Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

1 Tawarikh 21

A A A
Alkitab Versi Borneo

Pendaftaran dan hukuman

1Iblis bangkit melawan orang Israel dan menghasut Daud untuk mengadakan bancian jumlah orang Israel. 2Lalu Daud berkata kepada Yoab dan kepada para panglima pasukan, "Pergilah, hitunglah orang Israel dari Bersyeba sampai Dan, lalu bawalah hasilnya kepadaku supaya aku tahu akan jumlah mereka."

3Kata Yoab, "Semoga Tuhan menambah umat-Nya seratus kali lipat ganda daripada yang ada sekarang. Ya Tuanku Raja, bukankah mereka semua hamba tuanku? Mengapakah tuanku menghendaki hal ini? Mengapakah orang Israel harus menanggung kesalahan kerana hal itu?" 4Meskipun begitu, titah raja terpaksa dituruti oleh Yoab. Maka pergilah Yoab menjelajahi seluruh Israel, kemudian kembali ke Yerusalem. 5Hasil bancian rakyat itu pun diserahkan Yoab kepada Daud. Antara seluruh umat Israel ada sejuta seratus ribu orang pemegang pedang manakala antara orang Yehuda ada empat ratus tujuh puluh ribu orang pemegang pedang. 6Bani Lewi dan Benyamin tidak dimasukkannya dalam penghitungan, kerana perintah raja itu dipandang keji oleh Yoab.

7Akan tetapi, hal itu jahat di mata Tuhan sehingga Dia mengazab Israel. 8Kata Daud kepada Allah, "Aku sangat berdosa kerana melakukan hal ini. Sekarang, semoga jauhkanlah kesalahan hamba-Mu ini, kerana tindakan aku ini sangat bodoh."

9Lalu Tuhan berfirman kepada Gad, pelihat Daud, 10"Pergi dan katakanlah kepada Daud, 'Beginilah firman Tuhan: Aku mengajukan kepadamu tiga perkara. Pilihlah salah satu antaranya untuk Kulaksanakan.' "

11Maka Gad datang menghadap Daud dan berkata kepadanya, "Beginilah firman Tuhan: Buatlah pilihan, 12tiga tahun bencana kebuluran, atau tiga bulan dihancurkan di hadapan lawanmu sementara pedang musuh mengejar kamu, atau tiga hari pedang Tuhan, iaitu wabak penyakit, menimpa negeri ini dan malaikat Tuhan mendatangkan kemusnahan terhadap seluruh daerah Israel. Sekarang pertimbangkanlah, jawapan apa yang harus kusampaikan kepada Dia yang mengutus aku?"

13Jawab Daud kepada Gad, "Hal ini sangat menyesakkan bagiku. Biarlah aku jatuh ke dalam tangan Tuhan, kerana rahmat-Nya sangat besar; tetapi janganlah aku jatuh ke dalam tangan manusia."

14Jadi, Tuhan mendatangkan wabak penyakit kepada Israel, lalu matilah tujuh puluh ribu orang Israel. 15Kemudian Allah mengutus malaikat untuk memusnahkan Yerusalem. Akan tetapi, ketika malaikat itu hendak memusnahkan kota itu, Tuhan melihatnya dan berbelas kasihan kerana malapetaka yang hendak didatangkan-Nya. Maka firman-Nya kepada malaikat pemusnah itu, "Cukup! Sekarang turunkanlah tanganmu." Pada waktu itu malaikat Tuhan sedang berdiri berdekatan dengan tempat pembantingan Ornan, orang Yebus.

16Ketika Daud melayangkan pandang, dilihatnya malaikat Tuhan berdiri di antara bumi dengan langit, dengan sebilah pedang yang terarah ke Yerusalem terhunus di tangannya. Daud dan para tua-tua pun sujud dengan mengenakan kain perkabungan. 17Kata Daud kepada Allah, "Bukankah aku yang menyuruh penghitungan rakyat dijalankan? Akulah yang berdosa dan melakukan kejahatan. Tetapi domba-domba ini, apakah yang telah dilakukan oleh mereka? Ya Tuhan, Allahku, biarlah tangan-Mu melawan aku dan kaum keluargaku, tetapi janganlah wabak melanda umat-Mu."

Mazbah didirikan dekat Yerusalem

18Kemudian malaikat Tuhan menyuruh Gad untuk mengatakan kepada Daud bahawa Daud harus pergi mendirikan sebuah mazbah bagi Tuhan di tempat pembantingan Ornan, orang Yebus itu. 19Maka Daud pun pergi, selaras dengan kata-kata Gad yang disampaikannya atas nama Tuhan. 20Pada waktu itu Ornan sedang mengirik gandum. Ketika dia berpaling, dilihatnya malaikat itu, lalu keempat-empat orang anaknya yang ada bersama-samanya pun menyembunyikan diri. 21Datanglah Daud mendekati Ornan. Ketika Ornan memandang dan melihat Daud, keluarlah dia dari tempat pembantingan dan sujud memberi hormat kepada Daud. 22Kata Daud kepada Ornan, "Berilah kepadaku tempat pembantingan ini, supaya aku dapat membangunkan sebuah mazbah bagi Tuhan. Berikanlah kepadaku dengan harga penuh, supaya wabak ini berhenti melanda rakyat."

23Kata Ornan kepada Daud, "Ambillah sahaja, Tuanku Raja, dan lakukanlah apa yang tuanku pandang baik. Lihatlah, hamba juga memberikan lembu ini sebagai korban bakaran, tukul pengirik ini sebagai kayu bakar, dan gandum sebagai persembahan bahan makanan. Semua itu hamba berikan."

24Tetapi Raja Daud berkata kepada Ornan, "Jangan begitu, kerana aku mahu membelinya daripadamu dengan harga penuh. Aku tidak mahu mengambil milikmu untuk dipersembahkan kepada Tuhan atau mempersembahkan korban bakaran yang kudapati secara percuma." 25Lalu Daud memberi Ornan 600 syikal emas yang ditimbangnya sebagai bayaran tempat itu. 26Daud pun membina sebuah mazbah bagi Tuhan di sana, lalu mempersembahkan korban bakaran dan korban kedamaian. Dia berseru kepada Tuhan dan Tuhan menjawabnya dengan menurunkan api dari langit ke atas mazbah korban bakaran itu.

27Tuhan berfirman kepada malaikat itu agar ia memasukkan pedangnya kembali ke dalam sarungnya. 28Pada waktu itu, setelah Daud melihat bahawa Tuhan menjawabnya di tempat pembantingan Ornan, orang Yebus itu, dia pun mempersembahkan korban di sana. 29Khemah Suci Tuhan, yang dibuat Musa di gurun, dan mazbah korban bakaran yang digunakan pada waktu itu, ada di bukit pemujaan di Gibeon. 30Tetapi Daud tidak berani pergi menghadap untuk mencari petunjuk Allah, kerana dia takut kepada pedang malaikat Tuhan itu.