Alkitab Versi Borneo |
Rentetan kemenangan Raja Daud 1Setelah itu, Daud mengalahkan orang Filistin dan menakluki mereka. Dia merebut Gat dan kampung-kampungnya daripada tangan orang Filistin itu. 2Dia juga mengalahkan orang Moab, sehingga orang Moab menjadi warga taklukan Daud dan wajib mempersembahkan ufti. 3Selain itu Daud juga mengalahkan Hadadezer, raja Zoba, dekat Hamat, sewaktu dia pergi menegakkan kekuasaannya di Sungai Efrat. 4Daripada raja itu, Daud menawan seribu buah rata, tujuh ribu orang pasukan berkuda, dan dua puluh ribu orang pasukan berjalan kaki. Selain itu, Daud memotong urat keting semua kuda rata tentera raja itu dan meninggalkan bilangan kuda yang cukup bagi seratus buah rata. 5Maka datanglah pula orang Aram dari Damsyik untuk menolong Hadadezer, raja Zoba, tetapi Daud berjaya menumpaskan dua puluh dua ribu orang daripada kalangan Aram itu. 6Kemudian Daud menempatkan pasukan pendudukan di Aram Damsyik. Orang Aram pun menjadi taklukan Daud dan wajib mempersembahkan ufti kepadanya. Tuhan mengurniakan kemenangan kepada Daud ke mana-mana sahaja dia pergi. 7Daud mengambil perisai-perisai emas yang digunakan oleh para pegawai Hadadezer dan membawanya ke Yerusalem. 8ADari Tibhat dan dari Kun, kota-kota Hadadezer, Daud mengambil banyak sekali gangsa. Dengan segala gangsa itulah Salomo membuat kolam gangsa, tiang-tiang, serta berbagai-bagai kelengkapan daripada gangsa. 9Setelah Tou, raja Hamat, mendengar khabar bahawa Daud mengalahkan seluruh pasukan Hadadezer, raja Zoba, 10maka diutusnya Hadoram, anaknya, kepada Raja Daud untuk menanyakan keadaannya dan mengucapkan selamat kepadanya kerana dia telah memerangi Hadadezer serta mengalahkannya. Dahulunya, Hadadezer memang sering memerangi Tou. Hadoram membawa berbagai-bagai barang daripada emas, perak, dan gangsa. 11Raja Daud mentakdiskan kesemua itu bagi Tuhan bersama-sama perak dan emas yang diangkutnya daripada segala bangsa, iaitu daripada orang Edom, orang Moab, orang Amon, orang Filistin, dan orang Amalek. 12BAbisai anak Zeruya menewaskan lapan belas ribu orang Edom di Lembah Garam. 13Dia menempatkan pasukan pendudukan di Edom sehingga semua orang Edom menjadi taklukan Daud. Tuhan mengurniakan kemenangan kepada Daud ke mana-mana sahaja dia pergi. Para pegawai Raja Daud 14Demikianlah Daud bertakhta atas seluruh Israel dan menegakkan keadilan dan kesaksamaan bagi seluruh rakyatnya. 15Yoab anak Zeruya mengepalai tentera. Yosafat anak Ahilud menjadi pencatat sejarah. 16Zadok anak Ahitub dan Abimelekh anak Abyatar menjadi imam. Sausa menjadi jurutulis. 17Benaya anak Yoyada mengetuai orang Kreti dan orang Pleti, manakala anak-anak Daud menjadi pegawai utama di sisi raja.