangan mereka. Kemudian mereka tinggal di perkhemahan kaum itu, di seluruh bahagian timur Gilead.

Keturunan Gad

11Bani Gad tinggal berseberangan dengan bani Ruben, mulai Tanah Basan sampai ke Salkha. 12Yoel ialah ketua mereka, Safam orang keduanya, selanjutnya Yaenai dan Safat yang diam di Basan. 13Saudara-saudara mereka menurut kaum keluarga mereka: Mikhail, Mesulam, Syeba, Yorai, Yakan, Ziya, dan Eber – tujuh orang. 14Itulah anak-anak Abihail anak Huri anak Yaroah anak Gilead anak Mikhail anak Yesisai anak Yahdo anak Bus. 15Ahi anak Abdiel anak Guni ialah ketua kaum keluarga mereka. 16Mereka tinggal di Gilead, di Basan dan kampung-kampungnya, serta di seluruh padang ragut Saron sampai ke hujung-hujungnya. 17Mereka semua tercatat dalam salasilah pada zaman Yotam, raja Yehuda, dan pada zaman Yerobeam, raja Israel.

18Antara bani Ruben, bani Gad, dan separa suku Manasye terdapat empat puluh empat ribu tujuh ratus enam puluh orang yang gagah perkasa dan sanggup berperang. Mereka terampil memakai perisai dan pedang, terampil melenturkan busur, dan terlatih dalam berperang. 19Ketika mereka berperang melawan orang Hagri, Yetur, Nafis, dan Nodab, 20mereka mendapat bantuan untuk melawan orang itu. Maka orang Hagri dan semua yang turut serta diserahkan ke dalam tangan mereka, kerana mereka berseru kepada Allah dalam peperangan itu; Dia mengabulkan doa mereka kerana mereka percaya kepada-Nya. 21Ternakan kaum itu sebanyak lima puluh ribu ekor unta, dua ratus lima puluh ribu ekor kambing domba, serta dua ribu ekor keldai digiring mereka. Mereka juga menggiring hidup-hidup seratus ribu orang. 22Begitu ramai orang yang tewas terbunuh, kerana peperangan itu terjadi atas kehendak Allah. Mereka menduduki tempat orang itu sehingga masa pembuangan.

Separa suku Manasye

23Keturunan separa suku Manasye tinggal di negeri itu mulai Basan sampai ke Baal-Hermon, Senir, dan Gunung Hermon. Jumlah mereka kian bertambah ramai. 24Inilah para ketua kaum keluarga mereka: Efer, Yisei, Eliel, Azriel, Yeremia, Hodawya, dan Yahdiel. Mereka itu kesateria yang gagah perkasa, orang ternama, dan para ketua kaum keluarga mereka.

25Tetapi kemudian mereka berbuat mungkar terhadap Allah nenek moyang mereka dan berbuat kafir dengan mengikuti tuhan-tuhan segala bangsa negeri itu, yang telah dipunahkan Allah dari hadapan mereka. 26FOleh sebab itu Allah Israel menggerakkan hati Pul, iaitu Tilgat-Pilneser, raja Asyur, sehingga dia membuang orang Ruben, orang Gad, dan separa suku Manasye. Dibawanya mereka ke Halah, Habor, Hara, serta ke tepi Sungai Gozan. Demikianlah sampai hari ini.