Alkitab Versi Borneo |
Para pengikut Raja Daud di Ziklag 1Inilah para lelaki yang datang kepada Daud di Ziklag ketika dia masih menyembunyikan diri kerana Saul anak Kish. Termasuk antara mereka ialah para kesateria yang membantunya dalam peperangan. 2Mereka bersenjatakan busur panah, dan tahu memanah serta melontar batu dengan tangan kanan atau tangan kiri. Mereka itu para saudara Saul, daripada suku Benyamin: 3Ahiezer sebagai ketua, dan Yoas, anak-anak Semaa orang Gibea; Yeziel dan Pelet, anak-anak Azmawet; Berakha dan Yehu, orang Anatot; 4Yismaya, orang Gibeon, seorang daripada Tiga Puluh Orang Kesateria, dan yang bertanggungjawab atas Tiga Puluh Orang Kesateria itu; Yeremia, Yehaziel, Yohanan, dan Yozabad orang Gedera; 5Eluzai, Yerimot, Bealya, Semarya, dan Sefaca orang Harufi; 6Elkana, Yisia, Azareel, Yoezer, dan Yasobam, orang Korah; 7Yoela dan Zebaja, anak-anak Yeroham, dari Gedor. 8Daripada suku Gad ada juga yang memisahkan diri dan menemui Daud di kubu pertahanan, di gurun. Mereka itu kesateria yang gagah perkasa, kalangan yang mahir dalam ilmu peperangan dan pandai menggunakan perisai serta tombak. Paras mereka seperti singa dan tangkasnya seperti kijang di gunung: 9Ezer, ketua; Obaja, orang kedua; Eliab, orang ketiga; 10Mismana, orang keempat; Yeremia, orang kelima; 11Atai, orang keenam; Eliel, orang ketujuh; 12Yohanan, orang kelapan; Elzabad, orang kesembilan; 13Yeremia, orang kesepuluh; Makhbanai, orang kesebelas. 14Merekalah orang daripada bani Gad yang menjadi para ketua tentera; yang terkecil sebanding dengan seratus orang, dan yang terbesar sebanding dengan seribu orang. 15Merekalah yang menyeberangi Sungai Yordan pada bulan pertama ketika sungai itu meluap sepanjang tepiannya, dan merekalah yang menghalau seluruh penduduk lembah itu ke sebelah timur dan ke sebelah barat. 16Beberapa orang daripada bani Benyamin dan Yehuda datang ke kubu pertahanan mendapatkan Daud. 17Daud keluar menyongsong mereka dan berkata kepada mereka, "Jika kamu datang menemuiku dengan tujuan berdamai, untuk membantuku, aku mahu bersekutu dengan kamu. Tetapi jika kamu datang untuk menyerahkan aku dengan tipu daya kepada lawan-lawanku padahal tidak ada kekerasan padaku, semoga Allah nenek moyang kita melihat hal itu dan menghukum kamu." 18Lalu Roh menguasai Amasai, pemimpin Tiga Puluh Orang Kesateria, dan dia berkata, "Kami ini milikmu, wahai Daud! Kami menyertaimu, wahai anak Isai! Sejahtera, sejahteralah engkau, dan sejahteralah para penolongmu, kerana Allahmu menolong engkau." Maka Daud menyambut mereka dan mengangkat mereka untuk menjadi ketua pasukan. 19Beberapa orang daripada bani Manasye pun ada yang membelot kepada Daud ketika dia maju bersama-sama orang Filistin untuk berperang melawan Saul. Sebenarnya Daud dan orangnya tidak membantu orang Filistin, kerana para raja kota orang Filistin itu berunding lalu menyuruhnya pergi. Kata mereka, "Dengan taruhan kepala kita dia akan membelot kembali kepada tuannya, Saul." 20Sementara Daud berjalan ke Ziklag, beberapa orang Manasye itu membelot kepadanya: Adnah, Yozabad, Yediael, Mikhail, Yozabad, Elihu, dan Ziletai, para ketua pasukan seribu daripada orang Manasye. 21Mereka membantu Daud melawan gerombolan, kerana mereka semua kesateria yang gagah perkasa serta panglima tentera. 22Dari hari ke hari, orang berdatangan kepada Daud untuk membantunya, sehingga mereka menjadi pasukan yang besar, seperti pasukan Allah. Pasukan Raja Daud di Hebron 23Inilah jumlah orang bersenjata dan siap bertempur, yang datang kepada Daud di Hebron untuk mengalihkan kerajaan Saul kepadanya selaras dengan firman Tuhan: 24Daripada bani Yehuda, yang mengangkat perisai dan tombak – 6,800 orang bersenjata dan siap bertempur. 25Daripada bani Simeon, para kesateria yang gagah perkasa dan siap bertempur – 7,100 orang. 26Daripada bani Lewi – 4,600 orang, 27termasuk Yoyada, pemimpin bani Harun, dengan 3,700 orang yang menyertainya. 28Selanjutnya Zadok, seorang kesateria muda yang gagah perkasa, dengan 22 orang pemimpin daripada kaum keluarganya. 29Daripada bani Benyamin, para saudara Saul – 3,000 orang, kerana sampai saat itu kebanyakan daripada mereka masih tetap setia kepada keluarga Saul. 30Daripada bani Efraim – 20,800 orang kesateria yang gagah perkasa, orang yang ternama antara kaum keluarga mereka. 31Daripada separa suku Manasye – 18,000 orang yang terpilih khusus dengan nama mereka disebut untuk pergi menobatkan Daud menjadi raja. 32Daripada bani Isakhar, orang yang mempunyai pengertian tentang saat-saat yang baik, sehingga mereka tahu apa yang patut diperbuat oleh orang Israel – 200 orang ketua, dengan semua saudara mereka di bawah perintah mereka. 33Daripada bani Zebulon, orang yang sanggup berperang, pandai menggunakan segala jenis senjata perang, dan siap membantu tanpa bercabang hati – 50,000 orang. 34Daripada bani Naftali – 1,000 orang pemimpin dan 37,000 orang yang menyertai mereka dengan perisai dan tombak. 35Daripada bani Dan, orang yang pandai berperang – 28,600 orang. 36Daripada bani Asyer, orang yang sanggup berperang dan yang pandai berperang – 40,000 orang. 37Dari seberang Sungai Yordan, iaitu daripada bani Ruben, bani Gad, dan separa suku Manasye – 120,000 orang yang siap bertempur dengan segala jenis senjata perang. 38Kesemuanya pejuang yang tahu mengatur barisan perang. Mereka datang ke Hebron dengan tulus hati untuk menobatkan Daud menjadi raja atas seluruh Israel. Semua orang Israel yang lain pun bersatu hati untuk menobatkan Daud menjadi raja. 39Tiga hari lamanya mereka tinggal di sana bersama dengan Daud, makan dan minum, kerana para saudara mereka menjamu mereka. 40Juga kalangan yang tinggal dekat mereka, bahkan dari daerah Isakhar, Zebulon, dan Naftali, membawa berlimpah ruah makanan daripada tepung, kuih ara, kuih kismis, air anggur, minyak, juga sapi, domba – dimuat di atas keldai, unta, baghal, serta lembu – kerana ada sukacita di Israel.